SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

17 Februari 2014

MY HOME: KERAJAAN PERLU PANTAU KUALITI BAHAN BINAAN

Bernama
14/2/2014



KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kerajaan perlu memantau kualiti bahan binaan yang digunakan syarikat pemaju perumahan terpilih dalam menyediakan rumah di bawah program MyHome.
Naib Presiden Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Siti Rahayu Zakaria berkata pemantauan itu penting bagi memastikan rumah yang dibina menepati standard dan selamat diduduki.

Beliau yang menyambut baik pelaksanaan program itu berkata setiap pemaju perumahan juga perlu jujur dan tidak melakukan penyelewengan dengan menyediakan rumah tidak seperti harga jualan.

"Sekiranya pemaju perumahan menjual sebuah rumah dengan harga RM70,000 atas sebab kerajaan negeri menetapkan harga rumah RM40,000, maka kualiti bahan binaan termasuk rekaan rumah tersebut mestilah berharga RM70,000 kerana kerajaan memberikan subsidi RM30,000 bagi menyiapkan seunit rumah yang telah dibeli.

"Apa yang dikhuatiri ialah akan ada pemaju perumahan mengambil kesempatan atas subsidi kerajaan itu apatah lagi kos bahan binaan semakin meningkat, yang secara tidak langsung menyumbang kepada spekulasi harga," katanya kepada Bernama.

Program MyHome, yang akan dilancarkan pada April depan, memberi peluang kepada golongan berpendapatan kurang RM3,000 memiliki rumah menerusi pemberian subsidi maksimum sehingga RM30,000.

Subsidi tersebut akan diberikan kepada pemohon yang layak untuk membeli pada harga rumah kos serendah mengikut definisi ditetapkan kerajaan negeri.

Siti Rahayu berkata syarikat pemaju perumahan perlu memberi komitmen penuh bagi memastikan objektif program ini tercapai, selain dapat membantu golongan sasar memiliki rumah idaman mereka.

Di samping itu, beliau turut menyarankan kerajaan agar tidak mengambil masa lama untuk membayar pemaju bagi memastikan mereka dapat menyediakan sijil layak menduduki (CF) dengan segera.

Dalam masa sama, Siti Rahayu berkata pendidikan kewangan kepada golongan sasar juga amat penting memandangkan mereka dalam kalangan berpendapatan kurang RM3,000.

"Jika golongan sasar ini menghadapi kesulitan kewangan seperti tidak mampu membayar rumah, maka skim menerusi program MyHome akan dilihat seperti membebankan golongan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia Prof Madya Ahmad Hariza Hashim berkata kerajaan perlu menetapkan standard rekaan rumah yang akan dibina menerusi program MyHome.

"Ia termasuklah keluasan rumah, jumlah bilik, reka bentuk dan lokasi rumah tersebut...sekiranya kerajaan dapat memantau perkara ini, ia diharapkan dapat memberi 'hasil' yang menguntungkan pembeli," katanya.

Beliau berkata melalui program ini juga tekanan terhadap permintaan rumah kos rendah berkemungkinan dapat dikurangkan dan lebih ramai golongan berpendapatan rendah memiliki rumah terutama di kawasan bandar.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda pula menyarankan kerajaan pusat mengambil langkah bagi mengurangkan beban pinjaman perumahan terhadap rakyat, termasuk penjawat awam di negara ini.

"Cuepacs ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor yang melaksanakan Skim Pinjaman Perumahan Anggota Perkhidmatan Awam Johor Tanpa Faedah berkuat kuasa 1 Mac ini, langkah ini perlu dicontohi kerajaan pusat atau kerajaan negeri yang lain," katanya.

-- BERNAMA

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lagi sekali Aku first, Aku no.1, Aku terbaik, Aku juara..

Nor Azlina berkata...

Mohon supaya loan rumah kerajaan diturunkan interest atau hapuskn interest seperti kerajaan johor dan kelantan.....0% interest.ini lagi byk membantu

Tanpa Nama berkata...

MUDAH JE NAK TURUNKAN HARGA RUMAH DENGAN TIGA CARA:

1.JANGAN BELI RUMAH HARGA LEBIH DARI 150 RIBU
2.TEROKA MANA MANA TANAH YANG TIDAK BERTUAN ATAU TIADA GERAN
3.BALIK KAMPUNG DAN TINGGALKAN BANDAR RAYA YANG SEMAK DENGAN KEPADATAN PENDUDUK