SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

08 Ogos 2008

KERAJAAN PERLU WASPADA SALUR BANTUAN KEWANGAN

Petikan dari Berita Harian
8/8/2008

KUALA LUMPUR: Cuepacs dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mahu kerajaan berhati-hati menyalurkan bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Bajet 2009 ini. Mereka berharap kerajaan ikhlas menjalankan tanggungjawab sosial untuk memberi keselesaan hidup kepada rakyat berpendapatan rendah yang dihimpit kenaikan pelbagai harga barangan dan minyak sekarang. Setiausaha Agung Fomca, Mohammad Sha’ani Abdullah berkata, kerajaan perlu menetapkan kadar pendapatan golongan pendapatan rendah di bandar dan luar bandar yang layak diberi bantuan itu.
Katanya, bantuan itu juga perlu disalur menepati kumpulan sasar. “Fomca berharap bantuan ini tidak dianggap beban baru kepada kerajaan. Kita juga cadangkan bantuan disalur kepada mereka yang layak mengikut bilangan tanggungan dalam keluarga, bukan berasaskan gaji saja. “Kerajaan juga perlu memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan ke atas bantuan ini apabila yang berkemampuan pun menikmati kemudahan itu,” katanya di sini, semalam.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pihaknya tidak pasti golongan berpendapatan rendah mana akan mendapat kemudahan itu atau hanya untuk golongan miskin seperti petani, nelayan dan penternak saja. Katanya, Cuepacs berharap bantuan itu juga akan membabitkan kakitangan awam yang berpendapatan rendah. Beliau berkata, mengikut perkiraan Cuepacs kakitangan awam berpendapatan kurang RM2,500 sebulan dan tinggal di ibu kota seperti Kuala Lumpur adalah golongan berpendapatan rendah. “Ada kira-kira 650,000 kakitangan awam Kumpulan Sokongan Dua yang berpendapatan RM1,500 ke bawah sebulan dan Kumpulan Sokongan Satu (RM1,501 hingga RM3,500) seramai 200,000 orang.
“Cuepacs menyambut baik langkah kerajaan memberi bantuan itu dapat membantu meringankan beban tanggungan golongan itu. “Kita tunggulah apa akan diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2009 tidak lama lagi mengenai bantuan itu dan pihak mana yang layak menikmatinya,” katanya.

Tiada ulasan: