SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

03 Ogos 2008

TIMUR: JPN TAMAT KONTRAK 133 PEKERJA RENDAH

Petikan dari Berita Harian
Oleh Betty Subaryati dan Nor Fazlina Abd Rahim
bhkb@bharian.com.my

Semua kakitangan berusia antara 30 hingga 55 tahun kini terpaksa menganggur KOTA BHARU: Seramai 113 pekerja rendah awam kontrak yang sudah berkhidmat antara lima hingga 18 tahun dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, kehilangan pekerjaan selepas kontrak mereka ditamatkan berkuat kuasa semalam. Semua kakitangan kontrak berusia antara 30 hingga 55 tahun yang berkhidmat sebagai pekerja rendah awam di sekolah seluruh negeri di bawah JPN Kelantan itu kini terpaksa menganggur dan hilang mata pencarian bagi menyara keluarga.
Pengerusi Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Kelantan, Shamsudin Mohd Noor, berkata kebanyakan mereka yang diberhentikan itu memberikan perkhidmatan cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan masing-masing. Beliau berkata, pihaknya kesal kerana perkara itu sebelum ini pernah dibincangkan dengan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, yang berjanji menyelesaikan masalah terbabit. "Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang tindakan lanjut diambil pihak terbabit bagi membolehkan 113 pekerja kontrak berkenaan menyambung semula perkhidmatan. Jika masalah ini dibiar berlarutan, kita bimbang apa akan jadi kepada mereka selepas ini," katanya di sini, semalam.
Shamsudin yang juga Naib Presiden Cuepacs Kebangsaan berkata, pihaknya berharap Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan memberi perhatian terhadap isu ini supaya nasib semua pekerja terbabit dibela kerana mereka mempunyai tanggungan yang ramai untuk disara. "Sebahagian besar daripada pekerja terbabit terdiri di kalangan mereka yang sudah lanjut usia dan hanya mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tentunya menyukarkan mereka mencari pekerjaan lain dalam tempoh terdekat ini," katanya. Beliau berkata, kontrak 113 pekerja terbabit sepatutnya berakhir 31 Disember 2007, tetapi disambung mulai Februari lalu dan ada pihak tertentu sebelum ini berjanji mereka akan diserapkan sebagai kakitangan tetap selepas pilihan raya umum lalu. "Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran mengiklankan kekosongan jawatan pembantu am pejabat dan hampir semua pekerja terbabit mengisi borong permohonan tetapi sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan," katanya.
Sementara itu, seorang pekerja sambilan yang sudah berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Bachok sejak tujuh tahun lalu, Faridah Zakaria, 43, berkata beliau kehilangan punca pendapatan apabila menerima surat penamatan kontrak, mulai semalam. "Saya mempunyai tujuh anak yang masih bersekolah, manakala suami Sidik Ahmad, 64, hanya bekerja sebagai pemandu teksi dan tidak memiliki pendapatan tetap. "Saya buntu memikirkan masa depan keluarga... saya berharap pihak berkaitan dapat membantu kami kerana saya kehilangan pendapatan RM650 sebulan yang diperoleh dari gaji bulanan bekerja di sekolah terbabit," katanya.

1 ulasan:

janggut berkata...

APALAH KERAJAAN NIE BUAT MACAM NIE..KERAJAAN SKANG NIE DAH TERUK KE??MINYAK NAIK, BARANG NAIK TAPI GAJI NAIK PUN DAH TAK RASE APER2..BERSYUKUR MEMANGLAH BERSYUKUR TP SEBAGAI TAMPUK PEMERINTAH YANG MENGURUSTADBIR NEGARA PERLULAH PEKA DAN MEMAHAMI RAKYATNYA..BUKAN RAKYAT NAK MENANGGUK DI AIR KERUH TP HASIL NEGARA ADALAH UNTUK RAKYAT JUGA..NIE JADI MACAM KES TAMAT NIE BENGKEK GAK GUE SEBAB GUE PUN KERJA KONTRAK GAK..

GUE SOKONG CUEPACS, TERUSKAN PERJUANGAN UNTUK KAKITANGAN AWAM KERAJAAN DI MALAYSIA..

HIDUP CUEPACS!! HIDUP CUEPACS!! :P