SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

05 Ogos 2008

CUEPACS MOHON 113 PEKERJA SAMBILAN DISERAP

Petikan dari Utusan Malaysia
5/8/2008

KOTA BHARU 4 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menyerap 113 pekerja sambilan di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan sebagai pekerja tetap berikutan tempoh perkhidmatan mereka tamat pada 31 Julai lalu.
Pengerusi CUEPACS negeri Kelantan, Shamsuddin Mohd. Noor berkata, mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun itu telah bekerja antara lima hingga 18 tahun dengan JPN Kelantan dan bergantung pada pekerjaan tersebut untuk menyara kehidupan.
Katanya, iklan untuk mengisi jawatan pembantu am dan pembantu tadbir rendah JPN telah dikeluarkan pada Mac lalu dan mereka yang terlibat telah membuat permohonan dengan harapan yang sangat tinggi.
''Mereka wajar diserapkan ke jawatan tetap kerana dapat menyelesaikan banyak masalah dan dengan pengalaman yang panjang dalam melakukan pelbagai tugas sebagai pekerja am, mereka boleh bekerja dengan baik di sekolah-sekolah terlibat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shamsuddin berkata, pihaknya telah membuat perjumpaan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pelajaran berhubung masalah yang dihadapi oleh pekerja sambilan terlibat.
''Mereka pada dasarnya bersetuju untuk menimbangkan perkara tersebut tetapi sehingga hari ini kami tidak menerima sebarang keputusan dan kita berharap akan mendapat jawapan positif," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang bekas pekerja, Ahmad Sabri Awang, 43, berharap perkhidmatannya dan rakan-rakan senasib dapat disambung kerana ia merupakan punca rezeki keluarga.
Dia yang telah berkhidmat selama 18 tahun memberitahu, menerima imbuhan sebanyak RM28.20 sehari dan bekerja secara purata antara 19 hingga 20 hari sahaja.
Menurutnya, walaupun dengan pendapatan kira-kira RM600 itu, dia dapat menanggung perbelanjaan keluarganya dan kini buntu untuk mencari pekerjaan baru.
''Saya tidak tahu apa pekerjaan yang boleh dilakukan selepas ini," katanya.
Faridah Zakaria, 43, berkata, dia bekerja sebagai pekerja sambilan sejak sembilan tahun lalu dan menggunakan pendapatan itu untuk membantu persekolahan enam orang anaknya.
''Saya amat berharap dapat diserapkan ke jawatan tetap supaya terus dapat bekerja dan menampung pendapatan keluarga. Selama ini saya telah cuba melakukan tugas sebaik mungkin," ujarnya.

Tiada ulasan: