SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

11 Jun 2008

BERI GALAKAN BEKERJA SAMBILAN

Petikan Dari Utusan Malaysia
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
11/6/2008

KUALA LUMPUR 10 Jun - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diharap dapat memberi kelonggaran kepada kakitangan awam untuk bekerja sambilan bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup yang tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata, kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah, seharusnya diberi peluang daripada dulu lagi untuk bekerja sambilan bagi menampung kenaikan harga barang.
Katanya, kakitangan awam boleh bekerja selepas waktu pejabat atau pada hujung minggu tidak kira dalam sektor swasta atau awam.
''Mereka boleh bekerja sebagai operator telefon, pengawal keselamatan dan penyambut tetamu, sekurang-kurangnya dalam jangka masa tiga hingga empat jam.
''Apa yang penting pada masa ini adalah masyarakat sendiri perlu merebut peluang tersebut bagi meningkatkan pendapatan untuk jangka masa panjang,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat perundingan dan bengkel serantau mengenai pengawasan kemiskinan dan kesan, sempena Analisis Kemiskinan dan Inisiatif Data (PADI) peringkat Asia ke-7 di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pakar Ekonomi Dunia, Shahid Khandker dan Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Sulaiman Mahbob.
Sabtu lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji P1 T1 untuk memperoleh pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Amirsham berkata, dalam suasana ekonomi yang mencabar kini, kerajaan banyak menyediakan program membasmi pendapatan rendah bagi membantu golongan tersebut keluar daripada kelompok kemiskinan.
Jelas beliau, sejak program-program yang dilaksanakan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB), kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) semakin meningkat apabila berlaku penurunan sebanyak 6.7 peratus pada tahun 1971-1990.
Menurutnya, ia memperlihatkan penurunan setiap tahun apabila kadar kemiskinan semakin menurun kepada 3.6 peratus pada tahun 2007 daripada 5.7 peratus pada tahun 2004.
''Oleh itu, kini kerajaan lebih yakin sekiranya masyarakat terus bekerja keras supaya negara dapat membasmi kadar kemiskinan sebanyak 2.8 peratus pada tahun 2010," katanya.
Sementara itu, Amirsham memberitahu, bengkel yang diadakan itu bertujuan membasmi kemiskinan dengan mewujudkan program dan polisi untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
Katanya, sejak bengkel seumpama itu dijalankan di beberapa buah negara, ia memberikan kesan yang memberangsangkan kepada rakyat dan KDNK negara.
''Empat faktor utama yang akan dibincangkan adalah bagaimana memberikan peluang pekerjaan yang lebih, meningkatkan pendapatan, pertumbuhan KDNK dan perancangan ekonomi untuk jangka panjang,'' ujarnya.
Beliau berharap dengan program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini dan akan datang dapat membantu rakyat miskin menanggung kos sara hidup kini.

Tiada ulasan: