SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

22 Ogos 2008

KSN TEGUR KETUA JABATAN 'KASIHAN' AMBIL TINDAKAN

Petikan dari Berita Harian
Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
22/8/2008

KUCHING: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, menegur sikap sebilangan ketua jabatan yang tidak mengambil tindakan terhadap pegawai kerajaan yang melakukan kesalahan dan melanggar tata kelakuan, semata-mata atas dasar kasihan atau kerana ingin memberi satu lagi peluang untuk mereka berubah. Katanya, kegagalan mengambil tindakan tatatertib dengan cepat sebenarnya boleh mendatangkan kesan buruk kepada perkhidmatan awam di negara ini.
"Justeru, semua ketua jabatan hendaklah memberi tumpuan ke atas tindakan tatatertib dan menganggap tindakan tatatertib sama pentingnya dengan urusan perkhidmatan lain," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Negeri dan Pelajaran ke-XI berakhir di Damai Puri Resort, Santubong, di sini semalam. Mohd Sidek berkata, dalam melaksanakan tindakan tatatertib, mereka perlu memastikan prosedur dan tatacara diambil bertepatan dan mengikut peraturan ditetapkan serta tidak dapat dicabar, walaupun kes berkenaan dibawa ke mahkamah. "Kita harus memastikan aspek 'condonation' tidak berlaku dalam tindakan tatatertib memandangkan perlakuan sedemikian boleh mendatangkan kerugian kepada kerajaan.
"Selain itu, kita juga perlu ingat dalam proses tindakan tatatertib, hukuman yang dikenakan mestilah setimpal dengan kesalahan disabitkan, dengan peluang pembelaan diri secukupnya diberikan sebelum hukuman dikenakan," katanya. Beliau turut menyentuh mengenai isu kelewatan perakuan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan oleh ketua jabatan kepada Pihak Berkuasa Melantik (PBM) (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan SPA Negeri), yang antara lain berpunca daripada ketua jabatan terlepas pandang. Mohd Sidek berkata, ada kes pegawai yang tamat tempoh percubaan tetapi ketua jabatan hanya mengemukakan permohonan pelanjutan tempoh percubaan selepas 18 bulan tamat percubaan. Perkara sebegini katanya, dapat dielakkan jika setiap jabatan mempunyai mekanisme pemantauan yang berkesan terhadap pegawainya. Menyentuh tuntutan Cuepacs supaya kerajaan mempertimbangkan penyerapan secara tetap 45,000 pegawai lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam, beliau berkata dasar pelantikan semasa tidak menjanjikan seseorang pegawai lantikan kontrak dilantik secara automatik ke dalam perkhidmatan awam, seperti dijelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan 2 Tahun 2008. Sementara itu, Mohd Sidek, memberi amaran bahawa tindakan disiplin akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai dan kakitangan awam yang tidak mematuhi peraturan dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Tiada ulasan: