SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

26 Mei 2016

KERAJAAN HAMPIRI SASARAN BINA 100,000 UNIT PPA1M MENJELANG 2018

Bernama |
26/5/2016



Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) ketika merasmikan projek pembinaan PPA1M Metropolitan Kepong pada Khamis



KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) - Sasaran kerajaan untuk membina 100,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di seluruh negara menjelang 2018 hampir tercapai dengan pelancaran satu lagi projek itu di Metropolitan Kepong (MRR2) di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata PPA1M Metropolitan Kepong yang dibangunkan oleh JL99 Group di atas tanah seluas 8.2 ekar (3.28 hektar) akan melibatkan pembinaan dua blok pangsapuri yang menempatkan 1,230 unit rumah.

"Sehingga Mei 2016, sebanyak 148 projek PPA1M dengan 82,012 unit rumah telah diluluskan kerajaan dan kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

"Kita janji 100,000 unit PPA1M menjelang 2018 dan kini sudah hampiri sasaran tersebut. Ini merupakan komitmen kerajaan, insya-Allah dapat kita tepati dan tunaikan," katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,000 penjawat awam yang berjaya dalam permohonan PPA1M Metropolitan Kepong di sini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

Perdana menteri berkata projek perumahan mampu milik seperti PPA1M sangat dekat di hatinya dan menjadi antara keutamaan tertinggi kerajaan.

Beliau berkata PPA1M juga merupakan satu daripada langkah kerajaan mengurangkan risiko hutang dan beban kewangan penjawat awam untuk memiliki rumah.

Najib berkata harga jualan PPA1M adalah 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran hasil pelaksanaan kaedah subsidi silang, dengan keuntungan bagi pembangunan komersial seperti lot-lot kedai oleh pemaju di tapak projek berkenaan akan digunakan untuk membina blok-blok perumahan.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata pemilik PPA1M dikenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh menjual unit rumah mereka dalam tempoh 10 tahun bagi mengelakkan spekulasi harga.

Mengenai PPA1M Metropolitan Kepong, Najib berkata kerja-kerja menanam cerucuk telah selesai dan kerja-kerja tukup cerucuk sedang dijalankan.

"Projek PPA1M Metropolitan Kepong dijangka siap pada 2018," katanya.

PPA1M di Metropolitan Kepong menawarkan empat jenis perumahan iaitu 124 unit Type A (850 kaki persegi), 370 unit Type B (1,000kp), 494 unit Type C (1,200kp) dan 242 unit Type D (1,500kp).

Projek perumahan itu juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan taman permainan yang menjadikan kehidupan di situ lebih selesa.

Sebanyak 5,027 permohonan diterima untuk PPA1M Metropolitan Kepong dan hanya 1,230 sahaja yang layak memiliki rumah berkenaan.

-- BERNAMA

1 ulasan:

Unknown berkata...

Syabas cuepacs,hrp suarakan cadangn supaya rumah ini brhrga antara 75 ribu hingga 125 ribu supaya semua penjawat awam mmpu memilikinya