SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

01 Mei 2014

PERANAN PENTING PENJAWAT AWAM

Utusan Malaysia 
1/5/2014


 
 Penjawat awam menjadi tulang belakang kerajaan dan kecekapan mereka bekerja juga memberi impak kepada imej kerajaan. - UTUSAN
 
SABAN tahun akan diadakan sambutan Majlis Hari Pekerja Penjawat Awam dan kali ini Kedah terpilih sebagai tuan rumah acara berkenaan.
Majlis yang diadakan di Dewan Wawasan, Jitra itu adalah anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Walaupun acara rutin, majlis sedemikian cukup penting sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada anggota sektor awam yang telah memberi khidmat bakti bagi menjayakan program pembangunan negara.
Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada kakitangan kerajaan yang bertungkus lumus menjayakan program transformasi perkhidmatan awam seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa ucapan Bajet 2013.
Antara perubahan yang dicadangkan beliau adalah penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi bagi membolehkan mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam.
Bagi menjayakan transformasi perkhidmatan awam, dua agensi kerajaan iaitu JPA dan Kementerian Kewangan telah dipilih sebagai penggerak utama.
Selain itu, majlis berkenaan juga bertujuan mewujudkan hubungan murni antara pekerja dan majikan, dengan harapan kerjasama erat yang sedia terjalin akan terus kekal dan dipertingkatkan untuk kepentingan dan faedah bersama.
Mengulas mengenai sambutan kali ini, Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, tema yang dipilih adalah ‘Penjawat Awam Tiang Seri Negara’.
Beliau berkata, ia selaras dengan hakikat bahawa 1.5 juta kakitangan kerajaan merupakan nadi dan inspirasi perkhidmatan awam negara serta penentu kejayaan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
“Tema ini dipilih selaras dengan peranan serta fungsi penjawat awam dalam membantu kerajaan membangunkan negara," katanya.
Berikutan peranan penting penjawat awam itu, Azih berkata, pihaknya juga mengemukakan beberapa permintaan kepada Perdana Menteri dalam satu pertemuan Isnin lalu.
Menurut beliau, permintaan itu sebenarnya datangnya daripada kakitangan kerajaan di peringkat akar umbi yang menerima kesan daripada kenaikan harga barangan.
“Kita meminta dikaji semula beberapa elaun dan insentif penjawat awam termasuk elaun tetap perumahan, elaun perkhidmatan awam dan tuntutan perjalanan yang sudah lama tidak naik walaupun kos sara hidup kian meningkat.
“Kadar hotel juga perlu dikaji. Adakah adil setiap kali buat urusan rasmi kerajaan, kami kena tanggung sendiri bayaran hotel?
“Elaun perjalanan juga masih pada kadar yang lama sedangkan harga petrol sudah naik. Jarak yang dilalui sama tapi kos yang dibayar lebih," katanya yang turut memaklumkan Najib dijangka akan menghadiri majlis sambutan hari ini.
Menurut Azih, permintaan lain adalah supaya dikaji tempoh pengesahan seseorang penjawat awam yang terlalu lama iaitu antara satu hingga tiga tahun sekarang.
“Selagi tidak dapat pengesahan, mereka tidak boleh beli rumah dan tidak boleh pinjam bank. Akhirnya mereka pinjam ah long. Oleh itu masa pengesahan jawatan patut dipendekkan kepada satu hingga enam bulan," ujarnya.
Katanya, Cuepacs turut mencadangkan supaya ditukar status kuarters kerajaan sebelum merdeka menjadi rumah sewa kerajaan dan dikenakan sewa pada kadar RM124 sebulan.
“Jika kuarters ini jadi rumah sewa, maka baki elaun perumahan setelah tolak sewa perlu dipulangkan kepada penjawat awam. Contohnya, kalau elaun perumahan RM180, sudah tolak sewa RM124 akan ada lagi baki RM56," jelasnya.
Beliau berkata, Cuepacs juga tidak bersetuju dengan tindakan memperkecilkan perkhidmatan awam yang dilaksanakan ketika ini kerana ia memberi kekangan hebat kepada jabatan untuk melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan.
“Kita turut meminta kerajaan mengubah pengiraan ganjaran persaraan daripada 7.5 peratus kepada 10.5 peratus, selain jumlah pencen dinaikkan daripada 60 peratus kepada 70 peratus," ujarnya.
Walaupun kita masih menunggu apakah pengumuman menggembirakan daripada kerajaan sempena Hari Pekerja 2014, satu hakikat yang harus diakui bahawa banyak transformasi perkhidmatan awam yang telah berjaya dilaksanakan berikutan sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua kakitangan kerajaan.
Oleh itu, sudah sampai masanya segala penat lelah penjawat awam terbabit dihargai.
Antara transformasi yang dapat dilihat adalah berlakunya peningkatan terhadap kompetensi, prestasi, produktiviti dan daya inovasi penjawat awam.
Ini berikutan langkah menempatkan semula seramai 171 pegawai JPA yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun sebagai duta kecil di agensi pelaksana sekali gus menjadikan mereka sebagai contoh untuk diikuti.
Kerenah birokrasi juga telah berjaya dikurangkan dengan pengenalan aplikasi telefon mudah alih mySMS dan myUSSD bagi memastikan segala urusan dengan rakyat dapat dijalankan dengan pantas.
Bagi individu yang memohon jawatan dalam perkhidmatan awam, mereka hanya perlu menunggu 30 hari untuk mendapat jawapan berbanding 120 hari sebelum ini.
Sebagai usaha merakyatkan perkhidmatan, penjawat awam tidak lagi hanya berada dalam pejabat malah turut turun padang memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang dan Terengganu baru-baru ini.
Penubuhan Unit Integriti di lapan kementerian dan pembangunan empat modul yang melibatkan patriotisme, etos, integriti dan nilai murni yang diterapkan dalam kursus Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) akan melahirkan penjawat awam yang cintakan negara, berbudi pekerti dan beretika tinggi.
Walaupun transformasi perkhidmatan awam bukanlah perkara mudah untuk dilaksanakan tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil jika dilihat kepada pencapaian setakat ini.
Kepada semua penjawat awam, kita mengucapkan terima kasih dan selamat menyambut Hari Pekerja 2014.

1 ulasan:

Unknown berkata...

sudah sampai masanya kerajaan MENGURANGKAN PENGAMBILAN BARU sebaliknya mengisi kekosongan dengan membuat pengambilan dalaman, samada bertukar skim berlainan dengan gred yang sama (sekiranya mempunyai kelulusan berkaitan) mahupun lantikan ke skim lebih tinggi sekiranya seseorang pegawai mempunyai kelulusan lebih tinggi, sebagai contoh: lulusan SPM lantikan gred 17 yang memperolehi diploma boleh dilantik ke gred 29 mahupun ke gred 41 sekiranya mempunyai sarjana.

dari situ boleh mengurangkan bebanan belanja mengurus kerajaan. jawatan asal yang telah dikosongkan oleh mereka bolehlah dibuat pengambilan baru, sebagai contoh seorang S17 yang ingin ke N17, jawatan S17 tersebut pastinya kosong, barulah boleh dibuat pengambilan, begitu juga seorang N17 yang mendapat jawatan M41, bolehlah dibuat pengambilan mengisi jawatan N17 tersebut.

inilah baru namanya TRANSFORMASI! barulah benar-benar layak dipanggil TIANG SERI, bukannya TIANG KAYU!