SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

22 Jun 2008

GAJI DUA KALI SEBULAN MUNGKIN TIDAK DILAKSANA

Petikan dari Utusan Malaysia
Oleh NOR AZIAH JAAFAR

KUALA TERENGGANU 20 Jun - Pembayaran gaji pegawai dan kakitangan kerajaan sebanyak dua kali sebulan mungkin tidak akan dilaksanakan kerana mendapat tentangan daripada banyak pihak.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, lebih banyak pihak yang menentang daripada menyokong pelaksanaan sistem pembayaran sedemikian.
Katanya, tentangan itu termasuk daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) serta pemimpin parti-parti politik sendiri yang menganggap ia menyusahkan.
Bagaimanapun jelasnya, keputusan muktamad mengenai perkara itu hanya akan ditentukan pada mesyuarat Kabinet akan datang.
''Bagi kita, kalau rakyat peka, kerajaan tidak akan laksanakan. Ramai yang beritahu perkara ini akan menyusahkan mereka.
''Mesyuarat Kabinet akan datang kita akan bincang dan kita akan buat keputusan muktamad nanti," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan MIC Negeri Terengganu 2008 di sini hari ini.
Menurutnya, pada mesyuarat Kabinet semalam dan mesyuarat Barisan Nasional (BN) malam tadi, kerajaan bersetuju untuk mengkaji semula syor tersebut jika golongan pekerja berpendapat ia menyusahkan mereka.
Malah jelasnya, CUEPACS sendiri telah berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan beberapa hari lepas menyatakan pandangan mereka yang menentang pelaksanaan sistem itu.
Menurutnya, kerajaan tidak membuat kajian terperinci mengenai perkara tersebut, sebaliknya keputusan yang akan dibuat nanti hanya berdasarkan pandangan pelbagai pihak yang telah diterima berhubung syor tersebut.
Beliau memberitahu, ketika syor itu dibuat kerajaan berpendapat ia merupakan satu cara untuk memastikan kakitangan awam dapat mengurus kewangan mereka agar mencukupi sehingga hujung bulan.
Katanya, kalau awal bulan beri separuh, tengah bulan masih ada separuh, ia cara untuk menguruskan perbelanjaan sesuai dengan pendapatan.
"Tetapi sebaliknya kita diberitahu ada pekerja yang kena buat bayaran tertentu seperti pinjaman rumah dan kereta pada awal bulan dan jika mereka tidak dapat gaji (penuh) maka bayaran itu tidak boleh dibuat dan kena susun semula tempoh bayaran.
''Ia mengambil masa dan melibatkan agensi lain seperti bank, jadi terpulang kepada mereka bagaimana hendak jaga perbelanjaan mereka dari awal hingga hujung bulan," ujarnya.
Mengenai langkah kementerian mengurangkan perbelanjaan dengan mengadakan majlis di hotel-hotel yang lebih murah, beliau berkata, ia adalah sejajar dengan prinsip kerajaan sekarang.
Kerajaan, ujarnya, mahu semua peringkat mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan iaitu dari peringkat menteri sehingga bawahan.

Tiada ulasan: