SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

23 Jun 2008

COLA: TUNTUTAN CUEPACS DI BAWA KE KABINET

Petikan dari Utusan Malaysia
23/06/2008


SEREMBAN 21 Jun - Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S.Subramaniam akan membawa tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhubung kajian semula Kadar Elaun Kos Sara Hidup (Cola) pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini.
Menurutnya, pandangan berkaitan isu itu akan diambil kira dan kerajaan memahami mengapa tuntutan tersebut dibuat oleh Cuepacs kerana ia mempunyai kaitan dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini.
''Mereka (Cuepacs) telah memberi pandangan dan kita kena bincang serta membawa perkara itu dalam mesyuarat Kabinet.
''Saya akan membuat kenyataan selepas mendapat maklum balas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pekerjaan dan Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Negeri di Seremban Centre Point di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Thomas George dan Ketua Pengarah Tenaga Kerja kementerian, Datuk Ismail Abdul Rahim.
Baru-baru ini, Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, kadar Cola yang ditentukan berdasarkan lokasi bekerja pada masa ini, tidak lagi relevan kerana pekerja sektor awam yang tinggal di kawasan luar bandar juga perlu membayar harga yang sama bagi membeli petrol seperti mana di kawasan bandar.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, ketika ini, sebanyak 3,658 perantis dan 600 majikan telah menyertai Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah kementerian.
Menurut beliau, sistem SLDN bertujuan menyediakan peluang latihan kemahiran kepada belia dan pekerja di negara ini.
Katanya, impak daripada sistem itu juga membawa kesan positif kepada majikan ketika mereka berhadapan konflik mencari pekerja mahir dan berpengalaman pada setiap kali membuat temuduga ke atas pemohon.
''Setiap pekerja yang menyertai SLDN, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak RM300 sebulan selama tempoh latihan yang ditetapkan majikan iaitu enam bulan sehingga setahun.
''Majikan yang turut serta dalam program ini pula akan dapat bantuan kerajaan yang menyalurkan peruntukan sebanyak RM200 kepada mereka," katanya.
Beliau seterusnya berkata, kementerian berharap untuk melihat lebih banyak majikan menyertai SLDN serta membuka peluang latihan sambil bekerja sebelum menempatkan perantis sebagai pekerja tetap selepas tamat latihan kelak.
''Peluang ini bukan sahaja terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka yang berkelulusan rendah, tetapi juga kepada golongan siswazah agar mereka memperoleh kerjaya yang meyakinkan selepas latihan," jelasnya.
Dalam program SLDN ini, sebanyak 70 peratus daripada tempoh latihan merupakan praktikal di syarikat dan tempat kerja, manakala 30 peratus lagi adalah pembelajaran teori yang dijalankan di pusat-pusat latihan.
Sementara itu, beliau juga berharap Persatuan Pengeluar-Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA) dapat memperuntukan sejumlah pekerjaan dalam sektor perladangan membabitkan bidang pengurusan, pemantauan, mekanik, pemandu traktor dan klinik kepada rakyat tempatan.
''Ketika ini, seramai 400,000 tenaga buruh asing bekerja dalam sektor perladangan daripada 2.2 juta pekerja asing yang berdaftar. Jika mereka rajin bekerja, pendapatan yang diperoleh sebulan ialah RM1,500 hingga RM1,700," ujar beliau.
Pada masa yang sama juga, Subramaniam meminta ketua kampung dan penghulu di peringkat akar umbi menjelaskan kepada rakyat terhadap kelebihan bekerja di ladang, termasuk penyediaan kemudahan rumah, pendidikan, perubatan dan bayaran gaji yang tinggi.
Pada karnival itu juga, hampir 2,000 pengunjung mendapatkan khidmat pekerjaan di 39 gerai yang menawarkan 3,386 pekerjaan termasuk 300 untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Tiada ulasan: