SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

24 Februari 2015

USAH BIAR PENGELUAR, PEMBAORONG TERLEPAS

Berita Harian
Oleh Azhar Abu Samah
23/2/2015


Sudah hampir sebulan harga petrol turun, namun belum nampak dengan ketara harga barangan di pasaran mengalami penurunan harga seiring kejatuhan harga petrol. Keadaan ini begitu berbeza dengan pengumuman kenaikan harga minyak apabila pelbagai syarikat mahupun persatuan 'berlumba-lumba' mengumumkan bakal menghadapi kenaikan kos operasi.
Kita harapkan program penurunan harga barangan secara besar-besaran di seluruh negara pada 1 Mac ini benar-benar memberi impak kepada pengguna. Sama ada suka atau tidak, kedatangan 1 April ini akan menjelaskan segala-galanya apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mula dilaksanakan. Ketika ini masih ada persepsi akan berlaku kenaikan harga apabila GST diperkenalkan.
Pastikan tidak berlaku pencatutan
Untuk itu, harapan begitu tinggi diletakkan kepada kerajaan dan kementerian berkaitan bagi memastikan tidak berlaku kegiatan pencatutan atau dalam bahasa Inggerisnya profiteering iaitu pengambilan keuntungan tinggi yang tidak munasabah. Jika pada 1 Mac ini masih tiada impak ke atas penurunan harga barang, seharusnya pihak berwajib mengambil tindakan serius terhadap 'tangan-tangan ghaib' atau kartel yang terdiri daripada pengeluar dan pemborong yang menjadi faktor penentu harga barangan di pasaran. Jika satu ketika dulu pesalah 'komplot sorok' dikenakan tindakan tegas kerana mahu memanipulasi harga barangan, inilah masa terbaik untuk penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggempur 'mafia' yang mengawal pasaran mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, selain Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2015. Jika perlu, tarik atau gantung lesen perniagaan pengeluar atau pemborong bagi menunjukkan kerajaan masih berkuasa mengawal mereka. Tiada gunanya kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas penjual di pasar, sedangkan pengeluar dan pemborong yang sebenarnya mengawal harga barang dibiarkan bermaharajalela umpama lintah darat.
Pelan selesai masalah
Semua mata kini tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan oleh penguat kuasa KPDNKK, apatah lagi dengan program penurunan harga besar-besaran yang diharapkan bukan sekadar publisiti bagi menenangkan masyarakat untuk sementara waktu, sebaliknya satu pelan proaktif yang boleh membantu menyelesaikan masalah kenaikan harga barang secara keseluruhan. Cukuplah dengan gimik harga runtuh ketika musim perayaan atau musim sesi persekolahan dibuka yang dilaksanakan oleh pasar raya yang dilihat indah khabar dari rupa. Seperti kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek pada pelancaran Operasi Antipencatutan Bagi Menghadapi Pelaksanaan GST pada 14 Januari lalu, akta dan peraturan yang telah dipinda dan digubal dengan sistematik perlu disusuli dengan penguatkuasaan yang strategik. Pengguna sewajarnya memperlihatkan kuasa 'beli' mereka dengan memberi sokongan kepada kempen oleh beberapa organisasi seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Doktor Islam Malaysia, CUEPACS, Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia serta memilih pasar raya besar seperti Mydin, Tesco dan Hero yang menyatakan komitmen untuk mengurangkan harga barang.

Tiada ulasan: