SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

03 Ogos 2015

MALAYSIA AKAN TERUSKAN RUNDINGAN TPPA BERASAKAN MANDAT UNTUK PERTAHAN DAN PROMOSI KEPENTINGAN NEGARA

Bernama
1/8/2015


KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan meneruskan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) berasaskan mandat yang diberikan kabinet untuk mempertahan dan mempromosi kepentingan negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Pada Mesyuarat Peringkat Menteri TPP di Maui, Hawaii, Malaysia mengetengahkan kebimbangan dan sensitiviti spesifik bidang pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan isu Bumiputera memandangkan isu tertangguh ini menyentuh perlembagaan dan merupakan antara teras dasar negara.

Mengenai hak harta intelek, Mustapa berkata pendirian Malaysia dalam rundingan itu bertujuan memastikan orang awam mempunyai akses kepada ubat dan penjagaan kesihatan pada harga berpatutan, dan pada masa yang sama menyediakan insentif perlu untuk pembangun inovasi menghasilkan ubat-ubatan baharu.

Mengenai akses pasaran, Malaysia sudah memuktamadkan rundingan dengan kebanyakan pihak, yang membolehkan duti import kebanyakan produk dimansuhkan.

Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, New Zealand dan Vietnam terlibat dalam rundingan TPP.

"Hasil rundingan ini akan membuka peluang kepada akses pasaran, terutama dalam pasaran di mana Malaysia tidak menjalin Perjanjian Perdagangan Bebas seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

"Ia akan memberi kelebihan saingan kepada pengeksport Malaysia berbanding persaing serantaunya dalam pengeksportan produk seperti elektrik dan elektronik, produk kimia, minyak sawit, getah, kayu, tekstil serta komponen dan peralatan automotif," kata Mustapa dalam satu kenyataan Sabtu.

Mustapa berkata Malaysia terlibat dalam rundingan TPP disebabkan negara yakin dapat mempromosi agenda perdagangan dan pelaburan negara.

Sebagai ekonomi terbuka dan merupakan negara yang menerima manfaat daripada regim perdagangan dan pelaburan terbuka, kita perlu bergerak selari dengan perkembangan serantau, katanya.

Malaysia akan terus meningkatkan kefahaman rakyat mengenai TPP selain perundingan dengan Kaukus Parlimen, masyarakat sivil dan pemegang kepentingan yang lain bagi berkongsi pendirian kerajaan terhadap pelbagai isu.

"Kami mahu menegaskan bahawa jika rundingan TPP dimuktamadkan, teksnya akan dibentangkan di Parlimen untuk perbahasan. Sama ada Malaysia akan menjadi pihak dalam TPP merupakan keputusan secara kolektif," jelas Mustapa.

Beliau berkata pendirinya kukuh kerajaan bertujuan memastikan kedaulatan perlembagaan dan dasar teras seperti agenda Bumiputera dilindungi dan didukung.

Mesyuarat Peringkat Menteri TPP berlangsung di Maui dari 28 hingga 31 Julai.

Ia didahului dengan mesyuarat Ketua-Ketua Perunding TPP dari 24 hingga 27 Julai.

Pada akhir mesyuarat itu, masih ada beberapa isu yang memerlukan setiap wakil negara membincangkannya dengan kerajaan dan pemegang kepentingan masing-masing.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: