SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

22 Mei 2016

CUEPACS HARAP KERAJAAN PERSEKUTUAN SEMAK 231 JENIS ELAUN

Bernama
21/5/2016



Datuk Azih Muda
KOTA BAHARU, 21 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan Persekutuan dapat menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyemak semula 231 jenis elaun di dalam perkhidmatan awam.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata semakan terhadap elaun itu boleh dilakukan selepas rasionalisasi 252 skim perkhidmatan dilaksanakan kerajaan.

"Terdapat 231 jenis elaun yang telah diwujudkan untuk perkhidmatan awam, namun ada antaranya telah lebih 15 tahun tidak dikaji termasuk elaun-elaun yang sangat kritikal.

"Kami minta supaya pasukan yang baharu diwujudkan untuk kami memulakan kajian berkaitan dengan keperluan elaun-elaun berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tritahunan Perwakilan Cuepacs Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung Cuepacs Datuk Lok Yim Pheng dan Pengerusi Cuepacs Kelantan Aminuddin Awang.

April lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dilaporkan sebagai berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menyempurnakan proses penambahbaikan 252 skim perkhidmatan sedia ada di bawah langkah rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Dalam pada itu, Azih berharap agar kerajaan dapat duduk semeja dengan kesatuan itu bagi membincangkan secara komprehensif terhadap beberapa kecacatan yang ada di dalam pelan rasionalisasi skim perkhidmatan.

"Kita tak nak perkara ini berlaku dalam kerangka yang lain kerana kita tahu anggota perkhidmatan awam ada yang guna sama, ada yang bukan guna sama, dan kalau kita mungkin melihat kepada satu pihak, mungkin pihak yang satu lagi tak puas hati juga. Ini penting kalau kerajaan nak melihat keharmonian dalam perusahaan di peringkat negara kita nak dikekalkan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azih mendesak agar kerajaan tidak membekukan perjawatan yang ditinggalkan kosong oleh penyandang terdahulu, dapat diisi dengan secepat mungkin bagi mengelak anggota mahupun pegawai di sesebuah agensi terbeban dengan tugasan mereka.

"(Perkara ini) akhirnya memberi tekanan kepada anggota-anggota kami di seluruh negara kerana mereka bekerja dalam keadaan tenaga kerja yang tidak mencukupi, dan ini akan memberi ruang kepada golongan muda dan pencari-pencari kerja untuk memasuki perkhidmatan awam," katanya.

-- BERNAMA