SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

29 Ogos 2008

PRESIDEN CUEPACS OMAR OSMAN TOKOH TERBILANG UPM

Petikan dari Berita UPM
29/8/2008

SERDANG, 28 Ogos – Staf Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Presiden Ceupacs, Omar Osman diumumkan sebagai Tokoh Putra Terbilang UPM bagi Anugerah Khas Universiti pada Majlis Gemilang Putra 2008 yang telah berlangsung pada hari ini. Omar, 58 yang telah berkhidmat selama 35 tahun di UPM menerima hadiah berupa sijil simpanan premium RM15,000, sebuah trofi, sijil dan seutas jam tangan. Juruteknik Kanan Pusat Sukan itu berkata beliau tidak menyangka menerima anugerah itu kerana beliau dimaklumkan dijemput sebagai tetamu jemputan pada majlis tersebut. ”Saya amat berbangga kerana menjadi orang pertama menerima anugerah tersebut memandangkan ia julung kali diadakan di UPM” katanya selepas menerima anugerah yang disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah. Beliau dipilih sebagai penerima anugerah berdasarkan sumbangan menuntut hak pekerja bawahan seperti bantuan sara hidup serta keberaniannya mengemukakan masalah pekerja bawahan kepada pihak atasan. Omar berpuas hati dengan perjuangannya menuntut hak kesamarataan telah dicapai di semua agensi pekerjaan di negara ini walaupun satu ketika dulu percubaannya dipandang rendah oleh semua pihak. Prof. Datuk Nik Mustapha R. Abdullah diiringi Wan Azman Wan Omar merasmikan Buku Program Pembangunan Profesional Staf UPM. Sementara itu, lima penerima Anugerah Fellowship Naib Canselor ialah Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Talib (Fakulti Sains) bagi Kategori Cemerlang dalam Pengajaran, Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit (Fakulti Kejuruteraan) bagi Kategori Cemerlang dalam Penyelidikan, Prof. Madya Dr. Syed Omar Syed Rastan (Fakulti Pertanian) dan Dr. Dasrilsyah Syahrial (Pusat Kesihatan Universiti) bagi Kategori dalam Perkhidmatan Profesional dan Sn. Rokiah Akhiar (Pusat Kesihatan Universiti) bagi Kategori Cemerlang dalam Perkhidmatan Sokongan. Kesemua penerima anugerah menerima geran bernilai RM10,000, sebuah trofi dan sijil pengiktirafan. Pada majlis kali ini, seramai lima orang staf menerima anugerah Fellowship Naib Canselor, dua orang anugerah Jasamu Dikenang, 83 orang anugerah Jasa Putra, 26 anugerah Setia Putra, 447 anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 66 anugerah Bakti Putra. Majlis ini dahulunya dikenali sebagai Anugerah Fellowship Naib Canselor, Jasa Putra, Setia Putra dan Perkhidmatan Cemerlang yang diperkenalkan pada tahun 2002 tetapi telah digabungkan menjadi satu nama iaitu Majlis Gemilang Putra bermula tahun 2006 hingga sekarang. Anugerah itu merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada staf UPM dalam aktiviti berkaitan pengajaran, penyelidikan, perkhidmatan profesional serta sokongan. Dr. Nik Mustapha dalam ucapan perasmiannya berkata staf yang dipilih untuk menerima anugerah tersebut mempunyai kualiti dan prestasi kerja yang cemerlang sepanjang tahun. Beliau berkata banyak inisiatif telah dikaji dan digunapakai dalam usaha meningkatkan kualiti staf UPM dalam menyampaikan perkhidmatan untuk menjadi satu IPT yang unggul. Majlis tersebut diakhiri dengan pelancaran Buku Program Pembangunan Profesional Staf UPM iaitu maklumat lengkap mengenai semua kursus latihan yang ditawarkan untuk pegawai dan staf UPM.

Tiada ulasan: