SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

01 Mei 2014

PERANAN PENTING PENJAWAT AWAM

Utusan Malaysia 
1/5/2014


 
 Penjawat awam menjadi tulang belakang kerajaan dan kecekapan mereka bekerja juga memberi impak kepada imej kerajaan. - UTUSAN
 
SABAN tahun akan diadakan sambutan Majlis Hari Pekerja Penjawat Awam dan kali ini Kedah terpilih sebagai tuan rumah acara berkenaan.
Majlis yang diadakan di Dewan Wawasan, Jitra itu adalah anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Walaupun acara rutin, majlis sedemikian cukup penting sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada anggota sektor awam yang telah memberi khidmat bakti bagi menjayakan program pembangunan negara.
Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada kakitangan kerajaan yang bertungkus lumus menjayakan program transformasi perkhidmatan awam seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa ucapan Bajet 2013.
Antara perubahan yang dicadangkan beliau adalah penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi bagi membolehkan mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam.
Bagi menjayakan transformasi perkhidmatan awam, dua agensi kerajaan iaitu JPA dan Kementerian Kewangan telah dipilih sebagai penggerak utama.
Selain itu, majlis berkenaan juga bertujuan mewujudkan hubungan murni antara pekerja dan majikan, dengan harapan kerjasama erat yang sedia terjalin akan terus kekal dan dipertingkatkan untuk kepentingan dan faedah bersama.
Mengulas mengenai sambutan kali ini, Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, tema yang dipilih adalah ‘Penjawat Awam Tiang Seri Negara’.
Beliau berkata, ia selaras dengan hakikat bahawa 1.5 juta kakitangan kerajaan merupakan nadi dan inspirasi perkhidmatan awam negara serta penentu kejayaan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
“Tema ini dipilih selaras dengan peranan serta fungsi penjawat awam dalam membantu kerajaan membangunkan negara," katanya.
Berikutan peranan penting penjawat awam itu, Azih berkata, pihaknya juga mengemukakan beberapa permintaan kepada Perdana Menteri dalam satu pertemuan Isnin lalu.
Menurut beliau, permintaan itu sebenarnya datangnya daripada kakitangan kerajaan di peringkat akar umbi yang menerima kesan daripada kenaikan harga barangan.
“Kita meminta dikaji semula beberapa elaun dan insentif penjawat awam termasuk elaun tetap perumahan, elaun perkhidmatan awam dan tuntutan perjalanan yang sudah lama tidak naik walaupun kos sara hidup kian meningkat.
“Kadar hotel juga perlu dikaji. Adakah adil setiap kali buat urusan rasmi kerajaan, kami kena tanggung sendiri bayaran hotel?
“Elaun perjalanan juga masih pada kadar yang lama sedangkan harga petrol sudah naik. Jarak yang dilalui sama tapi kos yang dibayar lebih," katanya yang turut memaklumkan Najib dijangka akan menghadiri majlis sambutan hari ini.
Menurut Azih, permintaan lain adalah supaya dikaji tempoh pengesahan seseorang penjawat awam yang terlalu lama iaitu antara satu hingga tiga tahun sekarang.
“Selagi tidak dapat pengesahan, mereka tidak boleh beli rumah dan tidak boleh pinjam bank. Akhirnya mereka pinjam ah long. Oleh itu masa pengesahan jawatan patut dipendekkan kepada satu hingga enam bulan," ujarnya.
Katanya, Cuepacs turut mencadangkan supaya ditukar status kuarters kerajaan sebelum merdeka menjadi rumah sewa kerajaan dan dikenakan sewa pada kadar RM124 sebulan.
“Jika kuarters ini jadi rumah sewa, maka baki elaun perumahan setelah tolak sewa perlu dipulangkan kepada penjawat awam. Contohnya, kalau elaun perumahan RM180, sudah tolak sewa RM124 akan ada lagi baki RM56," jelasnya.
Beliau berkata, Cuepacs juga tidak bersetuju dengan tindakan memperkecilkan perkhidmatan awam yang dilaksanakan ketika ini kerana ia memberi kekangan hebat kepada jabatan untuk melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan.
“Kita turut meminta kerajaan mengubah pengiraan ganjaran persaraan daripada 7.5 peratus kepada 10.5 peratus, selain jumlah pencen dinaikkan daripada 60 peratus kepada 70 peratus," ujarnya.
Walaupun kita masih menunggu apakah pengumuman menggembirakan daripada kerajaan sempena Hari Pekerja 2014, satu hakikat yang harus diakui bahawa banyak transformasi perkhidmatan awam yang telah berjaya dilaksanakan berikutan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua kakitangan kerajaan.
Oleh itu, sudah sampai masanya segala penat lelah penjawat awam terbabit dihargai.
Antara transformasi yang dapat dilihat adalah berlakunya peningkatan terhadap kompetensi, prestasi, produktiviti dan daya inovasi penjawat awam.
Ini berikutan langkah menempatkan semula seramai 171 pegawai JPA yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun sebagai duta kecil di agensi pelaksana sekali gus menjadikan mereka sebagai contoh untuk diikuti.
Kerenah birokrasi juga telah berjaya dikurangkan dengan pengenalan aplikasi telefon mudah alih mySMS dan myUSSD bagi memastikan segala urusan dengan rakyat dapat dijalankan dengan pantas.
Bagi individu yang memohon jawatan dalam perkhidmatan awam, mereka hanya perlu menunggu 30 hari untuk mendapat jawapan berbanding 120 hari sebelum ini.
Sebagai usaha merakyatkan perkhidmatan, penjawat awam tidak lagi hanya berada dalam pejabat malah turut turun padang memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang dan Terengganu baru-baru ini.
Penubuhan Unit Integriti di lapan kementerian dan pembangunan empat modul yang melibatkan patriotisme, etos, integriti dan nilai murni yang diterapkan dalam kursus Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) akan melahirkan penjawat awam yang cintakan negara, berbudi pekerti dan beretika tinggi.
Walaupun transformasi perkhidmatan awam bukanlah perkara mudah untuk dilaksanakan tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil jika dilihat kepada pencapaian setakat ini.
Kepada semua penjawat awam, kita mengucapkan terima kasih dan selamat menyambut Hari Pekerja 2014.

TIADA CADANGAN KURANGKAN BILANGAN PENJAWAT AWAM

Berita Harian
1/5/2014


Foto PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan hadirin yang hadir sempena Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2014 di Dewan Wawasan, Jitra, hari ini. - Foto Shahrizal Md Noor

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan tiada cadangan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam yang melebihi 1.5 juta orang ketika ini, walaupun nisbahnya dianggap besar berbanding jumlah penduduk Malaysia.

Sebaliknya beliau berkata kerajaan akan terus membela nasib penjawat awam yang dianggap sebahagian daripada kombinasi elemen pembangunan negara.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan sempena sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2014 di Dewan Wawasan Jitra dekat sini, hari ini.

MENGUKUHKAN TIANG SERI NEGARA

Bernama
1/5/2014
Oleh Kurniawati Kamarudin


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Hari Pekerja yang disambut seluruh dunia pada setiap 1 Mei, penting untuk menilai kembali peranan yang dimainkan oleh setiap daripada kita yang bergelar pekerja.

Penjawat awam terutamanya adalah antara pihak yang memainkan peranan penting sebagai agen tranformasi barisan paling hadapan yang menentukan kejayaan setiap dasar kerajaan untuk kepentingan rakyat.

Sesuai peranannya, tema "Penjawat Awam Tiang Seri Negara" yang dipilih tahun ini cukup simbolik buat 1.4 juta penjawat awam yang menjadi nadi dan penggerak hubungan kerajaan dengan rakyat.

Umpama tiang seri yang menjadi penahan utama sebuah rumah, penjawat awam harus teguh dan integriti dengan hasil produktiviti yang tinggi agar rumah iaitu kerajaan kukuh untuk berlindung.

MEMENUHI KEPERLUAN RAKYAT
Untuk menjadi tiang seri, penjawat awam harus keluar dari zon selesa dan meninggalkan segala tingkah laku yang membawa imej negatif yang sering dilabelkan sebelum ini.

Sikap "hanya bekerja makan gaji" harus dibuang jauh daripada sentimen penjawat awam terutama ketika berhadapan kehendak rakyat yang semakin tinggi pada hari ini.

Amalan kerja yang cekap, cepat serta berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam, menurut Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

"Mereka harus sedar, gaji mereka dibayar melalui cukai yang dikutip daripada duit rakyat. Rakyat mahukan kerja yang cekap dan berkesan dengan pencapaian paling optimum dan kos yang rendah," katanya kepada Bernama mengulas tema Hari Pekerja Penjawat Awam tahun ini.

Beliau, yang juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata hanya profesionalisme yang tinggi dan bertindak tanpa kepentingan peribadi akan menjamin mutu perkhidmatan penjawat awam.

"Gagal sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam, akan gagal penjawat awam kerana tidak berjaya membawa agenda kerajaan. Ini juga menunjukkan kegagalan kerajaan untuk berfungsi dengan baik.

"Inilah yang kena difahami oleh setiap penjawat awam bukannya sekadar kerja kerana makan gaji," katanya.

Ujarnya, memenuhi kepuasan rakyat harus dijadikan teras kepada penjawat awam dalam memberi perkhidmatan yang terbaik yang melibatkan gabungan antara sektor awam dan swasta atau rakyat dan kerajaan.

TINGKATKAN KEPERLUAN PENJAWAT AWAM
Tatkala sektor awam sering menerima tempelak daripada sikap buruk bekerja oleh sekumpulan kecil kakitangan awam, namun majoriti kakitangan awam terdiri daripada mereka yang rajin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas untuk kerajaan.

Oleh itu, bagi memastikan tiang seri berkeadaan baik, kebajikan adalah perkara utama yang harus diberi perhatian. Ini akan memastikan penjawat awam dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) secara berterusan berusaha memastikan nasib penjawat awam mendapat pembelaan sewajarnya terutama soal kebajikan.

Presidennya, Azih Muda berkata walaupun kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengambil berat nasib penjawat awam, namun masih banyak lagi isu-isu yang menjadi bebanan kepada penjawat awam yang memerlukan pertimbangan kerajaan sebagai majikan.

Ujarnya, isu pemilikan rumah masih lagi menjadi satu kekangan terutama kumpulan pelaksana/sokongan yang berhadapan dengan harga rumah yang semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Penang.

Ramai dalam kalangan penjawat awam yang bertugas kurang 10 tahun tidak mampu membeli rumah kerana sebahagian gaji mereka dihabiskan untuk membayar sewa rumah dan pengasuh anak.

"Kerajaan menyasarkan untuk membina satu juta rumah. Kita harap pembinaan itu akan dapat dinikmati oleh penjawat awam kerana kita tidak mahu penjawat awam yang bersara pada usia 58 atau 60 masih tidak mempunyai rumah sendiri untuk berlindung daripada panas dan hujan," katanya.

KEBAJIKAN JADI KEUTAMAAN
Masalah kesihatan dalam kalangan penjawat awam juga menjadi antara perjuangan Cuepacs terutama melibatkan penyakit kronik.

Ia menjadi perkara asas yang harus dibela pada tiang seri negara agar dapat memberi sumbangan terbaik kepada negara, katanya.

Antara perkara yang dilihat ialah perlunya kerajaan mewujudkan pusat hemodialisis sendiri khusus untuk penjawat awam. Ini kerana keperluan tersebut di hospital kerajaan dan pusat-pusat hemodialisis swasta tidak mencukupi.

Sepertimana pihak sektor swasta, sumbangan kakitangan sektor awam kepada negara ini turut dihargai dan kedua-duanya menjadi faktor penyumbang kepada pembangunan dan pembentukan Malaysia.

-- BERNAMA

PENJAWAT AWAM SERTAI PERHIMPUNAN CBP DIANGGAP PENGKIANAT - CUEPACS

Bernama
1/5/2014



JITRA, 1 Mei (Bernama) -- Penjawat awam yang terlibat dalam perhimpunan membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) di Dataran Merdeka hari ini dianggap sebagai pengkhianat dan tidak layak bergelar penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda berkata penjawat awam yang terlibat dalam perhimpunan yang menentang kerajaan itu melanggar Akujanji dan Ikrar Perkhidmatan yang telah dibuat.

"Sebelum ini saya sudah maklumkan bahawa penjawat awam tidak boleh terlibat dalam apa jua perhimpunan yang menentang kerajaan kerana mereka telah pun melafazkan Akujanji dan Ikrar Perkhidmatan...jadi suka atau tidak mereka perlu akur.

"Sekiranya mereka tidak berpuas hati dan ingin menyertai perhimpunan, mereka boleh keluar daripada menjadi penjawat awam. Kita berhasrat untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara maju tetapi sekiranya perkara seperti ini berlaku ia boleh membantutkan perjalanan yang telah dirancang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 di Dewan Wawasan di sini hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Azih berkata penjawat awam yang menyertai perhimpunan CBP hari ini boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati bersalah.

"Jangan pula cakap mereka dianiaya sekiranya dikenakan tindakan tatatertib. Ini salah mereka sendiri kerana mahu menyertai perhimpunan ini sedangkan awal-awal lagi saya telah mengeluarkan kenyataan supaya penjawat awam tidak boleh turut serta.

"Perdana Menteri sentiasa membuka pintu kepada Cuepacs mendengar rintihan dan keluhan pekerja dalam sektor awam, yang mampu menyelesaikan sedikit sebanyak tekanan hidup dan melihat apa yang diperlukan dalam sektor awam. Jadi tidak perlu melibatkan diri dalam perhimpunan," katanya.

Beliau berkata Najib turut meminta penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan paling penting mengharapkan agar penjawat awam dapat membantu usaha menyuntik pendapatan negara bagi menampung kos sara hidup penjawat awam.

"Bagi meningkatkan pendapatan negara, produktiviti daripada semua penjawat awam diperlukan dan bagi mengekalkannya, semua pihak perlu menggembleng tenaga. Cuepacs dan kerajaan masing-masing mahukan sesuatu jadi di sini kita perlu bersama-sama berusaha untuk memenuhi kehendak satu sama lain," katanya.

-- BERNAMA

ALI HAMSA DINOBATKAN PENERIMA ANUGERAH KHAS CUEPACS

Berita Harian1/5/2014



Ali Hamsa dinobat penerima Anugerah Khas CUEPACS
Ali Hamsa

ALOR SETAR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Mohd Ali Hamsa dinobat sebagai penerima Anugerah Khas CUEPACS sempena Hari Pekerja 2014.

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis sambutan Hari Pekerja 2014 di Dewan Wawasan Jitra di sini, sebentar tad

30 April 2014

PERAK UTAMAKAN RAKYAT ISU URUS SISA PEPEJAL

Utusan Malaysia
30/4/2014




Zambry Abd Kadir
 


Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, biarpun pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) telah diluluskan di Parlimen, namun pihaknya hanya memberi penekanan kepada aspek-aspek yang memberi kebaikan kepada negeri.

“Kita tidak mahu pada akhirnya projek seperti ini mempunyai tujuan keuntungan dan bukan mencapai matlamat yang dihasratkan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah sampah-sarap dalam menjadikan negara bersih.“Dulu, mereka ada memberikan tarikh akhir kepada kita, sebab itu mereka tutup pejabatnya di negeri ini. Namun, mereka kembali semula dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu iaitu Datuk Abdul Rahman Dahlan.

“Mereka dahulunya ingin melaksanakannya macam itu sahaja, sebab itu saya tidak boleh terima. Anda kena meyakinkan kerajaan negeri dan membuat sesuatu kerana kita mesti bertanggungjawab kepada rakyat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pendirian Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang menyokong Zambry kerana masih belum menandatangani perjanjian tersebut.Dalam pada itu Zambry berkata, kerajaan negeri bagaimanapun telah mengambil pendekatan kreatif dengan mengadakan perbincangan secara terbuka bersama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan kira-kira dua minggu lalu.

Beliau berkata, perbincangan itu bukan sahaja melibatkan wakil rakyat daripada kerajaan, malah juga pembangkang.“Inilah caranya kita menyelesaikan kes berkepentingan awam, kita wujudkan jawatankuasa bipartisan. 

“Jika CUEPACS lebih mengambil berat mengenai kebajikan pekerja tetap dan kontrak, kita melihat kepada keseluruhan perspektif tanpa menjejaskan tanggungjawab negeri pada masa hadapan dalam soal pengurusan sampah," katanya

29 April 2014

CUEPACS HARAP PM PERTIMBANGKAN PERMOHONAN UNTUK 1.5 JUTA PENJAWAT AWAM

Bernama
29/4/2014


ALOR SETAR, 29 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) telah mengemukakan pelbagai perkara untuk dipertimbangkan kerajaan demi kepentingan kira-kira 1.5 juta penjawat awam menjelang Sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 pada Khamis ini.

Presidennya Azih Muda berkata Cuepacs mengemukakan permintaan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan semalam.

Antara perkara yang dikemukakan untuk penelitian kerajaan ialah mengenai beberapa elaun dan insentif penjawat awam termasuk elaun tetap perumahan, elaun perkhidmatan awam dan tuntutan perjalanan yang sudah lama tidak dikaji walaupun kos sara hidup kian meningkat.

"Kenaikan harga barang akan beri kesan kepada kehidupan kita terutama pejawat awam kumpulan pelaksana. Elaun tetap perumahan dan elaun khidmat awam sudah lama tak dikaji.

"Kadar hotel juga perlu dikaji. (Kadar) hotel sudah banyak kali naik... Adakah adil setiap kali buat urusan rasmi kerajaan, kami kena tanggung sendiri (bayaran) hotel.

"Kadar tuntutan perjalanan juga sudah lama tidak dikaji sedangkan harga petrol banyak kali naik. Ini semua memberi bebanan dalam melaksanakan tugas. Kami juga meminta supaya Cola (Elaun Sara Hidup) diselaraskan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 akan diadakan di Dewan Wawasan, Jitra pada Khamis ini, yang dijangka dihadiri oleh Perdana Menteri.

Azih berkata kerajaan juga perlu melihat kembali proses pembelajaran sepanjang hayat kerana ketika ini semakin ramai pekerja awam berkelulusan tinggi yang memilih untuk memegang jawatan yang rendah.

"Jangkaan kita dalam lima tahun akan datang, 75 peratus jawatan sektor awam akan diisi mereka yang ada sekurang-kurangnya diploma. Laluan kerjaya hendaklah diubah, laluan kerjaya yang lebih luas harus dibuka," katanya.

Azih turut membangkitkan mengenai tempoh pengesahan seseorang penjawat awam yang kini antara satu hingga tiga tahun yang beliau sifatkan terlalu lama.

"Selagi tidak dapat pengesahan, mereka tidak boleh beli rumah, tidak boleh pinjam bank. Akhirnya mereka pinjam Along...(oleh itu) masa pengesahan jawatan patut dipendekkan kepada satu hingga enam bulan," katanya.

Beliau turut meminta kerajaan supaya melihat semula kepada perkhidmatan tertutup yang melibatkan 154 pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun yang termasuk 20 institusi pengajian tinggi awam.

"Cuepacs merayu supaya diperluaskan asas masa yang diberikan kepada kumpulan guru kepada perkhidmatan tertutup ini. Kalau tidak dapat seperti guru, laluan kerjaya mereka harus dibuka," katanya.

Menurutnya Cuepacs turut mencadangkan kerajaan supaya menukar status kuarters kerajaan sebelum merdeka menjadi rumah sewa kerajaan dan dikenakan sewa pada kadar RM124 kerana ketika ini penjawat awam yang menduduki kuarters mereka hilang elaun rumah dan Cola pula diberi pada separuh kadarnya.

Azih berkata Cuepacs juga mengesyorkan kerajaan supaya memberikan cuti antara 12 hingga 15 hari kepada penjawat awam untuk menunaikan umrah.

"Dalam Perintah Am, setiap pekerja Islam, boleh ambil sekali cuti untuk menunaikan Haji. (Masalahnya) kalau daftar haji hari ini, mereka layak pergi pada 2075...sebab itu kami cadangkan cuti untuk menunai umrah sebagai ganti cuti Haji.

"Sekiranya ada peluang penjawat awam menunai haji, kekurangan 12-15 hari itu boleh ditampung dengan cuti rehat," katanya.

Beliau berkata Cuepacas juga tidak bersetuju dengan tindakan untuk memperkecilkan perkhidmatan awam yang dilaksanakan ketika ini kerana ia memberi kekangan hebat kepada jabatan untuk melaksanakan agenda dan polisi.

Azih turut meminta kerajaan supaya mengubah pengiraan ganjaran persaraan daripada 7.5 peratus kepada 10.5 peratus, selain jumlah pencen dinaikkan daripada 60 peratus kepada 70 peratus atau daripada 360 bulan kepada 372 bulan.

"Apabila pencen nanti, penjawat awam dapat nilai pencen yang tinggi sedikit. Pencen minimum sekarang ialah RM820 yang di bawah garis kemiskinan tetapi ada kenaikan dua peratus setahun. Faedah persaraan sekarang juga kecil sangat, kalau berkhidmat 40 tahun pun tak mampu nak beli sebuah rumah," katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat membantu kumpulan penjawat awam yang gajinya di bawah RM3,000 kerana mereka kini berada dalam keadaan tertekan malah ada yang bergaji di bawah garis kemiskinan iaitu RM880.

-- BERNAMA

22 April 2014

CUEPACS CADANG KUARTERS KERAJAAN DITUKAR JADI RUMAH SEWA KERAJAAN

Bernama
22/4/2014




KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kepada kerajaan supaya kuarters kerajaan ditukar nama kepada rumah sewa kerajaan untuk memastikan penjawat awam Gred 44 dan ke bawah dapat menikmati elaun perumahan pada kadar penuh.
Presidennya Azih Muda berkata jika status kuarters itu diubah, Cuepacs mencadangkan agar RM124 dijadikan sebagai kadar sewa bulanan ke atas penjawat yang menikmati kemudahan itu.

Azih menjelaskan masalah yang timbul ketika ini ialah apabila penjawat awam tinggal di kuarters kerajaan, elaun perumahan mereka serendah RM180 sebulan akan ditolak selain hanya menikmati 50 peratus daripada bayaran elaun kos sara hidup (Cola).

"Jika kuarters ini jadi rumah sewa, maka baki elaun perumahan setelah tolak sewa perlu dipulangkan kepada penjawat awam. Contohnya kalau elaun perumahan RM180, dah tolak sewa RM124 akan ada lagi baki RM56.

"Selain itu bayaran Cola maksimum RM300 (mengikut kawasan) perlu diberi 100 peratus kepada penjawat awam, tiada lagi sebab untuk potong 50 peratus," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs sesi 2013-2016 di sini, Selasa.

Azih berharap kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya berhubung cadangan Cuepacs itu dalam usaha mengurangkan tekanan hidup yang dialami penjawat awam sekarang.

Selain itu, Cuepacs juga berharap agar kerajaan dapat mengkaji semula elaun sewa hotel yang dianggap tidak lagi relevan memandangkan kadar penginapan kini semakin meningkat selain menilai semula elaun perjalanan.

"Elaun perjalanan ini masih pada kadar yang lama sedangkan harga petrol dah naik. Jarak yang dilalui sama tapi kos yang dibayar lebih," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azih berkata sambutan Hari Pekerja 2014 pada 1 Mei depan akan diadakan di Dewan Wawasan Jitra, Kedah dengan tema "Penjawat Awam Tiang Seri Negara".

Katanya tema itu dipilih selaras dengan peranan serta fungsi penjawat awam dalam membantu kerajaan membangunkan negara.

-- BERNAMA

CUEPACS CADAAR JADI RUMAH SEWA NG KUARTERS KERAJAAN DITUKAR JADI RUMAH SEWA KERAJAAN

Bernama
22/4/2014


KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kepada kerajaan supaya kuarters kerajaan ditukar nama kepada rumah sewa kerajaan untuk memastikan penjawat awam Gred 44 dan ke bawah dapat menikmati elaun perumahan pada kadar penuh.

Presidennya Azih Muda berkata jika status kuarters itu diubah, Cuepacs mencadangkan agar RM124 dijadikan sebagai kadar sewa bulanan ke atas penjawat yang menikmati kemudahan itu.

Azih menjelaskan masalah yang timbul ketika ini ialah apabila penjawat awam tinggal di kuarters kerajaan, elaun perumahan mereka serendah RM180 sebulan akan ditolak selain hanya menikmati 50 peratus daripada bayaran elaun kos sara hidup (Cola).

"Jika kuarters ini jadi rumah sewa, maka baki elaun perumahan setelah tolak sewa perlu dipulangkan kepada penjawat awam. Contohnya kalau elaun perumahan RM180, dah tolak sewa RM124 akan ada lagi baki RM56.

"Selain itu bayaran Cola maksimum RM300 (mengikut kawasan) perlu diberi 100 peratus kepada penjawat awam, tiada lagi sebab untuk potong 50 peratus," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs sesi 2013-2016 di sini, Selasa.

Azih berharap kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya berhubung cadangan Cuepacs itu dalam usaha mengurangkan tekanan hidup yang dialami penjawat awam sekarang.

Selain itu, Cuepacs juga berharap agar kerajaan dapat mengkaji semula elaun sewa hotel yang dianggap tidak lagi relevan memandangkan kadar penginapan kini semakin meningkat selain menilai semula elaun perjalanan.

"Elaun perjalanan ini masih pada kadar yang lama sedangkan harga petrol dah naik. Jarak yang dilalui sama tapi kos yang dibayar lebih," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azih berkata sambutan Hari Pekerja 2014 pada 1 Mei depan akan diadakan di Dewan Wawasan Jitra, Kedah dengan tema "Penjawat Awam Tiang Seri Negara".

Katanya tema itu dipilih selaras dengan peranan serta fungsi penjawat awam dalam membantu kerajaan membangunkan negara.

-- BERNAMA

17 April 2014

LEBIH 1,000 PENJAWAT AWAM BAKAL MILIKI RUMAH SENDIRI DI BAWAH PROGRAM PPA1M

Bernama
15/4/2014


 

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Sejumlah 1,167 penjawat awam bakal menerima unit pangsapuri masing-masing di Putrajaya di bawah program Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) seperti yang diumumkan kerajaan pada Januari tahun lepas.

Mereka yang terpilih pada cabutan undian kali ini yang dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan ditempatkan di Pangsapuri Jintan di Presint 16 dan Pangsapuri Melinjau di Presint 11, di sini.

Tengku Adnan berkata jumlah cabutan kali ini merupakan siri ketiga dalam Fasa 1 yang menetapkan pembinaan sebanyak 10,639 unit perumahan di Putrajaya dalam jangka masa lima tahun bermula tahun ini.

"Sebelum ini dalam cabutan siri satu dan dua sebanyak 2,323 penjawat awam telah memperolehi rumah sendiri, selepas ini masih terdapat (kira-kira) 7,140 kekosongan rumah," katanya dalam sidang media selepas majlis cabutan itu di sini hari ini.

Beliau yakin dengan adanya pertambahan unit rumah serta yang bakal dibangunkan akan menjadikan jumlah sasaran penduduk di sini akan meningkat secara keseluruhannya kepada 160,000 dalam masa lima tahun.

Tengku Adnan berkata selain rumah untuk penjawat awam, perbincangan sedang dilakukan antara kerajaan dengan Putrajaya Holding supaya tanah yang kosong diserahkan semula kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk pembangunan projek perumahan.

"PPj akan menjadi pemaju untuk membangunkan enam atau tujuh ribu lagi unit rumah yang mampu dimiliki oleh bukan penjawat awam dalam memastikan sasaran kewujudan 20,000 unit rumah di Putrajaya dalam masa lima tahun akan tercapai," katanya.

Sementara itu, beliau berkata bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 10,000 daripada 50,000 unit rumah mampu milik yang bakal dibangunkan akan diperuntukkan kepada penjawat awam.

Di Wilayah Persekutuan Labuan sejumlah 10,000 unit rumah akan dibina dan setakat ini 1,600 telah dibina dan pembinaan 500 unit lagi akan dipercepatkan, katanya.

--BERNAMA

14 April 2014

TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENJAWAT AWAM BOCOR RAHSIA KERAJAAN - KSN

Bernama
12/4/2014



PUTRAJAYA, 12 April (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menegaskan Ahad bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan.

Beliau berkata mereka yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat daripada jawatan mengikut Surat Pekeliling Am dan Arahan Keselamatan Kerajaan.

Justeru itu, beliau mengingatkan semua penjawat awam bahawa mereka bertanggungjawab menjaga kerahsiaan kerajaan dalam agensi masing-masing bagi menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Maka, usaha perlu dipergiat untuk memastikan tidak berlakunya kebocoran rahsia rasmi kerajaan.

"Penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan boleh dipecat, bergantung kepada rahsia yang dibocorkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Ironman 70.3 Putrajaya.

Ali berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pengerusi Biro Antarabangsa, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Fakhrul Azman Abu Bakar supaya mengenal pasti dalang yang membocorkan dokumen tidak sah berhubung jadual lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 8 April lepas.

Baru-baru ini, Anggota Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mempersoalkan lawatan lima hari Muhyiddin ke Dubai yang didakwa mereka tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Ali berkata beliau belum lagi menerima laporan rasmi berhubung dakwaan kebocoran dokumen itu.

--BERNAMA

08 April 2014

PENJAWAT AWAM PERLU UBAH SIKAP ELAK KETIRISAN

Bernama
8/4/2014



 KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Semua penjawat awam harus mengubah sikap dan mengambil iktibar daripada Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 bagi mengelak berlakunya ketirisan.
Bekas Ketua Pengarah Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Normah Md Yusof berpendapat isu yang timbul dalam setiap kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan adalah disebabkan sikap individu itu sendiri.

Menurutnya, jika setiap individu mengamalkan sikap integriti dan amanah dalam menjalankan tugas, ketirisan mungkin dapat dikurangkan.

"Bayangkan jika sesuatu kementerian itu ada cawangan atau jabatannya di setiap negeri dan daerah, maka agak sukar untuk melakukan pengawasan. Sebab itulah pentingnya sikap integriti dan amanah itu ada dalam setiap penjawat awam ...tidak kisah menteri, ketua pengarah, mahupun pekerja biasa," katanya ketika dihubungi Bernama Selasa.

Sebanyak 109 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 bagi membantu kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

Laporan itu yang dibentang Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang di Dewan Rakyat pada Isnin mengandungi perkara yang telah diperhatikan hasil daripada pengauditan terhadap 17 program, aktiviti dan projek di bawah 14 kementerian dan jabatan serta pengurusan dua syarikat kerajaan.

Sementara itu, Penyelaras Program Sarjana Pentadbiran Awam, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr Noreha Hashim berpendapat penjawat awam perlu mempunyai kesedaran etika kerja bagi mengatasi masalah ketirisan.

"Selaku pensyarah yang mempunyai pelajar daripada sektor awam, saya dapati ada yang tidak tahu membezakan kuasa budi bicara sehingga menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa.

"Kerajaan perlu banyakkan latihan. Namun diakui sememangnya satu cabaran yang hebat kerana terdapat lebih 1.4 juta penjawat awam," katanya.

Namun Noreha memuji inisiatif kerajaan memastikan pengurusan sektor awam dilakukan secara telus dan terbuka walaupun tindakan itu mungkin mendatangkan keburukan apabila sesetengah pihak hanya menguar-uarkan laporan yang negatif.

"Menariknya adalah syor-syor yang dicadangkan dalam laporan itu. Jangan hanya pandang teguran yang negatif. Yang penting, kementerian dan jabatan yang diberikan teguran perlu muhasabah diri dan elak daripada melakukan kesilapan sama," katanya.

-- BERNAMA

01 April 2014

PORTAL UNTUK KEMUDAHAN PESARA KERAJAAN DILANCARKAN JUN -KP JPA

Bernama
1/4/2014



PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Portal 1Malaysia Civil Service Retirement Support (1MCSRS) akan dilancarkan Jun ini bagi memberi lima kemudahan maklumat kepada pesara kerajaan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Lima kemudahan itu ialah kelangsungan kesihatan, peluang pekerjaan selepas bersara, pengurusan kewangan, pembangunan keusahawanan serta kesejahteraan pesara, katanya.

"Sebagai contoh pesara boleh melihat jika terdapat jawatan kosong dalam portal tersebut untuk dimohon serta cara-cara membuat pemeriksaan kesihatan," katanya dalam sidang media selepas majlis prapelancaran portal 1MCSRS di Hospital Putrajaya di sini Selasa.

Hasil kajian JPA terhadap kira-kira 3,000 responden mengenai kecenderungan perspektif golongan pesara menunjukkan antara kelima-lima kemudahan itu, 80.76 peratus pesara menitikberatkan isu kesihatan diikuti isu kesejahteraan dan bantuan pengurusan kewangan, katanya.

Mohamad Zabidi berkata inisiatif itu adalah di bawah program Lautan Biru Nasional (NBOS) dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta.

Mohamad Zabidi berkata langkah pertama yang telah dilaksanakan berkaitan kelangsungan kesihatan ialah laluan pantas di hospital dan klinik-klinik kerajaan, perkhidmatan saringan kesihatan di klinik-klinik kerajaan terpilih serta pemantauan kesihatan melalui lawatan ke rumah pesakit.

Mohamad Zabidi dalam ucapannya sebelum itu berkata pada hari ini, jumlah pesara penjawat awam ialah 610,000 orang termasuk 55,000 pesara tentera yang merupakan jumlah yang besar dan masih berupaya menyumbang kepada negara.

"Namun, ada dalam kalangan golongan pesara yang merasakan diri mereka menjadi golongan kelas kedua dan terpinggir, justeru itu kita percaya golongan ini memerlukan perhatian, penghargaan dan kebajikan berterusan," katanya sambil menambah terdapat penambahan 18,000 pesara kerajaan setiap tahun.

Menurut kajian yang dilakukan Kementerian Kesihatan sehingga akhir tahun lepas, sebanyak 65.7 peratus (kira-kira 1.6 juta) warga emas termasuk golongan pesara telah didaftarkan di klinik-klinik kesihatan kerajaan dan ini melebihi sasaran ditetapkan iaitu 60 peratus, katanya.

Sehubungan itu, katanya, sasaran tersebut dinaikkan kepada 70 peratus untuk tahun ini bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Garis Panduan Melaksanakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas iaitu sebanyak 75 peratus pada 2015.



-- BERNAMA

31 Mac 2014

KERAJAAN JIMAT RM12.8, JUTA MENERUSI LANGKAH PENSTRUKTURAN SEMULA JPA

Bernama
31/3/2014


KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Sebanyak RM12.8 juta kos emolumen dapat dijimatkan menerusi langkah penstrukturan semula penjawat awam di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pendekatan itu melibatkan kira-kira 500 anggota JPA sejak Mac tahun lalu.

"Langkah ini hanya melibatkan penempatan semula 507 kakitangan JPA ke agensi-agensi kerajaan yang lain dan tiada pekerja yang ditamatkan perkhidmatan.

"(Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak meminta saya melakukan transformasi semasa saya melaporkan diri di JPA pada 15 Mac lalu dan kini langkah itu sudah dilaksanakan di JPA dan Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2014, di ibu negara, Isnin.

Hadir sama Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad.

Menyentuh mengenai inovasi, Mohamad Zabidi berkata setiap agensi perlu memberi fokus kepada dua faktor utama bagi menggalakkan inovasi iaitu penghasilan produk berkualiti tinggi dan proses yang lebih singkat.

"Proses inovasi kena cepat, contohnya kalau dulu ada 10 peringkat membuat keputusan, barangkali sekarang mungkin perlu ada dua atau tiga peringkat sahaja", katanya.

Pada majlis itu, MARA melancarkan Polisi Tiada Hadiah yang melarang serta-merta pemberian dan penerimaan hadiah bagi 18,000 kakitangannya di seluruh negara dengan pihak luar yang berkaitan dengan tugas rasmi.

--BERNAMA

27 Mac 2014

DBKL SEDIAKAN KEMUDAHAN PENGANGKUTAN

Sinar Harian
25/3/2014



DBKL sediakan kemudahan pengangkutan 
Ahmad Phesal (dua, kiri) dan Azih (kanan) bersama van yang menjadi salah satu pengangkutan kakitangan DBKL.
 
 
 
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi agensi kerajaan pertama menyediakan kemudahan pengangkutan kepada kakitangannya untuk ke tempat kerja, menerusi perjalanan dari beberapa stesen sistem transit ringan (LRT)  yang ditetapkan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, sebanyak dua bas dan empat van disediakan untuk perjalanan pergi dan balik berdasarkan jadual perjalanan yang ditetapkan, dan beroperasi sejak 20 Mac lalu.

Menurutnya, inisiatif itu secara tidak langsung bantu mengurangkan kos pengangkutan kepada sebahagian kakitangannya sekali gus mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup di bandar.

“Penjimatan kira-kira RM100 boleh dibuat jika mengambil kira kos minyak kenderaan dan juga tambang pengangkutan awam.

“Sebelum dilaksanakan, bancian telah dibuat terhadap 10 peratus daripada 10,300 kakitangan DBKL dan rata-rata bersetuju cadangan kemudahan ini, dan mengemukakan beberapa lokasi  menunggu.

“Bagaimanapun, hasil kaji selidik, kita telah tetapkan empat lokasi iaitu Star LRT Bandar Tun Razak, Star LRT Sentul, Putra LRT Wangsa Maju, dan Komuter Batu Caves,” katanya selepas melancarkan Pengangkutan Khas Ke Tempat Kerja (PKKTL) DBKL Shuttle.

Ahmad Phesal berkata, kakitangan yang mahu menaiki kemudahan itu perlu menunjukkan kad e-akses kepada pemandu sebagai bukti.

“Ini  projek perintis,  jika menggalakkan, kita akan teliti untuk tambah kemudahan. Jika tiada sambutan daripada kakitangan DBKL, kita akan buka kepada mana-mana kakitangan kerajaan lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda, menyifatkan inisiatif DBKL perlu dicontohi agensi lain demi impak positif hasil kerja.

“Dengan usaha ini diharapkan ia mampu menyumbang produktiviti yang lebih baik, termasuk perkhidmatan kepada orang awam,” katanya.

MISI CUEPACS 2014 BERAT

Sinar Harian
14/1/2014




AZIH MUDA 
AZIH MUDA
 
 
 
KONGRESS Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), antara badan popular yang lantang membela hak penjawat awam di negara ini. Penggal 2013-2016, badan ini dinaungi Presiden baharu, AZIH MUDA menggantikan Datuk Omar Osman bagi meneruskan misi memperjuangkan nasib kira-kira 1.4 juta penjawat awam. Walaupun baharu menggalas peranan itu, tanggungjawab berat menanti beliau lebih-lebih lagi tahun ini, berlaku rentetan kenaikan harga barangan yang memberi kesan kenaikan kos sara hidup.
 
