SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA

09 April 2016

PENUKARAN 50 PEGAWAI JAWATAN SENSITIF, RAYUAN TIDAK DIBENARKAN - JPA

Bernama
8/4/2016




Mohamad Zabidi melancarkan perkhidmatan 1Serve TransitLounge@JPA4U
PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Lima puluh pegawai yang menyandang jawatan sensitif di pelbagai kementerian yang akan ditukarkan tidak lama lagi, tidak boleh mengemukakan rayuan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

"Kami ingin menegaskan bahawa tiada rayuan boleh dikemukakan para pegawai ke atas arahan pertukaran itu nanti," kata beliau.

Mohamad Zabidi berkata arahan penukaran 50 pegawai itu akan dikeluarkan dalam jangka masa satu minggu.

Katanya pelaksanaan penukaran para pegawai itu nanti adalah dalam kalangan mereka yang menjawat jawatan sensitif tanpa mengira gred.

"Permulaan akan melibatkan 50 pegawai, dan untuk seterusnya akan ada lagi kerana ini adalah proses berterusan dan mengikut penggiliran," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran 1Serve Transit Lounge@JPA4U di sini Jumaat.

Isnin lepas, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa mengumumkan seramai 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif di pelbagai kementerian akan ditukarkan secara dalaman di agensi masing-masing atau ke kementerian lain mulai bulan ini.

Ali berkata pegawai-pegawai yang dikenal pasti itu telah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun di beberapa bahagian kementerian khususnya kewangan, perolehan dan kontrak.

Menurut Mohamad Zabidi, JPA kini sedang menjalankan proses untuk memulakan penukaran tersebut bagi memastikan penukaran para pegawai terbabit sesuai untuk penjawatan mereka.

"Ia baru diumumkan Isnin lepas oleh KSN dan JPA memerlukan masa untuk memilih pegawai dan berunding mengenai perkara tersebut termasuk jawatan yang sesuai untuk mereka yang akan ditukar nanti.

Mengenai 1Serve Transit Lounge@JPA4U, katanya jabatan itu kini menyediakan ruang menunggu kepada pelanggan JPA yang ingin mendapatkan perkhidmatan shuttle buggy di Blok C10, Kompleks C, Putrajaya ke Kaunter 1Serve JPA4U yang terletak di Blok C2.

"Usaha ini merupakan inisiatif nilai tambah bagi memastikan kesemua pelanggan diberi keutamaan dan keselesaan dalam berurusan dengan JPA," katanya.

Mohamad Zabidi berkata untuk perkhidmatan kereta bugi, pelanggan disediakan enam ruang meletak kenderaan di 1Serve Transit Lounge@JPA4U berdasarkan siapa dahulu, didahulukan.

-- BERNAMA