SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

02 Mei 2014

PENJAWAT AWAM SERTAI PERHIMPUNAN CBP BERDEPAN TINDAKAN BUANG KERJA - ALI HAMSA

Bernama
2/5/2014



 KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Penjawat awam yang didapati terlibat dalam perhimpunan membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) akan dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang kerja, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
"Kalau kita dapat bukti kukuh mengenai penglibatan mereka, tindakan akan diambil seperti yang dinyatakan dalam pekeliling dan tatatertib perkhidmatan awam (yang) bermula dengan amaran hingga buang kerja", katanya.

Menurutnya penjawat awam seharusnya menyokong aspirasi dan dasar kerajaan, bukan sebaliknya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada 864 penerima di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad.

Ali diminta mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 semalam, yang menganggap penjawat awam terlibat dalam perhimpunan itu dianggap pengkhianat dan tidak layak bergelar penjawat awam.

Beliau berkata sehingga kini, pihaknya tidak menerima laporan membabitkan penjawat awam dalam perhimpunan itu yang diadakan di Dataran Merdeka di sini semalam.

Terdahulu, dalam ucapannya Ali mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa mendokong dan melaksanakan Dasar Transformasi Negara ke arah menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Transformasi yang dilakukan berupaya meningkatkan daya saing negara di samping menjana kadar pertumbuhan ekonomi positif.

"Ini secara tidak langsung memungkinkan kerajaan untuk mempertimbang insentif dan kemudahan lain bagi kebajikan penjawat awam secara khususnya", katanya.

Beliau berkata penjawat awam adalah ejen penyampai yang terbaik untuk menterjemah setiap visi kerajaan.

Tahap kemajuan sesebuah negara bukan sahaja dinilai dari aspek kekukuhan ekonomi malah merangkumi ketelusan dan integriti yang dimiliki institusi negara itu termasuk sektor awam, katanya.

Justeru itu, Ali berharap semua penjawat awam mengamalkan konsep 'kerja sebagai ibadah' bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap pekerjaan.



-- BERNAMA

1 ulasan:

Unknown berkata...

buang saja penjawat awam yang menentang dasar kerajaan. mereka ini mudah diperdaya dan dipermainkan oleh pihak yang satu lagi tu sampaikan tak boleh beza apa itu "DASAR KERAJAAN" dengan "MANIFESTO PARTI POLITIK".

kita memerlukan penjawat awam yang benar-benar penjawat awam yang cerdik, bukan yang senang dimanipulasi untuk menentang kerajaan sedia ada.

tak kira la anda seorang penjawat awam peringkat persekutuan yang kita tahu parti politik mana yang menjadi kerajaan persekutuan, mahupun kerajaan negeri seperti selangor yang kita tahu parti politik mana yang menjadi kerajaan, kita adalah penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan, jadi perlu mendokong setiap polisi yang dibuat oleh kerajaan.

jika anda tak boleh bezakan kedua-dua ini, eloklah berhenti sebelum diberhentikan.