SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

05 Jun 2008

NGO BERI REAKSI BERBEZA

Oleh NORILA DAUD
Sedutan dari Akhbar Utusan Malaysia
5/6/2008

KUALA LUMPUR 4 Jun - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memberi reaksi berbeza berhubung pengumuman kerajaan mengenai kenaikan harga minyak yang berkuat kuasa tengah malam ini.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu menyifatkan kerajaan masih prihatin untuk membantu rakyat berpendapatan rendah walaupun harga petrol dinaikkan sebanyak 40 peratus mulai tengah malam ini.
Beliau berkata, kerajaan masih memberi subsidi kepada rakyat walaupun dijangka pada tahun 2013, negara tidak lagi menjadi pengeluar minyak.
"Sekurang-kurangnya, kerajaan membuat langkah seperti memberikan RM150 setahun kepada pemilik motosikal berkapasiti enjin 250cc dan RM625 setahun kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pick-up dan jip berkapasiti sehingga RM2,500.
"Kerajaan juga berjanji wang subsidi yang berlebihan itu akan diperuntukkan untuk kemudahan pengangkutan awam, pendidikan dan sektor awam,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenaikan harga petrol sebanyak RM0.78 seliter kepada RM2.70, berbanding RM1.92 sebelum ini yang akan berkuat kuasa tengah malam ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya petang ini.
Menurut beliau, kenaikan harga petrol ini adalah fenomena global yang tidak dapat dielakkan.
Malah, katanya, negara India juga hari ini turut mengumumkan kenaikan petrol sebanyak 10 peratus di mana sebelum ini, negara berkenaan telah menaikkan harga bahan api itu beberapa kali.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman menyuarakan kebimbangannya terhadap kesan kenaikan harga petrol dan diesel itu yang akan memberi kesan buruk kepada kakitangan sektor awam yang berpendapatan rendah.
"Kakitangan sektor awam baru hendak menikmati keseimbangan pendapatan dengan kenaikan harga barang-barang keperluan dan hari ini dikejutkan dengan kenaikan harga petrol dan diesel.
"Kenaikan harga bahan bakar ini hanya akan mendorong mereka membuat kerja sampingan dan tindakan itu hanya akan menjejaskan prestasi dan produktiviti mereka di tempat kerja,'' jelasnya.
Katanya, kenaikan harga petrol dan diesel ini sudah pasti akan membebankan mereka berikutan kos kehidupan yang akan melambung tinggi.
Bagaimanapun, menurutnya, CUEPACS akan mengadakan mesyuarat khas pada pertengahan Julai ini bagi membincangkan isu kenaikan minyak dan impak selepas setahun kenaikan gaji.
Sementara itu, tambah beliau, satu rumusan akan diserahkan kepada Perdana Menteri sebelum 1 Ogos ini.
Beliau seterusnya menyatakan kesal terhadap tindakan kerajaan yang menaikkan harga bahan bakar itu secara mengejut tanpa mengadakan perbincangan dengan pihaknya atau pertubuhan berkaitan rasional kenaikan itu.
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan harga minyak tidak dapat dikawal dan pengguna perlu lebih bijak berbelanja dan mengikut kemampuan.
"Kenaikan ini memang tak boleh dielakkan. Apa yang penting, rakyat perlu lebih berjimat dan berusaha mencari pendapatan lebih.
"Apa yang kita takut sekarang, lazimnya bila harga minyak naik, bahan-bahan makanan pun akan naik.
"Kita harap kerajaan ada mekanisme baru untuk mengelak harga makanan naik sebab seperti kelaziman pasti akan ada orang yang akan menangguk di air keruh,'' katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tiada ulasan: