Sinar Harian
31/12/2015
31/12/2015
KUALA TERENGGANU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menghargai usaha kerajaan menubuhkan satu
jawatankuasa bagi menangani isu kos sara hidup. Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata jawatankuasa itu diharap mampu
memainkan peranan menangani pelbagai perkara yang membebankan rakyat. "Dalam situasi sekarang kita mahu kerajaan campur tangan dalam banyak
hal tentang harga barang yang kian melambung. Kita sudah ada akta
pencatutan untuk pastikan peniaga tidak boleh sewenang-wenang mengambil
untung yang berlebihan.
"Tetapi sekarang kita lihat saban hari, setiap kali penggal baharu
persekolahan dibuka, harga pakaian sekolah naik, barang dapur naik,
barang keperluan basah dan kering naik, harga rumah naik, hartanah naik
malah harga pengangkutan awam pun turut dinaikkan," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung dwitahunan
Kesatuan Pekerja-pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu di
sini hari ini.
Isnin lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
berkata sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi yang dipengerusi beliau
sendiri akan ditubuhkan bagi membincangkan pandangan badan bukan
kerajaan (NGO) tentang isu kos sara hidup. Jawatankuasa turut dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha
kementerian berkenaan iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan
Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir
Khalid.Azih berkata selain mengkaji rungutan NGO dan rakyat berkaitan kenaikan
kos, jawatankuasa itu juga harus mengkaji kandungan perjanjian yang
dahulunya dibuat seperti pembinaan lebuh raya, pembinaan LRT dan
sebagainya yang memberi kesan kepada pengguna. - Bernama