Menyedari cabaran dan beban yang semakin berat bakal digalas, Azih menggariskan hala tuju Cuepacs dan beberapa tuntutan kepada Kerajaan dalam membantu penjawat awam menangani kos sara hidup. Ikuti wawancara Wartawan Sinar Harian, Noor Azura Sahril dan Jurugambar, Zulfadhli Zaki bersama beliau, di pejabatnya.
SINAR HARIAN: Tahniah atas pelantikan sebagai Presiden baharu Cuepacs. Seterusnya, apakah langkah dan hala tuju Cuepacs selepas ini?
AZIH: Umum mengetahui Cuepacs adalah kongres kesatuan sekerja yang bergabung dengan kesatuan sekerja, sama ada di peringkat persekutuan, negeri, badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

Segala suara yang berbangkit daripada ahli gabungan ini yang secara keseluruhannya  penjawat awam akan disampaikan kepada Cuepacs, dan Cuepacs merupakan  adalah payung kepada mereka.

Dalam tempoh penggal lalu, hubungan Cuepacs dengan ahli begitu  rapat dan sentiasa  turun padang, ke peringkat akar umbi. Begitu juga dengan penggal ini, saya akan teruskan kesinambungan ini untuk turun padang mendengar dan menyampaikan kepada kerajaan.

Apa yang Cuepacs perlu perkemas adalah hala tuju baharu yang disasarkan bermula 2014, adalah bagaimana soal kebajikan penjawat awam mendapat pembelaan sewajarnya.

SINAR HARIAN: Justeru, apakah fokus Cuepacs dalam membantu golongan ini?
AZIH: Hari ini, kita lihat Malaysia bergerak setanding dengan negara maju. Penjawat awam, yang sebahagian besarnya kumpulan pelaksana ini bekerja keras, berkhidmat dengan majikan mereka iaitu kerajaan.

Apalagi mereka ini adalah tulang belakang kepada kerajaan, ada antara yang berkhidmat sehingga 40 tahun tentunya jasa mereka dihargai  kerajaan, kerana merekalah yang membina negara bangsa. Oleh itu, Cuepacs memahami keluh kesah pekerja, supaya kerajaan mendengar apa yang dilahirkan oleh pekerja.

Bagi memastikan kebajikan ini, Cuepacs juga menitikberatkan soal anak-anak dan keluarga mereka dalam soal  pendidikan, pekerjaan dan utamanya adalah melahirkan modal insan yang mampu menjadi aset negara pada masa akan datang.

Kalau penjawat awam sebilangan besar peratusnya adalah golongan pelaksana, tidak mampu memberi didikan kepada anak mereka setaraf dengan negara maju,  kita bimbang dia tidak akan mampu melahirkan modal insan kepada negara.

Itulah harapan Cuepacs, bukan sahaja kepada penjawat awam, malah negara.

SINAR HARIAN: Tahun 2014, dikatakan tahun kenaikan kos sara hidup.  Penjawat awam juga turut tidak terkecuali menerima tempias kenaikan ini. Apakah inisiatif Cuepacs dalam meringankan beban penjawat awam?
AZIH: Dari segi semasa, kemelut kenaikan kos harga barang adalah fenomena yang berlaku di luar jangkaan kita. Bukan sahaja penjawat awam,  tetapi rakyat di bandar, pinggir bandar dan luar bandar yang disebut sebagai rakyat biasa juga terkesan dengan kenaikan harga barang.

Jika gagal dikawal, penjawat awam jadi miskin seperti dahulu. Terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung kos perbelanjaan.

Kita lihat secara kasar pun, apabila harga minyak, kenaikan tarif elektrik, kenaikan kadar tol dan pelbagai kenaikan lagi akan mempengaruhi harga barang-barang pengguna dalam pasaran, termasuk bahan mentah.

Kita juga hairan, mengapa syarikat GLC turut  memilih masa ini untuk kenaikan,  TNB umpamanya. Tetapi perlu kita ingat kenaikan tarif ini kepada industri, produk daripada industri ini mahal dan akan dijual dengan harga yang lebih mahal akhirnya pengguna kena bayar kos yang lebih.

Pasaran menentukan harga. Kita bimbang dengan GST pada 1 April 2015, akan dilaksanakan. Sudahlah harga barang naik, ditambah cukai 6 peratus itu. Di mana sumbernya?

Berdasarkan analisis Cuepacs, kos sara hidup yang meningkat antara lapan dan 10 peratus sekarang memberi tekanan kepada penjawat awam khususnya yang tinggal di kawasan bandar besar, memandangkan kenaikan gaji sektor awam hanya sekitar dua hingga 2.5 peratus.

Kumpulan pelaksana 2, yang gaji asasnya RM800 ditambah elaun,  berpendapatan RM1,100 sebulan pastinya tidak mampu menampung kos sara hidup terutamanya di bandar besar.

Pendapatan itu hanya mampu menampung perbelanjaan dua minggu. Akhirnya mereka (penjawat awam) terpaksa mencari kerja lebih masa.

SINAR HARIAN: Apakah cadangan Cuepacs dalam meringankan beban  penjawat awam?
AZIH: Cuepacs dalam menjaga kebajikan mahu kerajaan menaikkan kadar gaji minimum penjawat awam kepada RM1,200 bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sepatutnya RM1,200 paling minima dan kita jangka dalam tempoh akan datang, ia akan disemak semula.

Pada 2011, Cuepacs mencadangkan kepada kerajaan supaya memperkenalkan gaji minimum RM900 untuk membantu kelompok kumpulan pelaksana seperti pekerja am rendah, pembantu pejabat dan pemandu yang menerima gaji asas bawah RM700 sebulan.

Kami juga menyarankan kerajaan menyelaraskan Elaun Sara Hidup (Cola) bagi seluruh negara tanpa mengira kawasan luar bandar atau bandar. Kerajaan juga perlu mempertimbangkan kenaikan Cola sedia ada dari RM300 kepada RM450.

Bercakap dengan kenaikan kos, harga di luar bandar adalah lebih mahal berbanding di bandar  kerana logistik. Dengan kenaikan harga minyak dan kadar tol ini meningkatkan lagi  kos logistik.

Selain itu, Cuepacs juga mencadangkan kepada kerajaan, meningkatkan elaun perumahan penjawat awam sedia ada. Dengan kenaikan harga rumah sekarang ini, jumlah sedia ada tidak  mencukupi. Kebajikan perumahan, penting dalam kehidupan keselesaan keluarga. Kita sedia maklum, kenaikan harga rumah sekarang berlaku luar biasa.

Persoalannya, adakah mampu penjawat awam membeli rumah RM150,000 ke atas. Justeru, Cuepacs mencadangkan tidak menswastakan pinjaman perumahan kerajaan.

Cuepacs tidak bersetuju bahagian pinjaman  ia diserahkan kepada bank, yang akhirnya akan memberi bebanan kepada peminjam.

Kerajaan perlu bina rumah lebih rendah daripada rumah Prima, menyegerakan membina rumah di bawah RM90,000 ke bawah termasuk mempertimbangkan kuota 30 peratus dibina oleh  Jabatan Perumahan Negara dibawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

SINAR HARIAN: Adakah Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan meringankan beban rakyat menangani kenaikan kos sara hidup?
AZIH:  Saya tidak fikir ia menyelesaikan semua masalah, tetapi mungkin hanya satu dua. Kerajaan beri BR1M sebagai usaha membantu rakyat yang memerlukan.

Subsidi tidak dinikmati oleh golongan sasaran. Oleh itu langkah kerajaan mengurangkan subsidi dan memberikan BR1M benar-benar membantu rakyat. Malah, ada penjawat awam juga mendapat  BR1M.

SINAR:  Bagaimana  pula respons Cuepacs terhadap 11 langkah penjimatan oleh Kerajaan. Adakah itu boleh dianggap usaha  Kerajaan itu memadai, sewaktu rakyat juga diminta berjimat?
AZIH:  Pendekatan penjimatan  yang dilaksanakan kerajaan itu  bertepatan dan wajar diterima semua pihak. Cuepacs menyokong penuh usaha drastik kerajaan dalam memastikan pengurusan kewangannya diurus secara lebih berkhemah dan tidak dibazirkan dengan perbelanjaan tidak relevan.

Mengoptimumkan penggunaan pejabat dan premis kerajaan, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), pengurangan lima peratus kos utiliti elektrik serta mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek fizikal kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan bulanan. Dalam pada itu, kerajaan perlu  mengurangkan agihan pengurusan projek pembangunan kepada banyak kontraktor, selain memastikan projek yang dilaksanakan tidak terbengkalai atau lewat siap.

SINAR HARIAN: Sebagai badan yang membela hak-hak  penjawat awam, bagaimana respons Kerajaan terhadap tuntutan Cuepacs?
AZIH: Perdana Menteri sentiasa memberi komitmen dan iltizam, kerajaan akan membantu rakyat berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi dalam hal kebajikan mereka.

Cuepacs amat mengalu-alukan, malah Cuepacs juga melihat soal kebajikan ini bukan hal retorik.Kita harapkan satu perbincangan dengan kerajaan dalam mencari jalan. Peranan kedua belah pihak memastikan situasi menang-menang agar segala tuntutan dapat dilaksanakan.

21 Mac 2014

CUEPACS, FOMCA SAMBUT BAIK BR1M NAIK RM300

Sinar Harian
20/3/2014



  • BR1M 3.0 BR1M 3.0
KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), menyokong penuh usaha kerajaan dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup dan cadangan meningkatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan sebanyak RM300.

Presiden Fomca Datuk N. Marimuthu berkata inisiatif itu sememangnya jelas memperlihatkan usaha murni kerajaan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan.
  
"Kami alu-alukan apa jua kebaikan yang kerajaan buat demi kesejahteraan rakyat dan saya merasakan kenaikan bantuan BR1M itu adalah penting.
 
"Pemberian BR1M oleh kerajaan bukan sahaja mem­beri faedah kepada rakyat berpendapatan rendah malah peniaga juga akan menikmati keuntungan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
  
Justeru, katanya, konsep BR1M sememangnya bertujuan untuk membantu rakyat dan membawa kebaikan walaupun mungkin sebilangan berpendapat bantuan yang diberikan tidak seberapa.
  
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda menyambut baik kenaikan BR1M tahun depan dalam membantu golongan memerlukan mengurangkan beban kos sara hidup khususnya penjawat awam.
  
"Kami merasa bangga kalau kerajaan memutuskan tahun depan BR1M ditambah sebanyak RM300 kerana ini adalah sumbangan bersasar yang kerajaan sampaikan kepada kumpulan berpendapatan rendah termasuk juga separuhnya adalah penjawat awam," katanya.

Bagaimanapun Azih tetap berpendapat kerajaan harus meneliti kembali kadar gaji minimum penjawat awam untuk dinaikkan kepada RM1,200 bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.
  
Kementerian Kewangan semalam menjelaskan bahawa setiap penerima BR1M bakal mendapat tambahan RM300 seorang sebagai menampung kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 1.8 peratus, berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.
  
BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.
  
Pada tahun ini, BR1M 3.0 telah dilaksanakan dan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450 dan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah menerima bantuan sebanyak RM650, sementara individu bujang yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan menerima bantuan RM300.
  
Program BR1M 3.0 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4.2 bilion daripada kerajaan, telah memanfaatkan hampir 4.63 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang. - Bernama

19 Mac 2014

PEJAWAT AWAM DIINGATKAN TIDAK SEBAR MAKLUMAT TIDAK TEPAT MENGENAI MH370

Bernama
19/3/2014


KLUANG, 18 Mac (Bernama) -- Penjawat awam di negara ini diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat berkaitan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata arahan sudah dikeluarkan pihaknya terhadap kira-kira 1.4 penjawat awam supaya mereka tidak terlibat dalam sebarang penyebaran atau spekulasi berhubung penerbangan MH370 berkenaan.

"Banyak pihak terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga sudah berkali-kali mengingatkan hal ini. Jadi, saya mahu penjawat awam menjadi benteng pertahanan negara dengan tidak menjadi 'api dalam sekam' atau 'gunting dalam lipatan'," katanya.

Mohamad Zabidi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Wacana Transformasi Kepimpinan Muda di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan, di sini Selasa.

Beliau berkata sebagai pemimpin masa hadapan, penjawat awam terutama golongan muda mesti berpegang teguh terhadap kesetiaan kepada negara lebih-lebih ketika pelbagai dugaan menimpa negara, seperti kemarau dan jerebu.

Mengenai wacana terbabit, beliau berkata program pembentangan kertas kerja yang turut melibatkan pihak swasta, komuniti setempat serta badan bukan kerajaan itu dapat 'merakyatkan perkhidmatan awam'.

Beliau berkata program itu yang sudah diadakan di INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur akan diteruskan di kampus INTAN Wilayah Utara di Sungai Petani, Kedah; kampus INTAN Wilayah Timur di Kemaman, Terengganu, kampus INTAN Kota Kinabalu, Sabah serta kampus INTAN Kota Samarahan, Sarawak.

"Menerusi program wacana ini, kita bawa ikon belia yang berjaya dalam bidang masing-masing bagi berkongsi kisah dan kejayaan mereka. Kita juga mahu menarik golongan muda khususnya generasi X dan Y bersama-sama membicarakan tentang dasar-dasar kerajaan pada masa kini dan akan datang," katanya.

-- BERNAMA

12 Mac 2014

MERAKYATKAN PERKHIDMATAN SPA

Utusan Malaysia
10/3/02014





MAHMOOD ADAM

DALAM tempoh dua bulan pertama tahun ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah menerima lebih sete­ngah juta permohonan untuk berkhidmat sebagai kakita­ngan kerajaan.Jumlah itu adalah satu peningkatan mendadak jika diban­dingkan dengan 2.1 juta permohonan sepanjang 2013. Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, ­NIZAM YATIM dan jurugambar, QAMARUL RIZAL di Putrajaya baru-­baru ini, Pengerusi SPA, TAN SRI MAHMOOD ADAM menjelaskan peningkatan itu adalah hasil program transformasi yang bertujuan merakyatkan perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan suruhanjaya itu.
Boleh ceritakan latar belakang SPA?
MAHMOOD: Ia ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 iaitu sama umur dengan kemerdekaan negara yang sudah nak masuk 57 tahun.Terdapat enam tugas SPA yang termaktub dalam Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan termasuk urusan melantik lebih kurang 70 peratus daripada keseluruhan 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.

Urusan pelantikan lain dilakukan oleh pihak berkuasa lain iaitu seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.SPA juga tidak terlibat dalam pelantikan kakitangan badan berkanun seperti universiti, Felcra, Felda dan juga pihak berkuasa tempatan.Pelantikan di peringkat negeri juga tidak dilakukan oleh SPA kecuali di Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Di sembilan negeri lain, ia dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) masing-masing iaitu Johor, Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.Tugas lain adalah pengesahan dalam perkhidmatan, pemberian taraf berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran perkhidmatan dan kawalan tatatertib.
Difahamkan banyak transformasi dilaksanakan SPA?
Setakat ini kita sudah ada 75 transformasi. Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Maknanya apa sahaja dasar atau peraturan baharu yang kita nak buat hendaklah bagi memenuhi kehendak rakyat.Ia juga selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menekankan supaya penjawat awam mempunyai sikap, cara bekerja dan cara berfikir yang sesuai dengan kehendak rakyat sekarang.
Inisiatif ini juga dibentuk dengan tujuan merakyatkan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan SPA.Transformasi ini berasaskan tujuh prinsip iaitu tidak melibatkan pertambahan peruntukan kewangan, tidak memerlukan pertambahan jawatan dan tidak perlu kepada pindaan undang-undang. Prinsip lain adalah berasaskan pendekatan yang popular dan sangat dikehendaki oleh orang ramai terutama pemohon pekerjaan, pelaksanaan yang menghasilkan impak menang-menang, bersifat besar dan mempunyai titik sentuhan.
Apakah contoh transformasi yang dibuat?
Kita telah panjangkan tempoh sah laku permohonan pekerjaan secara dalam talian (online) daripada setahun kepada lima tahun. Kalau pemohon terlupa untuk membuat permohonan baharu selepas setahun, mereka masih berpeluang untuk dipanggil menghadiri temu duga. SPA juga mengadakan sesi temuduga pada waktu malam, hujung minggu dan secara panggilan telefon untuk kemudahan pemohon yang tidak dapat hadir pada waktu siang atau ketika hari bekerja.
Transformasi ini bersifat menang-menang kerana menggalakkan lebih ramai orang memohon pekerjaan sebagai penjawat awam dan pada masa sama memberi lebih banyak pilihan kepada SPA untuk memilih calon terbaik. Kita juga membenarkan pemohon mendaftar sebanyak mana jawatan kerajaan yang dikehendaki dan bukannya maksimum 15 jawatan sahaja seperti sebelum ini. Kita turut menghapuskan dasar ‘One Step Lower’ bagi membolehkan calon berkela­yakan lebih tinggi memohon jawatan gred rendah yang memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.Mereka yang ditawar jawatan oleh SPA tetapi telah menolaknya sebelum ini juga tidak akan disenarai hitam.
Apa lagi transformasi yang akan dilaksanakan?
Kita sedang mengkaji semula 1,113 peraturan SPA bagi memastikan ia tidak bertindih dan masih relevan pada masa sekarang. Kita akan permudahkan peraturan terbabit supaya berpihak kepada penjawat awam dan mereka yang memohon pekerjaan. Sejak Januari tahun ini, SPA turut mengadakan kursus percuma setiap Sabtu di seluruh negara bagi menerangkan kepada mereka yang berminat mengenai ciri-ciri pegawai kerajaan yang dikehendaki. Sepanjang dua bulan pertama tahun ini, jumlah kehadiran melebihi 7,000 orang di seluruh negara.
Antara ciri yang disenaraikan adalah cepat, tepat dan berintegriti (CTI); produktif, kreatif dan inovatif (PCI) serta bersifat setia, berfikiran terbuka dan memudahkan rakyat (LOF). Mereka juga diajar cara-cara menghadapi sesi temu duga SPA yang berdasarkan kepada kaedah Temuduga Berasaskan Kompetensi (CBI) dan psikometrik, cara-cara menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan sukatan pelajaran yang kita gunakan.

Apakah transformasi paling besar?

Ia adalah transformasi ke-75 yang dijangka mula dilaksanakan pada Jun ini melibatkan peperiksaan penjawat awam secara dalam talian. Langkah-langkah keselamatan akan diperkenalkan bagi membolehkan peperiksaan melalui kaedah ini dijalankan dan ti­dak berlaku sebarang penipuan. Kalau berlaku penipuan pun, kita masih mempunyai mekanisme untuk mengesannya iaitu ketika temu duga dan sesi peni­laian lain.
Sebagai permulaan, peperiksaan dalam talian ini akan diadakan secara kecil-kecilan tanpa membabitkan penjawat awam yang ramai sebelum diperluas melibatkan peperiksaan paling besar iaitu Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang boleh mencecah 70,000 orang.Peperiksaan dalam talian ini akan menjimatkan duit kerajaan sekurang-kurangnya RM1.5 juta setahun. Kita juga dapat menjimatkan masa, tenaga kerja dan kertas. Pegawai kita juga tidak perlu lagi pergi ke universiti luar negara bagi menguruskan peperiksaan untuk rakyat Malaysia yang merupakan pelajar tahun akhir di sana.
Bagaimana cara untuk memastikan individu mempunyai rekod jenayah tidak diambil bekerja?
Kalau dahulu, kakitangan awam akan menjalani tapisan keselamatan semasa mereka dalam tempoh percubaan iaitu antara satu hingga tiga tahun, sebelum disahkan jawatan. Ini bermakna tapisan dibuat semasa mereka sudahpun masuk ke dalam perkhidmatan awam.Tetapi dengan transformasi yang dibuat, kita melaksanakan tapisan keselamatan sebelum calon menerima surat lantikan. Ini melibatkan tapisan taraf kewarganegaraan, status kebankrapan dan rekod jenayah.
Untuk tujuan itu, kita sudah wujudkan Sistem Semakan Maklumat Individu (SSMI) dengan kerjasama polis, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Insolvensi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta agensi kerajaan lain. Sejak dilancarkan pada tahun lepas, kita telah tapis kira-kira 37,000 pemohon dan terdapat 27 kes yang tersangkut kerana mempunyai rekod tidak memuaskan.
Berapakah jumlah permohonan pekerjaan yang diterima?
Untuk Januari dan Februari tahun ini, kita telah menerima 553,365 permohonan. Sepanjang tahun lepas pula, jumlah permohonan ialah 2.1 juta. Ini adalah satu peningkatan besar dan puncanya besar kemungkinan pertama, mereka tertarik dengan gaji tinggi yang ditawarkan kerajaan. Keduanya, kerana tertarik dengan kemudahan-kemudahan yang diterima pegawai kerajaan dan ketiga, saya percaya mereka tertarik dengan ketelusan sistem pengambilan kakitangan kerajaan oleh SPA.
Pada 2013, kita sudah melantik 60,059 orang sebagai kakitangan kerajaan. Proses pengambilan ini dibuat secara berterusan apabila terdapat kekosongan jawatan.
Apakah langkah untuk menarik lebih ramai bukan Melayu?
Kita telah menyiarkan iklan kekosongan jawatan di akhbar-akhbar Cina dan Tamil serta mengadakan pertemuan dengan wa­kil media terbabit. SPA juga telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji penyertaan kaum Cina dan India dan berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum itu secara berkala bagi mendapat pandangan mereka mengenai cara-cara menarik bukan Melayu serta mengubah persepsi negatif kaum berkenaan terhadap perkhidmatan awam.
Pegawai SPA juga pergi memberi pene­rangan di institusi pendidikan yang mempunyai ramai kaum Cina dan India seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Tafe. Kita juga telah mengadakan taklimat kerjaya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dengan kerjasama Gabungan Persatuan Cina Malaysia.
Berapakah pecahan angka pengambilan mengikut kaum?
Pada tahun lepas, kita menerima 1.7 juta permohonan daripada orang Melayu; 44,633 Cina; 75,361 India dan 295,461 kaum lain. Pemohon Melayu yang dipanggil temu duga seramai 212,913 orang; daripada jumlah itu hanya 149,906 orang hadir manakala 45,392 orang berjaya mendapat pekerjaan.Peratus kejayaan pemohon Melayu berdasarkan bilangan yang hadir temu duga dengan yang dilantik adalah 30.28 peratus.
Seramai 7,262 pemohon Cina dipanggil temuduga; namun hanya 4,694 orang hadir dan daripada jumlah itu, 2,901 orang berjaya. Peratus kejayaan adalah 61.80 iaitu yang tertinggi. Daripada 7,373 orang pemohon India yang dipanggil temu duga pula, sejumlah 4,960 orang hadir dengan 2,018 orang berjaya memperoleh pekerjaan iaitu kejayaan 40.69 peratus.
Untuk dua bulan pertama tahun ini pula, kita menerima 440,019 permohonan daripada Melayu; 7,763 Cina; 14,622 India dan 90,961 kaum lain.Yang kita telah lantik secara tetap, Melayu sebanyak 3,863 orang; Cina 223 orang; India 324 orang dan kaum lain 848 orang.