Utusan Malaysia
ANTARA rumah di Kelantan yang dibeli penjawat awam yang didakwa masih tidak siap dibina walaupun potongan gaji sudah dilakukan sejak lima tahun yang lalu. – UTUSAN/Harith Nizar
MUKADIMAH Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendedahkan ramai penjawat awam sering menjadi mangsa penipuan antaranya melibatkan pinjaman perumahan.
Salah satu kes yang didedahkan melibatkan seramai 477 penjawat awam yang terpaksa menanggung kerugian apabila rumah yang dibeli di Machang, Kelantan terbengkalai selama bertahun-tahun sedangkan bayaran pinjaman perumahan dilakukan pada setiap bulan.
Perkara ini semakin membimbangkan apabila terdapat segelintir syarikat pemaju perumahan didakwa bersubahat dengan ‘orang dalam’ untuk mengambil kesempatan terhadap kemudahan pinjaman perumahan yang dinikmati penjawat awam bagi mengaut keuntungan.
Wartawan Utusan Malaysia, FITRI AFFENDI MUSTAFA, MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR dan LILIS SURIANI OMAR mengupas lebih lanjut perkara ini dan mendedahkan penipuan yang dilakukan segelintir syarikat pemaju perumahan.
KUALA LUMPUR 20 Feb. - Ekoran pendedahan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada 22 Januari lalu tentang nasib 477 penjawat awam menjadi mangsa penipuan projek perumahan melibatkan sebuah syarikat hartanah pada 2011, kesatuan itu kini menerima lebih 1,000 aduan berkaitan masalah sama.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, antara aduan diterima membabitkan penjawat awam yang sudah membayar 100 peratus harga rumah yang dibeli, namun kediaman baharu mereka itu masih tidak siap, malah didapati terbengkalai.
“Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan (BPP) telah membuat bayaran penuh kepada pemaju meskipun rumah belum siap dan perkara itu tidak mengikut prosedur ditetapkan.
“Kita tidak tahu sama ada pegawai terlibat meluluskan bayaran tersebut sedar tentang perkembangan projek yang dibangunkan itu atau sekadar melihat kemajuan projek di atas kertas sahaja,” katanya.
Tambahnya, rata-rata mangsa kes berkenaan telah membuat laporan polis, namun malangnya masih belum ada tindakan konkrit diambil oleh mana-mana pihak.
“CUEPACS melihat masalah ini sebagai sangat penting kerana harga rumah yang mereka beli pada masa dahulu sudah jauh berbeza daripada harga asal.
“Persoalannya, mengapa pemaju yang terlibat dalam kes tersebut tidak didakwa dan mengapa BPP tidak mengambil satu tindakan drastik untuk membantu pembeli rumah berkenaan,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya tidak pasti alasan yang diberikan oleh pemaju tetapi mereka telah menerima wang tuntutan walaupun di tapak perumahan berkenaan sudah tumbuh pokok dan ibarat hutan.
Beliau turut mencadangkan beberapa perkara supaya masalah seperti itu tidak lagi berlaku pada masa depan.
“Tindakan pengawasan yang lebih ketat perlu diambil pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya pemaju tidak mengambil kesempatan.
“Dari segi rumah yang dibina pula, pihak yang berkenaan tidak sepatutnya membuat bayaran sewenang-wenangnya kepada pemaju tanpa perakuan tuan rumah kerana mereka yang menerima wang itu tidak memaklumkan kepada pembeli,” katanya.
3 ulasan:
Tuan, mohon diwujudkan skim pinjaman pembelian tanah untuk kakitangan awam. Sekian.
kakitangan sokongan pon banyak kali ditipu oleh cuepacs dan kerajaan kerana elaun rumah yang ciput babai yang tak naik-2 .
harap2 president yang akan gantikan azih muda dapat menaikkan elaun rumah papap ke penhouse .......
Macam berbaur politik je berita terbitan utusan ni. Kenapa tak laporkan sekali dinegeri lain seperti johor dan melaka?
Catat Ulasan