SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

23 Ogos 2015

PENJAWAT AWAM DIINGAT TIDAK TERLIBAT MENCEMAR IMEJ - KSN

Bernama
23/8/2015


KLUANG, 23 Ogos (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengingatkan penjawat awam supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan atau perbuatan yang mencemar imej perkhidmatan awam, menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Beliau berkata sebagai pihak yang memikul amanah rakyat selain berikrar dan menandatangani Aku Janji kepada kerajaan, penjawat awam perlu mengelakkan sebarang persepsi negatif terhadap kerajaan.

"Penjawat awam tertakluk kepada Perintah Am, jadi kena ikut peraturan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama penjawat awam Johor di kampus Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Wilayah Selatan, di sini Ahad.

Ali berkata banyak kebocoran maklumat dan dokumen rahsia kerajaan berlaku kebelakangan ini terutamanya yang disebarkan melalui media sosial.

Menegaskan perkara terbabit tidak sepatutnya berlaku dan merupakan kesalahan amat serius, beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat awam yang membocorkan rahsia-rahsia kerajaan mengikut undang-undang berkaitan seperti Akta Rahsia Rasmi Kerajaan 1972.

Beliau berkata penjawat awam perlu menilai dengan bijak dan merujuk kesahihan maklumat daripada pihak berkaitan terlebih dahulu bagi mengelakkan mereka terjebak dengan penyebaran berita palsu atau fitnah.

Ali berkata dalam masa yang sama mereka juga perlu membantu agensi atau jabatan masing-masing menghebahkan aktiviti dan maklum balas berkaitan agensi atau jabatan mereka menerusi laman sosial.

"Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi pada masa kini mewujudkan fenomena dunia tanpa sempadan termasuk kemasukan maklumat tanpa tapisan yang disebar luas dan dikongsi laman Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

"Namun, dalam kita aktif menggunakan media baharu ini, kita juga harus sedar bahawa terdapat banyak penipuan yang disebarkan. Oleh itu, sebagai penjawat awam, kita harus sedar dan bertanggungjawab terhadap apa yang kita sebarkan di alam maya," katanya.

Mengenai perhimpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini, Ali menasihatkan penjawat awam supaya tidak terlibat dengan aktiviti seumpama itu dan tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka yang berdegil.

Katanya, walaupun tidak diketahui dengan jelas apa yang akan dicadangkan menerusi perhimpunan itu, ia ternyata akan menjejaskan imej penjawat awam di mata rakyat.

Terdahulu, Ali yang merupakan anak jati Kluang turut melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Aris Bendahara, di sini, yang merupakan sekolah lamanya sewaktu menerima pendidikan peringkat menengah dari 1968 hingga 1973.

Pada lawatan itu, beliau yang diiringi isterinya Puan Sri Rohani Abdullah mengimbas nostalgia zaman persekolahan dengan melawat kelas lamanya dan berjumpa beberapa rakan sekelas serta guru yang mendidiknya ketika itu.

-- BERNAMA

2 ulasan:

Unknown berkata...

Asalam... Isu kenaikan gaji penjawat awam sepatutnya sudah selesai sekian lamanya.. Dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi perbelanjaannya telah memjadikan hidup penjawat awam semakin terhimpit Sepatutnya penyelarasan gaji telah lama dilakukan dengan kenaikan 13% bagi gred 27-38, 25% bagi gred 11-26, begitu juga dengan kenaikan tahunan dinaikkan dari RM80 ke RM115, RM145 ke RM195. Ramai penjawat awam yang gajinya telah sampai pengakhir gaji (langgar tembok) tetapi perkhidmatan masih ada 10-12 tahun. Ini satu kerugian bagi penjawat awam yg berkhidmat tanpa kenaikan gaji tahunan, ia juga mempengaruhi pencen penjawat awam tersebut. Kebelakangan ini pula kenaikan harga rumah mencapai 300% menyebabkan ribuan penjawat awam tidak mampu dan layak memiliki rumah kediaman untuk hari persaraan mereka. Ini amat mendukacitakan dan mengusarkan penjawat awam yg akan bersara beberapa tahun lagi. Ada juga penjawat awam yg bersara akan menjadi miskin tegar kerana jumlah pencen yg terlalu kecil. Ada sesetengah dari mereka terpaksa kerja sebagai jaga, pemandu teksi, buruh am, perkerja hotel dan sebagainya bagi menyara keluarga. Cuepacs mesti bertindak secepatnya bagi mengatasi masalah penjawat awam, kebajikan penjawat awam mesti diutamakan supaya prestasi penjawat awam sentiasa cemerlang dan berfikiran kelas pertama. Cuepacs mesti mendesak agar kenaikan gaji dan kebajikan penjawat awam diutamakan di dalam perbentangan bajet 2016 akhir bulan 10 nie...

Mahmood Adam berkata...

wahai ali hamsa, kau letak jawatan daripada pengerusi mrt corp dulu. fokus kepada perkhidmatan awam 100%, lepastu baru boleh sembang pasal "imej". ok?