SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA

17 Ogos 2015

ANALISIS MINGGUAN: BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

 Utusan Malaysia
16/8/2015



Terlalu banyak spekulasi, limpahan analisis dan politiking yang keterlaluan melanda negara sekarang. Situasi ini tidaklah baharu, pernah berlaku ketika krisis politik 1987 dan 1998. Walaupun latar belakang dan isunya tidak sama tetapi ia memercikkan ketegangan politik.
Awang mengambil pendekatan untuk bertenang, tidak melatah membuat kesimpulan dan tidak mengharap dipuji oleh sesiapa. Keberanian atas nama apa pun, harus bersandar rasa tanggungjawab dan melihat dengan perspektif menyeluruh.
Tidak hilang bijaksana jika kita berpegang kepada pendirian untuk memilih yang kurang mudarat kepada organisasi, agama dan bangsa. Awang tidak mahu tenggelam dalam emosi dan ayat-ayat berapi-api kerana ia bukan satu-satunya jalan keluar. Sarjana Dr. Muhammad Al-Areefi menekankan tentang perlunya menjaga lidah dan kata-kata sebagai adab dalam mencari penyelesaian mengikut ajaran Islam sebenar.
Tidak jatuh maruah jika bersabar dalam situasi yang genting, memahami realiti terutama di mana kita berada dan tekun menanti agar yang samar menjadi terang. Jangan pula kerana kegelojohan, bergentayangan kaduk naik junjung, berlaku gelombang menangguk di air keruh dan sisi kita yang lemah pula, terbuka luas untuk diceroboh. Sebab itu, Awang tidak terganggu dengan apa sahaja komen sama ada yang positif mahupun negatif terhadap Awang mahupun syarikat akhbar. Juga perbandingan itu dan ini, dulu dan sekarang. Bab 21 buku judul A, tidak sama dengan bab 21 buku judul B.
Seperti biasa, ada tokoh tertentu yang ghairah beranalisis sambil menjatuhkan hukuman ke atas orang lain, terlupa tentang eranya yang lesu dan kurang mencabar. Pernah Awang nyatakan, ambillah perspektif agama, apa jua yang berlaku telah ditetapkan oleh Allah SWT dan apa yang tidak ditetapkan, pasti dan pasti tidak akan berlaku. Setakat ini, Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Atas kertas, beliau mendapat sokongan majoriti bahagian-bahagian UMNO, parti terbesar dalam kerajaan. Sama ada suka atau tidak, itulah realitinya. UMNO yang menentukan siapa peneraju parti. Selagi beliau menyandang jawatan tersebut, amanah terpikul pada beliau.
Jangan lupa menyokong pemimpin termasuk di saat-saat yang sukar ini, adalah hak demokrasi, begitu juga sebaliknya. Lagipun, Najib belum dibuktikan bersalah, tunggulah sehingga semua proses siasatan selesai untuk berlaku adil. Sementara itu, berilah peluang kepadanya untuk mentadbir dan memulihkan keadaan seperti dijanjikan. Itulah yang berlaku ketika krisis politik 1987 dan 1998 apabila majoriti UMNO terus menyokong peneraju parti ketika itu, yang juga diwarnai pelbagai isu dan dakwaan. Jika Najib tidak mampu menyelesaikan, biarlah rakyat menilai dan membuat perkiraan. Najib pasti faham. Pada tahap ini, biarlah semua berlaku secara natural, itu jalan penyelesaian terbaik. Lebih penting, jangan gundah dengan perencanaan Allah SWT. Masa akan menentukan. Yakinlah.

Malaysiakini
Siapakah antara pihak yang paling untung kerana dapat menangguk di air keruh berikutan pergolakan politik dan isu semasa yang panas sekarang? Siapa lagi kalau bukan Malaysiakini pro-DAP. Tanpa rasa malu dan bersalah, portal itu terus menyiarkan banyak laporan yang bukan sahaja mengelirukan, diputar belit, salah malah melaga-lagakan antara pemimpin dan jabatan kerajaan. Sejak misi Malaysiakini untuk menjatuhkan kerajaan gagal pada pilihan raya umum lalu dengan menyalakan api sentimen membenci kerajaan pimpinan Islam, Awang makin berwaspada.

Portal itu telah banyak membawa mudarat. Antaranya memanipulasi secara keterlaluan dakwaan kononnya terdapat lebih 40,000 pengundi hantu pada PRU-13, yang ternyata membantu pembangkang khususnya DAP menang banyak kerusi dengan cara tidak terhormat. Terbukti akhirnya laporan itu palsu. Malaysiakini juga gagal melihat berlakunya pertumpahan darah dan rusuhan besar sebagaimana Arab Springs. Siri-siri Perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur yang digembar-gemburkan secara luar biasa agar kerajaan dijatuhkan di luar proses demokrasi, tidak menjadi kenyataan.

Jika dibuat kajian, Malaysiakini lebih berbahaya berbanding portal Sarawak Report dalam konteks ancaman kepada negara. Lebih licik dalam agendanya dengan berselindung atas nama kebebasan media tetapi itulah sebenarnya senjata bagi menjayakan agenda parti yang portal itu sokong habis-habisan.Lalu timbul persoalan mengapa Malaysiakini makin angkuh dan memperhebatkan serangan ke atas institusi-institusi penting negara, yang jawapannya tidak sukar Awang telah. Selain membawa agenda DAP, ia ada kaitan dengan isu lebih besar iaitu dana asing. 

Sudah sampai masanya pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyiasat Malaysiakini meliputi sumber dana dan aspek ancaman kepada negara. Siapa lagi dalang atau tangan ghaib yang merencanakan percaturan buat negara ini, menggunakan portal itu.

Sebenarnya ada banyak misteri berkaitan portal berkenaan yang belum dapat dileraikan. Tidak mengejutkan juga jika melibatkan komplot besar yang dahsyat padahnya kepada Malaysia. Pelanduk melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

DAP dan dana
Selepas Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka pelan pembiayaan politik berintegriti, Awang teruja menunggu reaksi DAP dan PKR.
Jika sebelum ini, cadangan Najib yang pertama kali dibangkitkan pada 2009 ditolak, kini ada peluang terbaharu untuk kedua-dua parti akur demi mendokong integriti.
Awang sangat berharap semua parti politik dapat bersetuju dengan pelan tersebut agar dapat dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Sebelum ini, Najib merintis sistem pemilihan UMNO yang lebih demokratik dan inklusif berbanding parti lain, ini satu lagi pembaharuan politik yang diperkenalkan.
Maka DAP terutamanya tidak boleh terus ketinggalan. Lebih-lebih lagi parti itu mengakui inilah era yang rakyat perlu diyakinkan dengan kaedah pembiayaan politik yang lebih telus. Nasihat Awang janganlah DAP takut untuk mendedahkan sumber dana politik mereka melainkan terlalu banyak yang mahu dirahsiakan. Juga jangan jadi seperti ayam, kokok berderai-derai, ekor bergelumang najis.

Teruskan Ismail
Selepas membuktikan komitmen jihad melawan orang tengah semasa di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri yang kini Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sekali lagi tidak mahu bersikap apologetik.
Kali ini beliau tampil dengan cadangan agar ditubuhkan pusat jualan dan borong alat komunikasi di bangunan Mara di Jalan Raja Laut, yang menyamai fungsi Plaza Low Yat.Bagaimanapun ia mendapat bantahan beberapa pihak termasuk pemimpin MCA yang melihatnya sebagai rasis.Awang yakin Ismail tidak akan goyah dan teruskan pelaksanaannya. Usah terganggu dengan bantahan yang hujah-hujahnya dangkal dan tidak berasas.Mengaitkan cadangan itu dengan bersikap rasis mencerminkan siapa sebenarnya yang rasis. Sepatutnya MCA perlu menggalakkan lebih banyak pusat jualan seumpama itu sebagai alternatif kepada masyarakat.

Awang tidak fikir masyarakat Cina yang sudah ratusan tahun sebati dengan budaya niaga akan merasa terancam atau tergugat dengan kemunculan satu lagi pusat ala Plaza Low Yat.Selama ini pun, kaum lain tidak membantah pelbagai penubuhan dan eksklusiviti peniaga Cina seperti di kawasan Petaling Street. Banyak lagi contoh boleh disenarai panjang, jika mahu.Biarpun pusat jualan tersebut akan dibuka di Mara tetapi cabarannya tetap besar kerana industri teknologi maklumat (IT) dimonopoli usahawan Cina. Jika dilihat secara positif, industri itu juga boleh mendapat faedah.

Walau apa pun cabarannya tentu ada mekanisme bagi Ismail segera merealisasikan cadangan itu yang diharap menjadi titik tolak baru kepada usahawan Melayu dalam jualan produk IT.
Malah ia tidak seharusnya dihadkan di bangunan Mara Kuala Lumpur, juga boleh diperluaskan ke negeri-negeri yang pengguna pelbagai kaum boleh berkunjung. Sebenarnya tidaklah sesukar mana, cuma menuntut keberanian politik yang tinggi. Ismail ada kualiti itu.

Kisah RM10
Awang terpanggil untuk berkongsi kisah empat beranak - suami, isteri dan dua anak kecil - menaiki motosikal meredah hujan untuk ke bank bagi mengeluarkan wang tunai menerusi mesin ATM, baru-baru ini. Alangkah kecewanya si suami apabila mesin ATM itu tidak mempunyai wang kertas RM10. Hanya ada wang kertas RM50 sedangkan baki wang simpanannya tidak lebih daripada itu.

Maka keluarlah lelaki itu dengan wajah hampa. Lebih-lebih lagi tujuan untuk mengeluarkan wang adalah bagi membawa anak kecilnya ke klinik. Awang sangat tersentuh sambil mengimbas ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena ulang tahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu yang mengulas cadangan CUEPACS agar bank membekalkan lebih banyak wang kertas RM10 dalam mesin ATM.

Pada baginda, ia memberi petanda bahawa ramai pemilik kad ATM pada masa tertentu tidak mempunyai baki minimum RM50 dalam simpanan selain menyerlahkan hakikat keupayaan menabung dalam kalangan rakyat terutama bumiputera adalah rendah kerana kesempitan hidup.

Menghairankan di sebalik cadangan CUEPACS dan keprihatinan Sultan Perak, institusi perbankan di negara ini tidak memberi perhatian apatah lagi untuk mengambil tindakan sewajarnya. Berdasarkan maklum balas ramai, hampir rata-rata bank tidak menyediakan banyak wang kertas RM10, menyebabkan selalu berlaku kekurangan di mesin-mesin ATM. Akhirnya rakyat termasuk para pelajar universiti dan kolej selalu kecewa kerana bank tidak mampu memenuhi permintaan mereka yang sangat kecil iaitu RM10.

Tiada ulasan: