SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA

24 November 2016

MAHU KERAJAAN PERKENALKAN EKK

Harian Metro
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my24/11/2016
 
 
 

Langkawi: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan memperkenalkan Elaun Kesulitan Khas (EKK) untuk penjawat awam yang tinggal di pulau ini bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup.
Timbalan Presiden II CUEPACS Mohd Shaman Jaes berkata, EKK jika dilaksanakan dapat mengurangkan bebanan kewangan lebih 2,000 penjawat awam khususnya kakitangan sokongan II yang tinggal di Langkawi.
"CUEPACS menerima banyak keluhan dan rintihan penjawat awam yang berkhidmat di pulau ini berkaitan bebanan kewangan masing-masing selepas terpaksa menyewa rumah dan perbelanjaan harian yang tinggi.
"Kesukaran mendapat rumah sewa di Langkawi amat ketara, malah kalau ada pun kadar sewanya tinggi antara RM500 hingga RM1,000 sebulan sekali gus membebankan penjawat awam," katanya selepas menghadiri Dialog Penjawat Awam Teknikal, di sini, hari ini.
Mohd Shaman berkata, sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan elaun itu kerana jika kakitangan awam tidak dibantu, tumpuan kerja mereka akan terganggu dan sesetengahnya memilih melakukan pekerjaan sampingan untuk mendapat pendapatan tambahan.
"Elaun dicadangkan ini setara atau lebih tinggi daripada Bayaran Insentif Wilayah yang diberikan kepada penjawat awam berasal dari Sabah dan Sarawak yang ditempatkan di Semenanjung atau sebaliknya.
"Kira-kira 10 tahun lalu, isu ini pernah disebut tetapi tiada tindakan susulan sehingga ia tenggelam begitu sahaja dan kini CUEPACS tampil sekali lagi untuk mengangkatnya bagi perhatian kerajaan," katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu lebih proaktif membantu kakitangan awam yang berkhidmat di kepulauan kerana bebanan kewangan ditanggung mereka menyamai masalah dihadapi penjawat awam di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Ipoh.

Tiada ulasan: