SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA

03 September 2014

Dr M PUJI SUMBANGAN KESATUAN SEKERJA

Bernama
2/9//2014


KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama)-- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memuji pergerakan kesatuan sekerja Malaysia kerana sumbangan besarnya dalam memelihara keharmonian perhubungan perusahaan dan membantu ke arah pembangunan.
"Kita bernasib baik kerana mempunyai pemimpin kesatuan sekerja yang bersikap munasabah dalam tuntutan mereka serta tahu tentang akibat buruk daripada kekacauan perusahaan dan pentingnya bekerjasama dengan kerajaan bagi memelihara keamanan serta membangunkan negara," katanya.

Ketika melancarkan buku autobiografi ikon kesatuan sekerja Malaysia A. Ragunathan, 80, yang juga bekas presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), beliau berkata "pemimpin seperti Ragu inilah yang membantu membentuk iklim perhubungan perusahaan di negara ini."

Beliau seterusnya menggesa majikan supaya bekerjasama rapat dengan anggota kesatuan sekerja dengan berkata "tanpa sokongan pekerja, apa juga kerja anda tak akan menjadi."

Buku setebal 173 muka surat itu, yang berjudul "MY WAY" dan disunting bekas wartawan kanan Bernama Sajad Hussein, memuatkan strategi perhubungan perusahaan sepanjang tiga dekad dalam perkhidmatan awam Malaysia dari 1960-an hingga 1990-an.

Ia juga memuatkan pelbagai semakan gaji serta penambahbaikan terhadap syarat perkhidmatan lebih kurang sejuta penjawat awam di negara ini.

Ragunathan, yang pernah digelar "tokoh kesatuan sekerja yang tiada tolok bandingnya" oleh Dr Mahathir, antara lain diingati kerana kejayaannya meneroka pendekatan baharu dalam rundingan dengan kerajaan bagi mendapatkan habuan terbaik untuk penjawat awam.

Pada zaman kegemilangannya, Ragunathan terkenal kerana mempunyai "hot line" dengan Dr Mahathir, yang banyak membantu menyelesaikan pelbagai isu dan menjamin wujudnya suasana baik dalam perhubungan perusahaan di negara ini.

Dr Mahathir juga menggesa kerajaan menimbang memberi pengiktirafan terhadap sumbangan Ragunathan walaupun tokoh kesatuan sekerja itu sudah bersara.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: