SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

30 April 2013

NAJIB JANJI AKAN LIPAT GANDA USAHA TINGKATKAN TARAF HIDUP, KEMAHIRAN PEKERJA

Bernama
30/4/2013

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berjanji akan melipatgandakan lagi usaha untuk memastikan peningkatan taraf hidup setiap pekerja di Malaysia, jika kerajaan Barisan Nasional (BN) diberi mandat kukuh pada pilihan raya umum Ahad ini untuk memerintah negara.
Perdana Menteri berkata selain itu, kerajaan BN akan turut memastikan pekerjaan bagi setiap warga Malaysia yang berkehendakkan kerja, serta memastikan akses kepada pekerja Malaysia untuk meningkatkan kemahiran yang akan membantu meningkatkan pendapatan mereka.

"Saya dan rakan-rakan akan memastikan bahawa bakti setiap pekerja Malaysia akan dihargai dengan menyediakan persekitaran terbaik untuk mereka dan keluarga mereka untuk membina kehidupan yang bahagia di bumi tercinta ini," katanya dalam amanatnya bertemakan "Pekerja Pemangkin Transformasi Negara" sempena sambutan Hari Pekerja esok yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini Selasa malam.

Beliau berkata pekerja Malaysia yang seramai 13 juta orang juga mempunyai banyak sebab untuk bersyukur, antaranya kadar pengangguran negara yang rendah iaitu hanya 3.3 peratus pada Januari lepas berbanding negara maju seperti Sepanyol yang mencatatkan 26.2 peratus pengangguran, kawasan Euro (12 peratus), Perancis (10.7 peratus), Amerika Syarikat (7.9 peratus), dan Australia (5.4 peratus).

Perdana Menteri juga berkata kos kehidupan di negara ini juga terkawal dengan angka tunjuk inflasi untuk Januari tahun ini sebanyak 1.3 peratus, sementara kadar kemiskinan relatif menurun kepada 1.7 peratus dan pendapatan perkapita yang meningkat kepada US$9,700 pada tahun lepas.

"Semua ini ialah hasil sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan serta kesejahteraan rakyat di atas segala dukungan serta sokongan lebih 13 juta tenaga pekerja Malaysia," katanya.

Beliau berkata kerajaan BN juga sedang dalam usaha ke arah memodenkan perundangan berkaitan perburuhan negara ke arah menjamin dan memantapkan jaringan keselamatan sosial warga pekerja.

Bagi membantu pekerja Malaysia mendapat manfaat daripada penciptaan peluang pekerjaan baharu, iaitu sebanyak 3.3 juta pekerjaaan yang diunjurkan di bawah pelaksanaan program transformasi ekonomi negara menjelang tahun 2020 yang majoritinya memerlukan pekerja berkemahiran tinggi, kerajaan memperuntukkan RM3.7 bilion di bawah Belanjawan 2013 bagi melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional, katanya.

Perdana Menteri berkata hak dan kebajikan warga pekerja akan terus menjadi keutamaan kepada pihak kerajaan.

Najib berkata dalam memodenkan perundangan berkaitan perburuhan negara, kerajaan telah menambah baik Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi menaikkan syarat kelayakan umur Skim Pencen Ilat dari belum mencapai umur 55 tahun kepada belum mencapai umur 60 tahun supaya selaras dengan Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

Sementara penguatkuasaan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 bagi swasta yang akan dikuat kuasa pada 1 Julai ini akan memberi faedah segera kepada kira-kira 300,000 pekerja swasta yang mencapai umur 55 tahun mulai tarikh tersebut, katanya.

Mengenai penetapan kadar gaji minimum sektor swasta yang telah berkuat kuasa bagi majikan menggaji enam orang pekerja dan ke atas pada 1 Jan lepas, dan pada 1 Julai ini bagi majikan lima orang pekerja, Najib berkata ianya akan memanfaat seramai 3.2 juta pekerja di seluruh negara.

"Dalam tempoh jangka panjang, penetapan kadar gaji minimum ini akan memberi impak positif kepada transformasi ekonomi negara daripada berorientasikan buruh kepada berorientasikan modal serta menyumbang ke arah peningkatan jumlah pekerja berkemahiran tinggi di negara ini," katanya.

Najib berkata perlanjutan umur persaraan ini serta pelaksanaan kadar gaji minimum negara dapat membantu meningkatkan jumlah tabungan pekerja di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup mereka selepas persaraan terperlihara.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan sedang menyemak semula Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Agensi Perkerjaan Swasta 1981, dan semua cadangan semakan semula ini dibincangkan di antara kerajaan, pihak pekerja dan majikan dalam usaha mendapatkan persetujuan bersama berasaskan semangat tripartisme, katanya.

"Apa yang telah saya dan rakan-rakan lakukan demi untuk pekerja Malaysia sepanjang empat tahun yang lalu hanyalah bayangan terhadap apa yang akan kami laksana dan usahakan untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Peningkatan kebajikan serta kesejahteraan lebih 13 juta pekerja Malaysia akan tetap menjadi pedoman kami dalam bergerak ke hadapan," katanya.

-- BERNAMA

KERAJAN PERTIMBANG ' TIME-BASED PROMOYION' DI JABATAN TERTUTUP, KATA KSN

Bernama
30/4/2013


 PELABUHAN KLANG, 30 April (Bernama) -- Kerajaan sedang menimbang untuk memperkenalkan kenaikan gred berdasarkan 'time-based' bagi penjawat awam di jabatan tertutup seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata pertimbangan itu selepas mengambil kira kenaikan gred dalam kalangan penjawat awam di sektor berkenaan agak perlahan berbanding jabatan lain.

"Kalau ikut skim kenaikan pangkat sedia ada, ramai (pegawai dari jabatan tertutup) akan pencen pada tahap gred 48. Saya telah nyatakan perkara ini kepada Perdana Menteri dan ini akan dibawa untuk pertimbangan jawatankuasa kabinet.

"Bagi pegawai berprestasi tinggi kalau boleh sebelum pencen sekurang-kurangnya gred 54 untuk lepasan ijazah dan untuk kakitangan sokongan kita juga akan perkenalkan 'time-based promotion' mengikut kategori masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Wisma Kastam Selangor di Pulau Indah, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad dan Pengarah Kastam Selangor Badaruddin Mohamed Rafik.

Ali berkata konsep kenaikan gred berdasarkan tempoh perkhidmatan itu akan memberi motivasi yang lebih kepada anggota penguat kuasa untuk menjalankan tugas dengan cemerlang selain menghargai sumbangan mereka kepada negara.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan skim insurans khusus bagi anggota penguat kuasa beruniform memandangkan mereka sentiasa terdedah kepada ancaman semasa bertugas.

"Tugas penguatkuasaan selalu diancam pihak tidak bertanggungjawab dan saya ada menyatakan kepada semua ketua jabatan bahawa mereka perlu meningkatkan tahap keselamatan penjawat awam kita dan keluarga mereka," katanya.

Sementara itu ketika mengulas penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung arahan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan yang kononnya meminta pegawai kerajaan tidak bekerja lebih masa, Ali berkata perkara tersebut dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang berniat ingin memperlekehkan peranan penjawat awam di Malaysia.

Katanya adalah perkara biasa bagi pihak Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan mengeluarkan pekeliling pentadbiran keselamatan untuk mengingatkan penjawat awam betapa pentingnya mereka menjaga keselamatan khususnya kerahsiaan dokumen.

"Tetapi saya nampak ada pihak tidak bertanggungjawab cuba 'spin' (arahan pekeliling ini) dengan mengedarkan SMS. Saya rasa itu tidak elok, jangan bawa penjawat awam dalam perkara yang mereka nak perlekehkan dalam negara," katanya.

Ali percaya penjawat awam bijak membuat keputusan sendiri dan tidak akan mudah terpedaya dengan perbuatan pihak-pihak yang cuba memutarbelitkan perkara itu.

Terdahulu, Khazali semasa berucap pada majlis berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang bertanggungjawab dalam pembunuhan kejam Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim pada Jumaat lepas.

Beliau berharap kejadian itu tidak akan mematahkan semangat warga kastam untuk terus menjalankan tugas dengan penuh integriti.

"Kita sangat terasa kehilangan Allahyarham, yang sangat berkaliber dan berdedikasi dalam menjalankan tugasnya. Ketika ditanya pemberita adakah saya takut, saya jawab kalau pegawai penguat kuasa takut maka siapa yang nak diharapkan untuk memikul tanggungjawab yang diberi oleh kerajaan.

"Justeru, sama-samalah kita pastikan pengorbanan Allahyarham tidak sia-sia dengan bekerja penuh tanggungjawab serta penuh keimanan," katanya.

-- BERNAMA

ALI HAMSA : TIADA ARAHAN TIDAK BENAR PEGAWAI KERAJAAN KERJA LEBIH MASA

Sinar30 April 2013


Datuk Seri Dr Ali Hamsa Datuk Seri Dr Ali Hamsa
KUALA LUMPUR - Semua pegawai kerajaan diminta tidak mempercayai pesanan ringkas (SMS) berhubung arahan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan yang meminta mereka tidak bekerja lebih masa.Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata pesanan ringkas itu yang turut mengandungi arahan tidak membenarkan orang sebarangan berada di kawasan pejabat kerajaan, juga adalah tidak benar.

"Saya meminta semua pegawai kerajaan dan orang awam supaya tidak mempercayai khabar angin itu atau dakwaan-dakwaan lain yang tidak berasas dan adalah tidak benar mengenai urusan pentadbiran kerajaan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menerusi SMS, Facebook, Twitter, blog atau medium sosial lain," katanya dalam kenyataan di sini petang semalam.

Ali berkata pekeliling pentadbiran keselamatan biasanya dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di semua 14 negeri sebagai peringatan kepada pegawai-pegawai kerajaan untuk memastikan keselamatan bangunan, aset kerajaan termasuk menjamin keselamatan pegawai ketika bertugas.

Dalam pada itu, penyebaran pesanan ringkas yang mendakwa pentadbiran kerajaan di Putrajaya mengeluarkan arahan berkenaan berkuatkuasa semalam itu kini disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).SKMM dalam kenyataannya berkata beberapa aduan berhubung penyebaran SMS palsu itu telah diterima dan meminta pihak yang menaja aktiviti itu supaya segera menghentikan perbuatan tersebut atau bakal berhadapan tindakan undang-undang.

Menurut SKMM, mereka yang didapati bersalah menyebarkan maklumat palsu menerusi SMS atau media sosial boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali, mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Justeru, SKMM mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai apa yang mereka baca dalam talian dan menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut sebelum membuat sebarang pandangan, kesimpulan atau memanjangkan mesej mengenai isu berkenaan. - Bernama

INSURANS PENGUAT KUASA

Ali Hamsa
 
 
 
SEPANG 29 April - Kira-kira 400,000 anggota penguat kuasa bakal menikmati skim insurans khas yang melindungi mereka semasa menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang tidak lama lagi.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa berkata, skim sedemikian perlu bagi memberi semangat dan keyakinan tinggi dalam kalangan anggota penguat kuasa terbabit, khususnya mereka yang berjawatan rendah."Baru-baru ini, kami ada mengadakan perbincangan dengan wakil Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan mereka ada kemukakan keperluan skim insurans sedemikian.

"Jadi, perkara itu dalam pertimbangan sekarang ini dan saya sendiri akan membawanya kepada pengetahuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pusat khidmat sehenti Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. Selain polis dan tentera, Malaysia turut mempunyai anggota penguat kuasa lain seperti di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Imigresen, pihak berkuasa tempatan (PBT), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurut Ali, buat masa ini kerajaan mempunyai beberapa bentuk bayaran pampasan dan pencen untuk mana-mana anggota penguat kuasa yang mati semasa menjalankan tugas."Cuma kali ini, kita berpendapat sudah tiba masanya untuk kerajaan memberi keutamaan kepada penjawat awam berkenaan memandangkan sumbangan mereka itu penting kepada pendapatan negara. "Lagipun, kita juga tidak boleh memandangkan ringan terhadap ancaman pihak yang berniat jahat kepada anggota penguatkuasa," katanya.

Sementara itu, Ali menyifatkan pembukaan pusat khidmat sehenti MHTC di KLIA akan memudahkan lagi warga asing yang tiba di Malaysia untuk mendapatkan rawatan terhadap penyakit yang dialami mereka.
"Malah, dari segi pulangan, bidang pelancongan kesihatan itu telah meningkat sebanyak 51 peratus dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini."Ia meningkat dari RM379 juta dalam tahun 2010 kepada RM594 juta pada tahun 2O12," katanya.
 

29 April 2013

HUSAM PERLU MINTA MAAAF - CUEPACS

Utusan Malaysia
29/8/2013

KUALA LUMPUR 28 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa meminta maaf kepada penjawat awam kerana mengaitkan pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim dengan rasuah.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya amat kesal dan kecewa dengan kenyataan itu yang menjatuhkan imej penjawat awam di negara ini.

"Saya kecewa kerana kematian seorang penjawat awam telah dibawa ke kempen pilihan raya di mana Husam telah mengeluarkan tuduhan melulu yang tidak terbukti kebenarannya. "Beliau sepatutnya menyuarakan penghargaan terhadap penjawat awam yang berkorban untuk negara dan bukannya mengeluarkan kata-kata yang melukakan hati," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Husam dalam ceramah politiknya di Putrajaya mendakwa kejadian yang menimpa Shaharuddin berpunca daripada masalah rasuah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menyifatkan kenyataan Husam sebagai biadab dan tidak menghormati kakitangan kerajaan.Mengulas lanjut, Omar berkata, kenyataan Husam tersebut seolah-olah menunjukkan calon Pas di kerusi Parlimen Putrajaya itu lebih tahu keadaan sebenar berbanding pihak berkuasa. "Husam sepatutnya faham bahawa penjawat awam mempunyai tanggungjawab yang berat selain berdepan pelbagai cabaran semasa menjalankan tugas. "Beliau perlu memikirkan akibatnya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

28 April 2013

NAJIB UMUM KENAIKAN GRED ALLAHYARHAM SHARARUDDIN KEPADA JUSA A

Sinar Harian
28 April 2013 



 
Rahimah
Najib dan Rosmah meluangkan masa beramah mesra dengan Rahimah, 
balu Allahyarham Shaharudin yang mati ditembak ketika menziarahi 
keluarga Allahyarham di Dengkil, hari ini. 
 
DENGKIL - Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Allahyarham Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak Jumaat lepas, dinaikkan gred daripada Jusa B kepada Jusa A.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menziarahi keluarga Allahyarham di Dengkil hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah serta calon Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib berkata, dengan kenaikan gred tersebut, bererti faedah gratuiti dan pencen tahunan yang akan diterima balu Allahyarham juga bertambah.

"Dalam menjalankan tugas demi kepentingan negara maka kerajaan mengambil keputusan menaikkan gred Allahyarham daripada Jusa B kepada Jusa A.

"Ia sebagai pengiktirafan kerajaan untuk pengorbanan mutlak dilakukan Allahyarham sebagai seorang pegawai tinggi kerajaan yang gigih serta berdedikasi dalam menjalankan tugas demi negara," katanya yang turut menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham.

Allahyarham Shaharuddin, 58, mati ditembak dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, Jumaat lepas.

Pada masa sama, Najib berharap semua petugas Kastam akan lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas.

Katanya mungkin ada beberapa kaedah boleh digunakan untuk mengelak menjadi sasaran mereka yang berniat jahat.

"Saya juga sudah minta pihak polis lakukan siasatan rapi dan segera serta mahu kes itu dapat diselesaikan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Sementara itu, balu Allahyarham, Datin Rahimah Ibrahim mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap beliau dan anggota keluarganya.

Rahimah yang kelihatan sebak berkata, beliau sekeluarga amat terharu dengan kehadiran Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

"Terima kasih kerana Perdana Menteri begitu mengambil berat terhadap arwah sebagai penjawat awam, terima kasih juga di atas kenaikan gred yang diumumkan perdana menteri," katanya selepas menerima kunjungan Perdana Menteri di sini.

Rahimah yang turut ditemani dua anaknya Akhtar dan Suhana, berkata: "Alhamdulillah kenaikan gred itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami selain dapat menjaga kebajikan keluarga."

Beliau juga berkata, arwah suami sering berkongsi pengalaman mengenai risiko tugasnya namun bagi Allahyarham itu adalah perkara biasa.

"Jadi saya sering mengingkatkan arwah supaya berhati-hati. Tetapi semasa hari kejadian arwah kelihatan tergesa-gesa untuk ke tempat kerja sehingga tak sempat nak bersalam," katanya yang reda dengan pemergian suaminya.

Allahyarham juga, katanya, sering berpesan kepada anak-anak supaya mengamalkan sikap integriti semasa menjalankan tugas.- Bernama

TUDUHAN LIAR BOLEH JEJASKAN IMEJ KASTAM

Berita Harian
28/4/2013
Tuduhan liar boleh jejas imej kastam 
 Datuk Seri Khazali Ahmad, Ketua Pengarah KDRM
Kuala Lumpur: Seluruh kakitangan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) terguris hati dengan tuduhan liar pembangkang yang mendakwa pembunuhan pegawai kanan mereka, kelmarin ada kaitan dengan rasuah dalam kerajaan.

Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Khazali Ahmad, (gambar) berkata tohmahan itu bukan saja menyinggung perasaan keluarga mangsa, malah menimbulkan persepsi negatif bahawa penjawat negara yang berkhidmat untuk kerajaan terbabit rasuah.
Katanya, sebagai parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, pemimpin PAS tidak harus mempolitikkan kes sedemikian. “Hentikan tohmahan palsu ini dan hormatilah keluarga mangsa. Ini soal pentadbiran, biar polis siasat kerana kita tidak tahu motif pembunuhan.




“Kita tidak mahu tuduhan palsu itu memberi persepsi negatif kepada rakyat dan menjejaskan imej kastam. Sebagai badan penguat kuasa, kami melaksanakan tugas yang diamanah dengan penuh tanggungjawab hatta mempertaruhkan nyawa,” katanya.

Beliau mengulas tuduhan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam ceramahnya di Presint 3, Putrajaya, malam kelmarin, mendakwa pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah KDRM, Datuk Shaharuddin Ibrahim ada kaitan dengan rasuah kerajaan.
Shaharuddin ditembak mati dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, kira-kira jam 8.15 pagi.

Khazali yang yakin kes itu dapat diselesaikan polis dalam masa terdekat berkata, pembunuhan pegawainya itu tidak melemahkan semangat beliau dan anggotanya untuk meneruskan tugas.
“Ia tidak jejaskan moral dan semangat kami walaupun sering menerima ancaman, malah meningkatkan lagi usaha mengikut objektif ditetapkan. Kakitangan juga turut sentiasa bersiap siaga dengan meningkat tahap keselamatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan selepas ini kerana kami tidak tahu musuh kami dari mana,” katanya.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman yang mewakili kira-kira 1.3 juta penjawat awam, berkata tuduhan Husam itu bukan saja merugikannya, malah mengundang kebencian rakyat terhadap PAS.

PENJAWAT AWAM DIMINTA BUAT INTERPRETASI SENDIRI TENTANG LABEL KERA : KSN

Bernama
27/4/2013



JOHOR BAHARU, 27 April (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa meminta penjawat awam membuat interpretasi sendiri mengenai perbuatan calon pembangkang melabelkan mereka sebagai kera.

"Penjawat awam pun ada perasaan. Saya minta penjawat awam sendiri buat interpretasi (mengenai perkara itu)," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra bersama penduduk Rumah Iskandar Malaysia di Gelang Patah hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan calon PKR bagi kerusi Parlimen Johor Baharu Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein yang melabelkan penjawat awam sebagai kera.

Rakaman video Md Hashim yang dipercayai berbuat demikian semasa kempen pilihan raya beliau di sini dimuat naik ke Youtube empat hari lepas dengan tajuk 'Semua Penjawat Awam Memang KERA' oleh pemilik akaun bernama mykmujohor.

Lebih 10,500 pengguna Youtube telah menonton rakaman video itu dan ramai daripada mereka mengutuk perbuatan tersebut.

Dalam video sepanjang 39 saat itu Md Hashim berkata kakitangan kerajaan (penjawat awam) merupakan singkatan kepada 'kera dalam jagaan' dan mereka seperti beliau sendiri apabila dilepaskan mula mengamuk dan merusuh.

Mengenai Rumah Iskandar Malaysia, Ali berkata 880 unit telah dihuni oleh penyewa berpendapatan sederhana termasuk penjawat awam.

Menurut beliau, penghuni menyatakan mereka puas hati tinggal di perumahan yang dibangunkan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (Irda) itu.

Katanya penghuni itu berharap mereka akan dapat membeli rumah yang serba cantik dan lengkap dengan pelbagai kemudahan itu dan bukannya hanya menyewa seperti sekarang.

"Kita akan buat proposal secepat mungkin dan berbincang dengan pihak Irda mengenainya," katanya.

Apartmen empat tingkat itu disewakan kepada orang ramai yang bekerja dalam kawasan Iskandar Malaysia pada harga sekitar RM360 hingga RM560 seunit setiap bulan.

-- BERNAMA

27 April 2013

ALLAHYARHAM PEGAWAI YANG BERDEDIKASI - KP KASTAM


Bernama
26/4/2013



PUTRAJAYA, 26 April (Bernama) -- Allahyarham adalah pegawai kanan yang berkaliber dan berdedikasi, kata Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad, merujuk kematian Timbalannya Datuk Shaharuddin Ibrahim dalam kejadian tembak di sini hari ini.
Beliau berkata Jabatan Kastam kehilangan seorang pegawai kanan yang berhemah tinggi dan dihormati rakan serta masyarakat secara amnya, akibat kejadian malang itu.

"Kami anggap kejadian ini sebagai satu musibah besar bagi Jabatan Kastam, saya bagi pihak jabatan ucapkan takziah dan minta keluarga Allahyarham supaya banyak bersabar," katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya di sini Jumaat.

Timbalan Ketua Pengarah itu ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya, ketika kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi.

Sementara itu Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata penjawat awam khususnya dari Jabatan Kastam tidak seharusnya patah semangat dengan kejadian hari ini.

Beliau yang ditemui di Hospital Putrajaya di sini berkata penjawat awam khususnya yang beruniform, seringkali berhadapan dengan banyak dugaan yang benar-benar mencabar semasa menjalankan tugas.

"Kita harap semua warga kastam khususnya jangan patah semangat, teruskan dengan kerja serta tanggungjawab masing-masing, dan laksanakan ia dengan penuh integriti," katanya yang mengakui mengenali Allahyarham secara peribadi.

Beliau berkata Allahyarham merupakan seorang yang berdedikasi, mesra serta mudah didekati, dan menurutnya Cuepacs mengadakan perbincangan dengan badan-badan beruniform kira-kira dua hari lepas mengenai soal kebajikan mereka, dan Allahyarham mewakili Jabatan Kastam.

Sementara itu setiausaha kewangan Cuepacs Ja'apar Mansor yang juga pegawai Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPSM) ketika ditemui berkata tugas sebagai pegawai kastam sememangnya amat mencabar dan banyak dugaan perlu diharungi.

Beliau yang mengenali Allahyarham sejak 1980-an lagi berkata antara kes yang pernah dialami pegawai kastam sebelum ini ialah diugut, dilanggar kereta, rumah dibaling cat, dipukul dan sebagainya, namun kejadian hari ini adalah paling serius.

Turut ditemui di hospital ialah calon BN Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Tengku Mansor.

-- BERNAMA

24 April 2013

DISIPLIN DIRI PENENTU TAHAP IMAN

Berita Harian
20/4/2013

Pengetahuan dan kefahaman mempunyai kaitan rapat dengan disiplin kerja. Cuba bayangkan jika situasi seperti dalam kata-kata ini sering berlaku, ‘aku tak tahu macam mana nak buat’, ‘bos suruh, aku buat sahaja’, ‘betul ke tidak akupun tak tahu, janji siap.’
Ia menunjukkan amalan bekerja tanpa kefahaman atau pengetahuan. Situasi begini jika berlarutan, tidak akan membantu pembinaan dan pengukuhan disiplin yang menjadi penentu budaya kerja cemerlang.
Disiplin tidak akan terbina melalui proses kerja secara cuba-cuba. Justeru, pekerja berpengetahuan dan berkefahaman tinggi mengenai bidang tugasnya adalah aset dan modal insan kepada kejayaan organisasi.


Bagi penjawat awam, usaha pengukuhan ini bersesuaian dengan penekanan pembangunan modal insan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dan Teras Perkhidmatan Awam.

Kerja yang lancar pula menghasilkan output dengan cepat. Kitaran proses ini sangat menarik kerana ia berkait rapat dengan pembentukan empat disiplin kerja. Pertama, disiplin memastikan pekerja mempunyai kefahaman dan pengetahuan asas berkaitan tugasan sebelum melaksanakannya.

Kedua, disiplin dalam memastikan kerja yang dilakukan berhasil. Ketiga, disiplin dalam memastikan ia dihasilkan dengan kadar segera. Keberhasilan kerja secara cepat membentuk keseronokan dan kepuasan pekerja yang membentuk kitaran disiplin keempat, iaitu melakukan kerja secara berterusan.

Disiplin hasil kerja cemerlang
Begitulah kitaran disiplin yang menentukan kerja menjadi cemerlang atau sebaliknya berpunca daripada satu faktor utama, iaitu kefahaman dan pengetahuan. Allah SWT menyatakan bahawa perbezaan antara orang berilmu dengan orang tidak berilmu.

Firman Allah SWT: “Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah al-Zumar, ayat 9)

Kefahaman dan pengetahuan yang membentuk disiplin kerja ini perlu meliputi beberapa perkara asas iaitu matlamat ingin dicapai daripada sesuatu tugasan, peraturan atau syarat yang perlu dipatuhi, proses dan prosedur kerja.

Semua ini adalah maklumat yang memberi kefahaman dan pengetahuan asas kerja sebelum ia dapat dilaksana dan disempurnakan dengan betul serta jayanya. Seseorang pekerja tidak akan dapat membentuk disiplin diri secara berterusan sekiranya maklumat asas berkaitan tugasan tidak difahami.

Hal ini perlu dielakkan demi memastikan tidak berlaku silap faham, silap pertimbangan, silap keputusan dan silap tindakan di kalangan pekerja.

Justeru, kaedah mendapatkan penjelasan dan pengetahuan melalui amalan bertanya, berbincang, berbahas, mendapatkan maklum balas, pandangan, mengikuti latihan, bengkel, motivasi, ceramah dan bimbingan selain pembelajaran berterusan melalui pembacaan perlu digalakkan dalam organisasi.

Elak kebinasaan


Rasulullah SAW memberi peringatan untuk mengelakkan kebinasaan: “Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan itu) dan janganlah engkau menjadi daripada golongan kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Riwayat al-Bazzar)

Usaha ini dapat meningkatkan penguasaan bidang dan kemahiran kerja dalam Islam yang bertujuan memimpin akal, akhlak dan memandu tindakan.

Daripada Ibnu Mas’ud, Nabi SAW bersabda: “Jangan ada perasaan iri hati melainkan kepada dua keadaan: (Pertama) keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda serta menjadikannya menguasai dirinya menghabiskan hartanya itu pada perkara kebajikan yang sebenar-benarnya; dan (kedua) keadaan orang yang dikurniakan Allah ilmu pengetahuan, lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya.” (Riwayat Imam al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi)

Justeru, dengan menekankan kepada kefahaman dan pengetahuan dalam kalangan pekerja, kita akan secara tidak langsung menggerakkan kitaran proses kerja berdisiplin yang semuanya menjadikan pekerja lebih berkesan serta penghasilan kerja lebih baik.

Firman Allah SWT: “Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan orang yang berilmu beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Justeru, marilah kita membina disiplin diri melalui kerja berteraskan kefahaman dan pengetahuan dan menjadikannya proses sepanjang hayat.

Penulis ialah
Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

23 April 2013

MEMPERKUKUH PERKHIDMATAN AWAM

Bernama
23/4/2013

 
PERTUMBUHAN dan pembangunan negara ini banyak disumbangkan oleh penjawat awam. Mereka merupakan tulang belakang pembangunan ekonomi negara kita. Mereka melindungi sempadan kita, mendukung undang-undang dan ketenteraman awam, mereka mengubat dan menjaga kita serta mengajar dan mendidik anak-anak kita.Sesuai dengan hakikat itu, maka manifesto BN kali ini turut meletakkan sasaran untuk memperkukuhkan perkhidmatan awam dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antara yang akan dilaksanakan adalah memperkenalkan Skim Gaji Transformatif (SGT) untuk penjawat awam, termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji dilakukan.Penambahbaikan lain yang akan dilaksanakan adalah menyediakan lebih banyak peluang kenaikan pangkat dan pembangunan bakat serta memastikan kualiti kehidupan penjawat awam terpelihara.

Bagi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, pihaknya menyambut baik langkah untuk memperkenalkan SGT di bawah Sistem Saraan Transformatif (SST)."Dalam masa sama kita berharap SST yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan lalu dilaksanakan secara lebih menyeluruh bagi meningkatkan prestasi penjawat awam.

"Kalau boleh proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim perkhidmatan sahaja setakat ini akan diperluaskan untuk turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan."Sebelum ini kita ada cadangan untuk meningkatkan sistem saraan melalui Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SSBP), namun tak jadi. Kita balik kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik."Apa yang diperlukan sekarang adalah sistem pengganti SSM bagi membolehkan penjawat awam berkhidmat dengan baik.

"SST yang baru diumumkan merupakan langkah pertama yang baik ke arah ini, namun ia belum merangkumi semua skim perkhidmatan awam," katanya.Selain semakan terhadap setiap gred, katanya, nama jawatan dan tangga gaji dalam perkhidmatan awam merupakan perkara penting yang memerlukan kajian mendalam."Ini penting bagi membentuk sebuah sistem saraan mampan yang mampu memastikan perkhidmatan awam berada pada tahap tertinggi selain menjaga kebajikan penjawat awam," ujarnya.

Mengenai langkah menyediakan lebih banyak peluang kenaikan pangkat dan pembangunan bakat, Omar berkata, ia sudah pasti disambut baik oleh penjawat awam. "Ini kita nampak lonjakan daripada sistem terdahulu kerana terdapat peluang lebih cerah kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat melalui laluan pantas yang dinilai berdasarkan bakat, kepakaran dan kreativiti mereka," katanya.

19 April 2013

157 PEGWAI TADBIR AGAMA NAIK GRED

Utusan Malaysia
19/4/2013


JERAI 18 April - Sebanyak 157 pegawai tadbir agama daerah (PTAD) bakal menikmati kenaikan gred setelah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju menambah baik gred perjawatan PTAD di seluruh negara.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, proses menaik taraf gred itu melibatkan dua model berdasarkan beberapa kriteria.

"Setelah sekian lama PTAD berada dalam perjawatan sedemikian, JPA meluluskan peningkatan perjawatan baharu berdasarkan dua model," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pengurusan Hal Ehwal Islam di Gurun, di sini hari ini.Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Datuk Noh Dahaya. 

Jamil Khir berkata, model pertama terdiri daripada seorang pegawai yang memiliki gred S48 dibantu petugas gred S44, S41, S38 dan S32 manakala model kedua terdiri daripada seorang pegawai gred S44 dibantu petugas gred S38, S32 dan S27.Tambahnya, lima kategori diambil kira bagi pemilihan model tersebut termasuk bilangan penduduk Islam sesebuah daerah, bilangan urusan nikah, cerai dan rujuk serta kaunseling yang dijalankan.

Turut diambil kira, jelas beliau, bilangan aduan, aktiviti penguatkuasaan dan kertas siasatan yang dikendalikan, bilangan masjid, surau, sekolah agama yang dipantau dan tanah perkuburan serta keluasan sesebuah daerah.Beliau berkata, proses menaik taraf gred perjawatan PTAD akan dilaksana dalam masa terdekat dan secara tidak langsung dapat mewujudkan peluang kerjaya dan petugas baharu.Menurutnya, jumlah PTAD sebanyak 157 orang ketika ini juga dijangka meningkat kepada 388 orang selepas penaiktarafan dijalankan.
"Ini belum termasuk Sabah, Sarawak, Perlis dan Wilayah Persekutuan, saya yakin kalau ditambah negeri-negeri ini, jumlah keseluruhan petugas yang mengisi jawatan PTAD melebihi 500 orang.

"Perkara ini akan dilaksana secepat mungkin sebaik sahaja diluluskan cuma untuk mengharmonikan, kita minta yang senior diutamakan dahulu untuk mengisi perjawatan di daerah besar, namun masih ada ruang untuk mereka yang cemerlang," katanya.

18 April 2013

CUEPACS SAMBUT BAIK PPA1M, HARAP ADA KESINAMBANUNGAN

Bernama
18/4/2013


PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata masih banyak perkara yang sedang ditimbang dan akan dilaksanakan kerajaan semata-mata untuk menjaga kebajikan para penjawat awam di Malaysia ketika ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan selama ini menjadi bukti keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kebajikan para penjawat awam.

Beliau berkata Cuepacs berharap wujud kesinambungan dalam pentadbiran negara, agar apa yang dilaksanakan kerajaan selama ini dalam soal menambah baik aspek kebajikan para penjawat awam seperti pengenalan skim saraan transformatif, taraf perkhidmatan kakitangan, pergerakan gaji, kenaikan pangkat, pemberian bonus dan sebagainya, akan dapat diteruskan lagi.

"Pelancaran PPA1M hari ini juga menunjukkan bahawa kerajaan mendengar kehendak penjawat awam, memang ini yang kita mahukan, subsidi kerajaan kepada penjawat awam untuk beli rumah," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) oleh Perdana Menteri di sini Khamis.

PPA1M merupakan inisiatif kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik khusus buat penjawat awam di bandar-bandar utama seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Omar berkata ketika ini tidak ada sebab bagi para penjawat awam untuk tercicir daripada landasan sokongan terhadap kerajaan berdasarkan kepada apa yang telah diberikan kepada mereka selama ini.

Beliau berkata sejak lima tahun kebelakangan ini, Cuepacs mendapati kira-kira 22 perkara baru diperkenalkan kerajaan khusus untuk menjaga kebajikan para penjawat awam semata-mata.

Menurutnya, beliau berpendapat pentadbiran sedia ada perlu dikekalkan selepas pilihan raya bagi memastikan wujudnya kesinambungan dalam perjuangan menjaga kebajikan para penjawat awam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang turut serta pada sidang media itu berkata PPA1M dilancarkan di Putrajaya kerana kerajaan faham dengan kehendak masyarakat setempat yang mahukan peluang memiliki rumah dan bermastautin di sini.

Beliau yang diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi parlimen Putrajaya sekali lagi baru-baru ini berkata kira-kira 90 peratus penduduk Putrajaya adalah penjawat awam, dan menurutnya beliau memang mendengar dan faham dengan permintaan ramai penjawat awam di sini yang berhasrat memiliki terus unit rumah kerajaan yang didiami mereka.

Katanya beliau telah menerangkan bahawa unit itu disediakan khusus untuk penjawat awam yang bertugas di sini, dan kerajaan yang prihatin mendengar hasrat mereka untuk memiliki rumah di Putrajaya, menawarkan PPA1M sebagai jawapannya.



-- BERNAMA

PM LANCAR PROGRAM PPA1M

NAJIB Tun Razak tertarik melihat model Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) pada majlis pecah tanah dan pelancaran PPA1M di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Ali Hamsa (kanan) dan Aseh Che Mat (dua, kiri). - BERNAMA

PUTRAJAYA 18 April - Perdana Menteri hari ini menyempurnakan majlis pecah tanah dan melancarkan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk fasa pertama membabitkan pembinaan sebanyak 1,256 unit rumah di Presint 17 dan 256 unit di Presint 11 di sini.Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rumah yang akan dijual berharga antara RM150,000 dan RM300,000 serta berkeluasan 1,000 hingga 1,500 kaki persegi itu akan dibina dalam beberapa fasa.

Menurut beliau, kediaman itu akan dilengkapi kemudahan tempat letak kereta, surau, dewan serba guna, tadika, taska dan kemudahan sokongan lain.Tambahnya, rumah yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan itu bukan sahaja selesa dan berkualiti malah penanda arasnya lebih baik berbanding flat badan perumahan dan pembangunan (HDB) di Singapura."Kakitangan awam perlu membayar RM2,000 sebagai deposit dan mula membuat bayaran sebaik sahaja berpindah masuk ke rumah itu," katanya dalam majlis itu yang dihadiri lebih 2,000 penjawat awam.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohamad Zabidi Zainal; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman dan calon BN Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.Najib berkata, walaupun dari sudut perniagaan terdapat kesukaran untuk pemaju menyediakan rumah berkualiti pada harga rendah, kerajaan mengambil inisiatif memberikan subsidi dalam bentuk tanah serta menjalin kerjasama dengan pihak swasta membina rumah-rumah mampu milik.

Beliau berkata, antara syarat dikenakan untuk membeli rumah PPA1M ialah pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM8,000, terbuka kepada anggota perkhidmatan awam dan badan-badan berkanun serta tidak diisytiharkan muflis.Tambahnya, keutamaan juga diberikan kepada yang bekerja di Putrajaya selain boleh dijual selepas 10 tahun manakala pemilihan dibuat secara cabutan undi.

"Sebagai kerajaan kita mesti bersikap rendah diri, era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir, namun denyut nadi rakyat dapat saya rasai semasa bersembang-sembang dengan mereka dan saya dapati mereka sangat berkehendakkan rumah," katanya.Menurut Najib, inisiatif terbaharu kerajaan itu bukan dibuat kerana belas kasihan sebaliknya atas dasar Putrajaya merupakan pusat pentadbiran negara sekali gus mencerminkan penjawat awam sentiasa bersama-sama kerajaan hari ini.

15 April 2013

PENJAWAT AWAM DINASIHAT TIDAK TERLIBAT KEMPEN PRU-13

Utusan Malaysia
15/4/2013


KUCHING 15 April - Penjawat awam dinasihat supaya tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti kempen yang dianjurkan mana-mana parti politik sepanjang musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri, Ahmad Malie berkata, walaupun tiada peraturan atau larangan khusus yang menetapkan perkara tersebut, namun penjawat awam adalah golongan berkecuali.
Katanya, penjawat awam perlu memilih kepimpinan negara dengan bijak dan tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti berkempen pilihan raya seperti menggantung poster dan terlibat dalam penganjuran ceramah.
"Penjawat awam tidak dibenarkan melakukan atau terlibat dalam aktiviti itu di bawah peruntukan Perintah Am iaitu mereka boleh dikenakan tindakan disiplin.
"Bagaimanapun mereka disaran supaya keluar mengundi dan menggunakan peluang tersebut secara rasional bagi memastikan dasar membela kebajikan mereka dan agenda pembangunan negara berjalan lancar," katanya di sini semalam.
Ahmad yang juga Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) memberitahu, mereka perlu bijak memilih parti yang diyakini mampu menunaikan janji kepada penjawat awam bagi memperkasakan sektor awam hari ini dan memimpin negara di masa hadapan.
Di samping itu katanya, penjawat awam perlu menilai segala bantuan dan penambahbaikan yang dilakukan kerajaan sekarang dan memperjudikan masa depan mereka.

PENJAWAT AWAM PERLU BIJAK PILIH KERAJAAN - CUEPACS


Utusan Malaysia
15/4/2013

KUALA LUMPUR 14 April - Penjawat awam perlu memilih kepimpinan negara dengan bijak dalam pilihan raya umum akan datang bagi memastikan dasar membela kebajikan mereka dan agenda pembangunan negara berjalan lancar.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, penjawat awam wajar menilai segala bantuan dan penambahbaikan yang dilakukan kerajaan sekarang dan membandingkannya dengan apa yang dilakukan pembangkang.
"CUEPACS menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang banyak membantu dan menunaikan janji kepada penjawat awam bagi memperkasa sektor awam hari ini.
"Sepanjang tempoh kepimpinan Najib, sebanyak 20 perkara diselesaikan seperti kenaikan pangkat kumpulan pelaksana dalam Sistem Saraan Transformatif (SST), pembatalan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), kenaikan kadar pencen dan banyak lagi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Majlis Kongres CUEPACS di sini hari ini.
Menurut Omar, pihaknya juga lega dengan jaminan kerajaan tidak akan mengurangkan jumlah penjawat awam sekali gus melambangkan peranan dan sumbangan golongan itu benar-benar diiktiraf.
Katanya, keadaan itu berbeza dengan tindakan pembangkang yang didakwa mahu mengurangkan jumlah kakitangan awam sekiranya mereka berkuasa.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya berharap sebanyak 81 skim perkhidmatan yang ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini dirunding semula dan diselesaikan Disember ini.
Dalam pada itu, Omar berkata, sambutan Hari Pekerja CUEPACS dengan tema 'CUEPACS Pejuang Kebajikan Pekerja' akan diadakan di Negeri Sembilan pada 30 hingga 1 Mei ini.
Katanya, program itu dijangka dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa.

14 April 2013

JPA DIMINTA BERI CUTI TANPA REKOD DUA HARI KEPADA PENJAWAT AWAM UNTUK MENGUNDI PADA PRU -13 -CUEPACS

Bernama
14/4/2013

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta supaya menimbang memberi cuti tanpa rekod pada 5 dan 6 Mei ini kepada penjawat awam yang ingin balik ke kampung untuk mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman berkata pemberian cuti itu penting untuk menggalakkan lebih ramai penjawat awam terutama yang bekerja di bandar, pulang ke kampung atau kawasan mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Walaupun hari mengundi pada 5 Mei adalah hari Ahad, tetapi ada beberapa negeri yang merupakan hari bekerja pada hari tersebut, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Kongres CUEPACS di sini, Ahad.

"6 Mei, yang jatuh pada hari Isnin, Cuepacs minta agar penjawat awam ini diberi cuti supaya mereka tidak terburu-buru untuk balik ke tempat kerja terutama bagi yang bekerja mengikut syif.

"Bayangkan, kalau penjawat awam itu bekerja di Kuala Lumpur dan mengundi di Kelantan mungkin susah atau mungkin ada yang terpaksa ambil cuti sendiri," katanya.

Omar juga turut mencadangkan kepada JPA untuk membenarkan penjawat awam mengeluarkan 20 peratus daripada jumlah ganjaran perkhidmatan masing-masing pada usia 50 tahun.

Pengeluaran itu bagi membolehkan kira-kira 1.4 juta penjawat awam menampung perbelanjaan mereka atau menggunakan wang berkenaan untuk menyelesaikan sebarang pinjaman kewangan sebelum berpencen, katanya.

-- BERNAMA

07 April 2013

CUEPACS CADANG SISTEM SARAAN TRANSFORMATIF MENYELURUH

Bernama
7/4/2013


 
KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan Sistem Saraan Transformatif (SST) yang lebih menyeluruh dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi penjawat awam.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata CUEPACS berharap proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim perkhidmatan sahaja setakat ini, akan turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak.

"Sebelum ini kita ada cadangan untuk meningkatkan sistem saraan melalui SSBP (Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam), namun tak jadi kita balik kepada SSM (Sistem Saraan Malaysia) yang ditambah baik. Apa yang diperlukan sekarang adalah sistem pengganti SSM bagi membolehkan penjawat awam berkhidmat dengan baik.

"SST (Sistem Saraan Transformatif) yang baru diumumkan merupakan langkah pertama yang baik ke arah ini, namun ia belum merangkumi semua skim perkhidmatan awam. Kita harap pelaksanaan sebuah skim menyeluruh dapat dimuktamadkan dalam tahun ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto BN, antara lain, menyentuh rancangan kerajaan hendak memperkenalkan Skim Gaji Transformatif (SGT) di bawah SST.

Di bawah SGT, ia termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji dilakukan.

Ketika ini, kerajaan BN telah memperkenalkan dan memperkemaskan gred skim penggajian untuk penjawat awam termasuk kenaikan gaji secara keseluruhan dan beberapa inisiatif baharu yang berjumlah RM2 bilion.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan tambahan tiga kali kenaikan gaji tahunan selepas mata gaji mencecah paras maksimum dalam jadual gaji berkuat kuasa 1 Jan 2013.

Omar berkata semakan terhadap setiap gred, nama jawatan dan tangga gaji dalam perhidmatan awam merupakan perkara penting yang memerlukan kajian mendalam bagi membentuk sebuah sistem saraan mampan yang mampu memastikan perkhidmatan awam berada pada tahap tertinggi selain menjaga kebajikan penjawat awam.

Mengulas mengenai prospek lebih cerah untuk kenaikan pangkat dan pembangunan bakat penjawat awam dalam manifesto itu, Omar berkata perkara ini bakal memberi peluang yang lebih luas kepada penjawat awam yang berbakat untuk naik pangkat.

-- BERNAMA

01 April 2013

STAF AWAM DIGESA KELUAR MENGUNDI

Utusan Malaysia
1/4/2013

KUALA TERENGGANU 30 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap jumlah pengundi dalam kalangan penjawat awam akan meningkat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.Timbalan Presiden I CUEPACS, Azih Muda berkata, mereka tidak harus mengambil sikap mudah kerana pilihan raya kali ini dianggap cukup penting."Pada 2008 jumlah penjawat awam yang keluar mengundi hanya sekitar 70 peratus dan kita mahu jumlah itu lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang," katanya,Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah berhubung isu-isu terkini sempena program 'Dari Semporna ke Lahad Datu' di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.