Bagaimanapun kata beliau, sama ada diterima atau tidak, perkara itu terpulang kepada keputusan mesyua­rat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi-agensi terlibat yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Namun, saya ingat Pulau Pinang sesuai kerana dekat de­ngan perairan tersebut. Jadi, mungkin kerajaan boleh melihat untuk mendirikan pusat penempatan sementara di Pulau Pinang kerana memudahkan semua agensi bagi menguruskan penempatan mangsa-mangsa pelarian," katanya.
Khalid berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada lokasi penempatan sementara membabitkan pelarian Rohingya telah dikenal pasti.
Beliau ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM Ke-9 yang turut dihadiri oleh setiap wakil kontinjen polis negeri seluruh Malaysia, di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda dan Presiden Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU), Mahamad Bahrum.
Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menjelaskan, hampir 7,000 pelarian Rohingya dan Bangladesh yang tersadai di perairan antarabangsa sejak beberapa minggu lalu akan diberikan bantuan secepat mungkin serta disediakan tempat perlindungan sementara.
Ketika ditanya mengenai perkembangan membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Khalid menegaskan siasatan tersebut dikendalikan oleh pasukan petugas khas yang disertai oleh PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.
“Kami masih menunggu laporan daripada Jabatan Audit Negara yang khabarnya akan menyelesaikan tugas mereka tidak lama lagi kerana kita tak mahu bertindih-tindih.
“Biarlah satu-satu buat kerja dahulu. Cuma, kita tidak hebahkan 'satu dunia' bahawa kita telah memanggil individu untuk diambil keterangan. Biarlah kita jalankan tugas,” katanya.