Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, langkah itu boleh menjejaskan peluang generasi muda untuk menyertai perkhidmatan awam.
“Saya minta JPA melihat semula pembekuan itu kerana ia memberikan persepsi negatif kepada kerajaan.
“Pekerja yang bersara, berhenti dan meninggal dunia perlu diganti kerana jika tidak, ia akan mengganggu proses perkhidmatan sesebuah jabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Hari Pekerja peringkat negeri di Politeknik Seberang Perai yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Azih mengulas laporan sebuah portal berita tentang JPA yang kini mengawal jumlah perjawatan bagi semua kementerian dan jabatan bermula 22 April lalu.
Sementara itu, Azih berkata, beliau tidak menerima pekeliling kerajaan berkenaan perkara tersebut dan jika betul, beliau berharap ia hanya bersifat sementara.
“Mungkin terlalu ramai kakitangan awam sekarang dan dalam masa yang sama kerajaan mahu kawal pengambilan pekerja agar tidak melebihi waran perkhidmatan 1.7 juta yang ditetapkan,” katanya.