SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

05 Ogos 2008

MRR2 PATUT DIBINA SEMULA CEGAH ROBOH

Petikan dari Berita Harian
Oleh Mohamed Farid Noh
dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
5/8/2008

KUALA LUMPUR: Dua kesatuan pengguna serta pekerja di negara ini meminta kerajaan menubuhkan satu tribunal bebas bagi menyiasat masalah sebenar keretakan jejambat di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sehingga terpaksa ditutup kepada laluan kenderaan buat kali ketiga sejak 2004. Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Cuepacs berpendapat penubuhan tribunal itu amat penting kerana sejak jejambat berkenaan dibuka kepada laluan pada 1999, masalah keretakan pada struktur MRR2 terus berulang. Cadangan itu dibuat wakil Fomca dan Cuepacs yang membuat lawatan ke jejambat itu semalam selepas terkejut dan bimbang terhadap kejadian terbaru yang berlaku terhadap MRR2.
Setiausaha Agung Fomca, Muhammad Shaani Abdullah, berkata penubuhan tribunal itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jejambat itu terjamin selain mengetahui punca sebenar keretakan di MRR2. “Tribunal ini perlu siasat sejak awal pembinaan MRR2. Kita perlu tahu apakah masalah sebenar yang sedang berlaku pada jejambat ini dan adakah ia selamat digunakan oleh kenderaan. “Tanggungjawab penyiasatan awal dan menasihat tribunal ini juga perlu dipertanggungjawabkan kepada bahagian Kejuruteraan Kementerian Pertahanan supaya penyiasatan dapat dilakukan dengan bebas serta telus.
“Kita tidak mahu apabila berlaku saja keretakan, jejambat ini dibaiki saja kerana ia membabitkan nyawa orang ramai. Kalau jejambat itu membahayakan pengguna, kerajaan perlu membina semula MRR2,” katanya ketika dihubungi semalam. Kelmarin, MRR2 yang menghubungkan Kepong dan Selayang ke ibu kota terpaksa ditutup lagi - kali ketiga dalam tempoh empat tahun - kerana mengalami rekahan. Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kesatuan itu bimbang dengan keadaan terkini yang berlaku terhadap jejambat berkenaan dan mahukan kerajaan bertindak segera termasuk menubuhkan tribunal bebas bagi menjamin keselamatan pengguna. “Kami menyokong cadangan Fomca kerana membabitkan kepentingan pengguna yang juga kakitangan awam,” katanya.

Tiada ulasan: