Sinar Harian
20/10/2017
SHAH ALAM - Pembentangan Bajet 2018 kali ini bakal menjadi sandaran buat rakyat khususnya penjawat awam.
Seperti tahun-tahun lalu, ramai yang mengharapkan sinar dalam ucapan
Bajet 2018 yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak di Parlimen, 27 Oktober akan datang.
Tinjauan Sinar Online dapat melihat keluhan golongan penjawat awam
menerusi laman sesawang Bajet 2018 yang nyata tersepit dengan masalah
kewangan yang membelenggu kehidupan mereka.
Rata-ratanya mengharapkan kerajaan meningkatkan elaun, selain
memberikan bonus lebih tinggi kepada penjawat awam berbanding bajet yang
dibentangkan pada tahun-tahun lepas. Seorang pengunjung laman sesawang Bajet 2018, Richard Samie
mencadangkan kerajaan mengumumkan peningkatan sebanyak empat peratus
daripada kadar pendapatan penjawat awam.
Menurutnya, permintaan tersebut adalah wajar memandangkan nilai kadar inflasi semasa dan kos sara hidup yang agak tinggi. "Elaun perumahan juga perlu ditambah sebanyak RM100. Ini kerana sewa rumah dan harga rumah mahal. "Peningkatan elaun perumahan dapat meringankan beban penjawat awam bila
pendapatan meningkat,secara tidak langsung kuasa beli pengguna akan
turut meningkat. Rakyat tetap akan berbelanja. Ini akan merancakkan
ekonomi negara. Bila perbelanjaan meningkat,pendapatan negara turut
meningkat," jelasnya. Cadangannya itu disokong oleh 2,565 pengunjung yang lain.
Pengunjung di laman sama, Amir Ibrahim pula mencadangkan kerajaan
memberikan bonus lebih tinggi berbanding sebelumnya kepada penjawat
awam. "Diharapkan belanjawan kali ini dapat diberikan bonus penjawat awam
sekurang-kurangnya sebulan gaji atau maksimum dua bulan gaji berbanding
RM500 yang diberikan sebelum ini.
"Kaedah pembayaran bonus boleh dilakukan secara bulanan berbanding
dibayar secara terus atau dua Kali setahun. Sebagai contoh bonus yang
dibayar adalah RM6,000, maka pembayaran boleh dibuat RM500 untuk setiap
bulan selama 12 bulan. Kaedah ini dapat mengurangkan beban kerajaan,"
katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Muzaimi Abd Rahman pula mencadangkan
kerajaan meneliti pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) kepada penjawat
awam. Mohd Muzaimi berkata, kerajaan perlu meningkatkan kadar elaun sehingga
50 peratus bagi membantu penjawat awam mendepani cabaran kos sara hidup.
"Saya mencadangkan agar kenaikan elaun sara hidup penjawat awam
dinaikkan 50 peratus kerana golongan pelaksana seperti saya sangat
terkesan dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi di bandar.
"Sara hidup juga meningkat kerana bilangan keluarga yang semakin
bertambah. Mohon kajian dan penelitian Najib tentang masalah ini. Terima
kasih," ujarnya. Sementara itu, bercakap kepada Sinar Online, Presiden Kongres Kesatuan
Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda
berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk mengeluarkan penjawat awam
daripada kepompong kesusahan.
Menurutnya, Najib perlu mengambil langkah menaikkan kadar elaun dan
bonus kepada penjawat awam yang selama ini berkerja keras menaikkan imej
beliau dan kerajaan di mata rakyat serta dunia.
"Penjawat awam sekali lagi akan meletakkan harapan tinggi kepada
kerajaan, sepertimana bajet yang diumumkan oleh tahun sebelumnya.
"Kerajaan perlu mengambil kira kehidupan golongan penjawat awam yang
sangat tertekan pada masa kini. Penjawat awam berdepan kesukaran untuk
memiliki rumah, membiayai pendidikan anak-anak, membeli insurans dan
sebagainya," katanya ketika dihubungi Sinar Online. Menurutnya, angka RM500 sebagai bonus tidak lagi boleh dianggap relevan
memandangkan rakyat kini berdepan dengan kenaikan kos sara hidup yang
meningkat secara mendadak.
"Kerajaan perlu pertimbangkan angka dan nilai yang sesuai untuk menghargai usaha penjawat awam.
"Oleh itu, kita mahu minta bonus sebanyak sebulan setengah kepada
kerajaan, bukan lagi RM500 seperti yang diberikan pada tahun ini,"
katanya lagi.Cuepacs sebelum ini mengharapkan berita baik untuk penjawat awam dalam Bajet 2018 yang bakal dibentangkan kelak.
Timbalan Presiden II Cuepacs, Zainal Ismail berkata, pihaknya berharap
kerajaan dapat mempertimbangkan semula semakan gaji, elaun, bonus dan
kenaikan gred untuk beberapa jawatan dalam agensi kerajaan.
Tahun lepas, Najib pada pembentangan Bajet 2017 mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam. "Kepada kakitangan awam, saya tahu kamu tak tidur lena jika saya tidak mengumumkan perkara ini. Saya ada berita baik.
"Sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan yang terpuji oleh penjawat
awam, saya dengan sukacitanya mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500
kepada semua penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM250 untuk pesara
kerajaan," katanya.