SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

21 Jun 2011

JANGAN ASYIK MINTA BONUS

Utusan Malaysia
21/6/2011




KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Sektor Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dan menaikan elaun sara hidup diselaraskan kepada RM300 sebulan di semua tempat. Permintaan itu dipohon kepada Perdana Menteri dalam pembentangan bajet 2012.

Pada hemah saya dalam keadaan sekarang pihak CUEPACS perlu menyarankan kepada kakitangan awam untuk meningkatkan produktiviti dan memastikan negara kita muncul sebagai negara maju pada tahun 2020, berbanding tuntutan untuk mendapatkan bonus dan kenaikan elaun sara hidup.

Tuntutan pihak CUEPACS berupa peruntukan kewangan adalah sesuatu yang sensitif dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu sekarang ini. Tuntutan ini didapati boleh merendah-rendahkan imej dan reputasi kakitangan awam.

Umum akan mendakwa bahawa kakitangan awam tiada kerja lain kecuali menuntut bonus dan elaun. Bagaimana pula nasib orang yang bekerja sendiri seperti penoreh getah, pesawah, petani, nelayan, pemandu bas, kereta sewa dan teksi? Mereka ini tiada gaji dan elaun sara hidup.

CUEPACS disarankan turut memperjuangkan perkara-perkara lain seperti kebajikan untuk kakitangan awam yang lain. Kurangkan tuntutan bonus dan elaun.

Kini Kementerian Sumber Manusia pula telah mengumumkan mengenai penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 yang dijangka dapat beroperasi pada tahun ini.

Penubuhan badan itu akan memberi impak kepada golongan pekerja berpendapatan rendah di negara ini apabila kadar gaji minimum mereka dapat dilaksanakan akhir tahun ini.

Kini kira-kira 34 peratus atau 350,000 pekerja sektor awam mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan dan tidak sesuai lagi dengan kos sara hidup semasa yang semakin meningkat.

Sama ada kerajaan mahu memberi bonus atau sebaliknya adalah terpulang kepada kemampuan kewangan kerajaan dalam menguruskan pendapatan dan perbelanjaan negara secara berhemah.

Adalah menjadi keutamaan kerajaan pada masa kini bagi mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat yang memberi mandat kepada kerajaan dalam pilihan raya umum yang lalu.

Kakitangan awam disaran mencontohi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang berasa malu dan segan untuk meminta kepada pihak kerajaan berkaitan bonus dan tuntutan apa-apa elaun, tambahan kedudukan kewangan serta kemampuan kerajaan pada masa kini berada pada keadaan yang minimum.

Sebarang tuntutan mesti dapat dibuktikan melalui peningkatan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat di negara ini.

Tumpuan kakitangan awam sekarang ini perlu kepada meningkatkan produktiviti dan melakukan penjimatan terhadap aspek perbelanjaan harian. Sikap boros berbelanja akan mendorong kepada kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan yang akhirnya boleh membawa kepada tekanan inflasi yang tinggi.

CUEPACS MINTA PERTIMBANG BONUS

Utusan Malaysia
20/6/2011



ALOR SETAR 19 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam pada pembentangan Bajet 2012, awal Oktober ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya sudah menyatakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara lisan dan akan memohon perkara itu secara bertulis dalam masa terdekat.

"Dua tahun kebelakangan ini kakitangan awam seluruh negara memperoleh wang saguhati RM1,000. Namun, kali ini CUEPACS amat berharap kerajaan menimbangkan kadar bonus yang lebih baik.

"Saya tidak mahu nyatakan berapa bulan bonus yang kita pohon kepada kerajaan kerana bimbang peniaga akan menaikkan harga barang, namun jumlah yang dipohon ini bersesuaian kepada penjawat awam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kedah di sini, hari ini.

Menurutnya, CUEPACS juga menuntut kerajaan untuk menyelaraskan elaun sara hidup (COLA) bagi meningkatkan taraf hidup 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara.

Omar berkata, COLA yang dinikmati ketika ini sekitar RM80 sebulan sudah diguna pakai sejak lapan tahun lalu dan sudah tiba masanya ia dinaikkan kepada RM300 sebulan.

"Kenaikan ini selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) menerusi pekerja pendapatan tinggi dan melahirkan pekerja yang kreatif serta inovatif.

"Harap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan ke arah menuju negara maju menjelang 2020," jelasnya.

TUNTUTAN CUEPACS BERKAITAN BONUS, ELAUN PERLU DITENTUKAN IKUT KEMAMPUAN KERAJAAN

Berita Harian
2011/06/21




KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Sektor Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dan menaikkan elaun sara hidup diselaraskan kepada RM300 sebulan di semua tempat. Permintaan itu dimohon kepada Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2012.

Dalam keadaan sekarang, CUEPACS perlu menyarankan kepada kakitangan awam untuk meningkatkan produktiviti dan memastikan negara kita muncul sebagai negara maju pada 2020, berbanding tuntutan untuk mendapatkan bonus dan kenaikan elaun sara hidup. Bagaimana pula nasib orang yang bekerja sendiri, penoreh getah pesawah, petani, nelayan, pemandu bas, kereta sewa dan teksi mereka tiada gaji dan elaun sara hidup? CUEPACS disaran turut memperjuangkan perkara lain juga seperti kebajikan kakitangan awam. Kini Kementerian Sumber Manusia pula mengumumkan mengenai penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 yang dijangka dapat beroperasi tahun ini. Penubuhan badan itu akan memberi impak kepada pekerja berpendapatan rendah dapat gaji minimum akhir tahun ini.

Kini 34 peratus atau 350,000 pekerja sektor awam mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan. Sama ada kerajaan mahu memberi bonus atau sebaliknya terpulang kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Adalah menjadi keutamaan kerajaan mendahulukan rakyat dan mengutamakan prestasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat yang memberi mandat kepada kerajaan dalam pilihan raya umum lalu. Kakitangan awam disaran mencontohi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang segan meminta bonus dan elaun tambahan kerana kemampuan kerajaan kini berada pada keadaan minimum.

Sikap boros berbelanja akan mendorong kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang akhirnya membawa kepada tekanan inflasi tinggi.

YOSRI BIN ABU MAHSIN,
Kuala Lumpur.

19 Jun 2011

CUEPACS MINTA KENAIKAN PANGKAT SELEPAS KURSUS

Bernama
2011/06/19



ALOR SETAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar di bawah Sistem Bersepadu Potensi Penjawat Awam (PROSPEK), penjawat awam terus mendapat kenaikan pangkat selepas menghadiri kursus tanpa perlu menunggu berlaku kekosongan jawatan.

"Kita membantah jika kenaikan pangkat hanya diberi apabila terdapat kekosongan jawatan kerana objektif PROSPEK tidak tercapai. Apabila pulang dari berkursus mereka hendaklah dinaikkan pangkat," kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman. Beliau berkata, CUEPACS juga menuntut pemberian insentif kepada penjawat awam dinaikkan terus kepada tiga kenaikan. "Dulu masa ada PTK (Penilaian Tahap Kecekapan), kita ada aras melintang dan menegak tapi dalam PROSPEK konsep melintang dan menegak tiada. Jadi kita mahu ia digantikan dengan tiga kenaikan, baru ada perubahan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai RISDA Kedah di sini hari ini.


Beliau berkata, CUEPACS sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara berhubung pelaksanaan PROSPEK.

Katanya, terdapat beberapa perkara yang tidak disentuh dan perlu dimasukkan dalam PROSPEK supaya terdapat perubahan lebih baik berbanding PTK.
"Antara permintaan lain CUEPACS ialah pelantikan panel berwibawa bagi membuat penilaian terhadap penjawat awam selain dua pegawai mewakili kesatuan sekerja supaya penilaian yang dibuat lebih adil dan saksama," katanya.

Omar juga berkata, CUEPACS tegas dengan tuntutannya mengenai penyelarasan elaun sara hidup kepada RM300 untuk semua penjawat awam dan imbuhan tetap perumahan dinaikkan kepada RM350 dari RM180. - BERNAMA

17 Jun 2011

SKIM GAJI LEBIH MUNASABAH KE ARAH NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI

Utusan Malaysia
16/6/2011



PENGUMUMAN Perdana Menteri mengenai pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja berpendapatan rendah sebelum akhir tahun ini, umpama bulan jatuh ke riba bagi golongan itu.

Bukan rahsia lagi yang isu gaji minimum ini telah diperjuangkan oleh kesatuan sekerja awam dan swasta di negara ini sejak sekian lama umpama pungguk merindukan bulan.

Beberapa siri rundingan, dialog dan pertemuan telah diatur di antara pihak kesatuan, wakil kerajaan dan majikan termasuk swasta untuk mencari titik persefahaman namun kerap kali tidak mencapai kata putus.

Antara alasan yang pernah diberikan majikan khususnya pihak industri yang banyak menggaji pekerja asing untuk menolaknya; sebaik sahaja dilaksanakan, tidak akan ada pengecualian maksudnya ia meliputi semua termasuk warga asing.

Tetapi wajarkah alasan itu menjadi kekangan untuk melaksanakan skim gaji 'yang munasabah dan berpatutan' untuk pekerja di negara ini?

Perlukah kita mengorbankan kebajikan pekerja tempatan semata-mata kerana enggan membayar jumlah gaji yang sepadan kepada pekerja asing?

Difahamkan ada kalangan pekerja yang pendapatan asasnya RM600 sebulan. Malah ada pengawal keselamatan yang dibayar serendah RM500 sebulan.

Bayangkan apa yang dapat dibeli dengan wang sebanyak itu, lagi-lagi jika tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur?

Dengan gaji sekecil itu, golongan pekerja ini terpaksa berkira-kira untuk membayar sewa rumah, duit minyak baik kereta atau motor, tol dan belanja dapur yang tentu sahaja besar bagi yang berkeluarga.

Itu belum dikira belanja sekolah anak, yuran termasuk duit beli ubat apabila sakit pening.

Justeru pengumuman Perdana Menteri semasa menghadiri majlis makan malam Hari Pekerja 2011 kelmarin, sememangnya berita yang cukup menggembirakan!

Cadangan gaji minimum sekitar RM900 sebulan yang diperjuangkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), rasanya cukup munasabah dan tidak membebankan kerajaan.

Walaupun kadarnya hanya akan diputuskan selepas Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuhkan, kita menaruh kepercayaan ia suatu jumlah yang melegakan.

Perkembangan terbaru ini mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar mendengar keluhan rakyat bahkan membuktikan gagasan 'Rakyat Didahulukan' bukan sekadar slogan.

Ribuan maklum balas berhubung syor gaji minimum yang diterima Perdana Menteri dalam blog beliau www.1malaysia.com juga jelas tidak dibakulsampahkan.

Dalam perjalanan Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, nasib golongan pekerja ini nampaknya tidak diabaikan sebaliknya mereka dibawa sama untuk mencapai matlamat tersebut.

Kita percaya dengan pelaksanaan gaji minimum itu kelak, golongan pekerja yang mendapat manfaat daripadanya akan membalas budi dengan meningkatkan produktiviti masing-masing.

Kita mengandaikan dengan peningkatan pendapatan itu, mereka tidak perlu lagi bersusah payah membuat kerja sambilan sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pekerjaan hakiki.

Dengan itu, barulah gagasan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' menjadi slogan yang lengkap!

CUEPACS, MTUC SYOR KADAR GAJI MINIMUM PRAKTIKAL

Berita Harian
16/6/2011





KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan menetapkan dasar kadar gaji minimum yang lebih praktikal, selaras dengan transformasi negara berpendapatan tinggi.

CUEPACS yang mewakili 1.2 juta penjawat awam memperjuangkan tuntutan gaji pokok minimum RM920 sejak empat tahun lalu, manakala MTUC yang menaungi 620,000 ahli diwakili 272 kesatuan menuntut kadar gaji pokok minimum RM900 sejak 11 tahun lalu. Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata jika tuntutan kongres dipertimbangkan, ia menggembirakan lebih 350,000 penjawat awam yang menikmati gaji pokok bawah RM900 sebulan, selain lantikan baru penjawat awam Gred 1 hingga 16 yang menikmati gaji pokok RM647 sebulan. Kadar itu, katanya, menyebabkan ramai penjawat awam berada di bawah garis kemiskinan.

“Kita berharap dengan adanya kajian semula Sistem Saraan Malaysia dan penambahbaikan skim perkhidmatan awam, semakan semula gaji pokok bagi lantikan baru mesti melepasi gaji minimum RM920.

“Tuntutan itu dianggap munasabah kerana ia dikemukakan sejak tiga, empat tahun lalu, sepatutnya kerajaan meluluskan kadar gaji minimum lebih tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup hingga memaksa penjawat awam melakukan kerja sambilan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjangka dasar kadar gaji minimum bagi pekerja berpendapatan rendah di negara ini dapat dilaksanakan akhir tahun ini selepas penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara (MKGN).
Rang Undang-Undang MKGN 2011 akan dibentangkan Kementerian Sumber Manusia di Parlimen pada persidangan kali ini.

Sementara itu, Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan, berkata penetapan gaji minimum perlu memastikan pekerja tidak terus dibelenggu kemiskinan atau jumlah yang disifatkan hanya mampu hidup.

“Saya difahamkan kerajaan mungkin menetapkan gaji minimum pada kadar RM700 iaitu di bawah garis kemiskinan yang tidak sesuai dengan transformasi negara berpendapatan tinggi,” katanya.

MINDA PENGARANG: PERLAKSANAAN GAJI MINIMUM BERI IMPAK BESAR KEPADA RAKYAT

Berita Harian
16/6/21011




PENGUMUMAN mengenai penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 kelmarin, yang dijangka beroperasi tahun ini membuktikan kerajaan benar-benar serius dalam menjamin kebajikan dan kesejahteraan pekerja pelbagai peringkat yang menyumbang kepada kemajuan negara. Penubuhan badan itu akan memberi impak besar kepada golongan pekerja berpendapatan rendah apabila kadar gaji minimum mereka dapat dilaksanakan akhir tahun ini. Kali terakhir semakan gaji kumpulan berkenaan dibuat pada 2007. Kita melihat semakan itu perlu bagi mengatasi masalah pekerja awam terpaksa membuat kerja sampingan bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi. Jika itu berlaku ia boleh menjejaskan prestasi ketika mereka menjalankan tugas hakiki. Sebelum ini Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar kerajaan memperkenalkan gaji minimum RM900 sebulan dalam usaha membantu kakitangan berpendapatan rendah kerana segelintir mereka yang bekerja sebagai pekerja am rendah, pembantu pejabat dan pemandu masih menerima gaji pokok antara RM600 hingga RM647 sebulan. Justeru, langkah kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 bagi tujuan menyemak tangga gaji pekerja berpendapatan rendah adalah bertepatan sekali dan sesuai dengan perkembangan semasa. Sekiranya segala-galanya berjalan lancar, termasuk dipersetujui kuantumnya, golongan pekerja terbabit dijangka menikmati gaji minimum RM900 pada akhir tahun ini. Penubuhan majlis berkenaan bagaimanapun, perlu terlebih dulu diluluskan Parlimen dan satu usul rang undang-undang akan dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada sesi persidangan kali ini.

Kita percaya pelbagai isu berkaitan pekerja akan dibincang untuk pertimbangan menteri pada persidangan Parlimen sesi ini seperti soal persaraan, elaun kos sara hidup dan pekerja asing. Walaupun isu gaji golongan berpendapatan rendah sudah lama diperjuangkan iaitu sejak 1999 lagi, pihak kesatuan sekerja tidak boleh mengharapkan peningkatan gaji yang terlalu tinggi kerana desakan sedemikian boleh menyebabkan pelabur asing lari ke negara jiran lain di Asia Tenggara kerana kos tenaga kerja di sana lebih rendah dan mudah diperoleh berbanding di negara ini. