SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

27 April 2016

DISIPLIN, TANGGUNGJAWAB, INTERGRITI PERLU JADI JATI DIRI PENJAWAT AWAM - KSN

Bernama
26/4/2016


PUTRAJAYA, 26 April (Bernama) -- Gabungan disiplin, tanggungjawab, integriti dan kebertanggungjawapan serta menjaga kerahsiaan mesti menjadi jati diri setiap penjawat awam untuk menjalankan tugas dengan jujur dan telus, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata perkhidmatan awam yang sentiasa dekat dengan rakyat perlu dilihat sebagai satu perkhidmatan yang sentiasa bersih dan menjadikan integriti sebagai teras utama.

"Kecemerlangan bukan sekadar diukur dengan tercapainya sasaran kerja tetapi juga perkhidmatan yang bersih dan berintegriti," katanya dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2015 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal yang mewakili beliau pada majlis itu.

Ali turut mengingatkan pegawai awam untuk menumpukan usaha dan tenaga ke arah penyampaian perkhidmatan yang efektif, efisien, berkualiti, telus, mendahului dan mementingkan rakyat dan pelanggan.

"Warga kerja yang mengamalkan budaya kerja yang cemerlang menjadi aset penting ke arah mewujudkan perkhidmatan awam yang produktif dan berkualiti," katanya.

Ali dalam pada itu berkata JPM sebagai sebuah jabatan penanda aras dalam sistem penyampaian perkhidmatan sokongan dan tadbir urus terbaik sektor awam di negara ini mesti menjadi penggerak dalam arus pemodenan dan transformasi negara.

Sejumlah 1,881 warga kerja cemerlang daripada 70 jabatan, agensi dan bahagian di bawah JPM menerima sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada majlis yang diadakan pada dua sesi hari ini.

Daripada jumlah itu, enam penerima merupakan warga orang kurang upaya (OKU).

Warga kurang upaya dengan ketinggian hanya satu meter, Nik Zalbiha Nik Mat, 50, yang merupakan Pegawai Teknologi Maklumat di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan menjadi penerima Anugerah Khas JPM 2015.

Beliau yang menyertai perkhidmatan awam pada 1992 sebelum ini pernah menerima tiga APC.

Ditanya mengenai budaya kerja beliau, ibu kepada tiga anak itu berkata, kerja secara berpasukan sentiasa menjadi amalannya sejak mula menyertai perkhidmatan awam.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: