SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

15 April 2010

JPA BERI KELONGGARAN DAPAT PAMPASAN PENUH BERSARA PILIHAN

Berita Harian
2010/04/14



GEORGETOWN: Kakitangan awam yang memohon bersara pilihan masih boleh memperoleh ganjaran penuh jika mempunyai alasan munasabah bagi menyokong permohonan itu seperti masalah kesihatan. Perkara itu dipersetujui dalam perjumpaan di antara Cuepacs dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, pada 5 April lalu.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata JPA setuju memberi kelonggaran itu bagi kes tertentu tetapi jika alasan bersara pilihan tidak munasabah, syarat yang ditetapkan dalam pekeliling adalah terpakai.
"Jika ada kakitangan awam yang mahu bersara awal dan mempunyai alasan kukuh seperti masalah kesihatan dan nak selesaikan hutang, dia boleh mendapat 100 peratus ganjaran. "Jika nak bersara tanpa tujuan dan alasan yang kukuh, mereka akan menerima 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi," katanya. Beliau bercakap pada sidang media selepas menutup Seminar Kebangsaan Kepimpinan Muda Kesatuan Sekerja Penjawat Awam di sini, tengah hari ini. Mulai 1 Februari lalu, JPA mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Antara syarat baru kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan berbanding bayaran sekali gus seperti sebelum ini. Syarat baru itu mendapat bantahan daripada Cuepacs dengan mendakwa lebih 90 peratus kakitangan awam termasuk kalangan pengurusan dan profesional tidak bersetuju dengan syarat baru itu. Mengulas lanjut, Omar berkata, JPA juga memberi jaminan syarat itu hanya berbentuk jangka pendek dan kembali kepada syarat lama apabila keadaan ekonomi negara kembali pulih. "JPA menjelaskan syarat baru bersara pilihan itu adalah untuk jangka pendek saja," katanya sambil menambah purata 3,000 hingga 4,000 kakitangan awam bersara pilihan setiap tahun. Sementara itu, Omar berkata, pihaknya juga sedang menyediakan satu memorandum kepada kerajaan berkaitan semakan semula gaji kakitangan awam yang dijangkakan diserahkan tidak lama lagi. Katanya, semakan semula skim gaji itu perlu kerana kali terakhir kenaikan gaji ialah kira-kira empat tahun lalu. "Kami di peringkat akhir menyiapkan memorandum itu untuk diserahkan kepada kerajaan dalam masa sebulan dua ini," katanya sambil menambah semakan itu seiring dengan Model Ekonomi Baru (MEB). Mengenai pekerja kontrak, Omar berkata Cuepacs berharap kumpulan itu tidak wujud lagi selepas 31 Disember depan, yakni mereka diserahkan dalam perkhidmatan awam. "Kami sudah bincang dengan JPA dan selaras dengan MEB yang mahu memperkukuh sektor awam, kami harap menjelang 31 Disember 2010 tidak ada lagi status kontrak dalam sektor awam," katanya. Beliau juga berharap tuntutan bonus bagi kakitangan kerajaan turut mendapat perhatian kerajaan apabila ekonomi negara bertambah baik kerana ianya akan memberi suntikan dan semangat kepada kakitangan kerajaan. "Bonus tidak semestikan dalam bajet (ketika pembentangan bajet). Kalau keadaan ekonomi okey, sampai Mei pun okey...(kerajaan boleh pertimbangkan)," katanya.

Tiada ulasan: