SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 Mei 2016

KADAR KEMALANGAN PEKERJA ULANG ALIK KE TEMPAT KERJA MENINGKAT

Bernama
10/5/2016


KEMAMAN, 10 Mei (Bernama) -- Kadar kemalangan melibatkan perjalanan ulang alik pekerja ke tempat kerja dan kediaman menunjukkan peningkatan sebanyak 554 kes pada tahun lepas berbanding tahun 2014.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata sebanyak 28,591 kes kemalangan perjalanan dicatatkan pada tahun lepas berbanding 28,037 kes pada tahun 2014.

"Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kemalangan yang dilaporkan tahun lalu menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 2.81 peratus per 1,000 pekerja dicatatkan berbanding 3.10 peratus per 1,000 pekerja bagi tahun 2014.

"Keseluruhan jumlah kes kemalangan yang dicatatkan pada tahun 2015 adalah sebanyak 62,863 kes manakala tahun 2014 pula sebanyak 63,331 kes," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Sedunia Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2016 di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Ismail berkata, kemalangan di tempat kerja atau kemalangan perusahaan mencatatkan penurunan kes iaitu sebanyak 34,272 kes dicatatkan tahun 2015 berbanding 2014 sebanyak 35,294 kes dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,022 kes.

"Bagi bulan Januari hingga Mac tahun ini sebanyak 16,200 kes kemalangan pekerja telah dilaporkan.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,423 kes melibatkan kemalangan perjalanan ulang alik dan 8,777 kes kemalangan perusahaan dicatatkan," katanya.

Ismail berkata pihak kerajaan melalui Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) sentiasa menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan di tempat kerja terjamin dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang melakukan pelanggaran melibatkan hal tersebut.

"Kita tak boleh tolak ansur bila ada pelanggaran yang dilakukan oleh pihak majikan yang melibatkan keselamatan dan kesihatan pekerja.

"Untuk tahun 2014, sebanyak 258,800 pemeriksaan telah dijalankan ke atas tempat kerja dan jentera dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 22,190 notis dikeluarkan, 913 kesalahan dikenakan kompaun dan sebanyak 353 kes didakwa di mahkamah," katanya.

Program anjuran Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) dengan kerjasama JKKP Terengganu dihadiri kira-kira 300 pekerja dan majikan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta dari seluruh negara.



-- BERNAMA

Tiada ulasan: