Kumpulan itu dikenal pasti terpalit dengan pelbagai masalah disiplin antaranya ponteng kerja selama 200 hari dalam setahun, datang lewat ke pejabat, terlibat dengan perniagaan serta hilang fokus sehingga penilaian prestasi mereka berada di bawah 60 peratus.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa ketika mengesahkan perkara itu berkata, tindakan tegas tersebut perlu diambil selari dengan pelan transformasi perkhidmatan awam kerana tidak adil untuk jabatan terus mengekalkan mereka yang hanya ‘makan gaji buta’.
Bagaimanapun katanya, sebelum ditamatkan perkhidmatan, kumpulan kakitangan awam yang bermasalah tersebut akan diberi peluang untuk memperbaiki prestasi kerja masing-masing dalam tempoh enam bulan terlebih dahulu sebelum penyingkiran dibuat jika masih tidak berubah.
“Kita bukan hina penjawat awam, ini untuk kebaikan penjawat awam tersebut dan juga jabatan. Mereka tak fokus, terlibat dengan perniagaan, ponteng kerja dan macam-macam lagi. Orang macam ini saya rasa kita tidak perlu pertahankan untuk kita bayar gaji buta.
“Jumlah 5,000 bukan angka mengejutkan kerana keseluruhan penjawat awam 1.61 juta tetapi kita akan panggil mereka untuk diberi latihan. Tapi kalau mereka masih tak mahu tolong diri sendiri kita tak dapat berbuat apa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Hari Terbuka Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ali berkata demikian ketika diminta mengulas dasar pemisah personal berprestasi rendah bagi penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam usaha mentransformasi perkhidmatan awam.
Kepada soalan apa reaksi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung langkah tersebut, beliau berkata, sesi perbincangan mengenai perkara itu sudah dilakukan sebelum ini dan kesatuan tersebut melahirkan persetujuan.
Beliau dalam nada yang tegas juga menjelaskan, tindakan yang akan diambil ke atas kakitangan awam bermasalah itu bukan bertujuan mengecilkan saiz tenaga kerja sektor awam kerana pengambilan baharu tidak akan dibekukan bagi menggantikan mereka yang bersara.
“Kita memberi jaminan tiada langkah mengecilkan saiz tenaga kerja sektor awam kerana pengambilan baharu akan tetap dibuat bagi menggantikan kakitangan yang bersara berjumlah 25,000 setahun, cuma perjawatan baharu sahaja yang dibekukan,” katanya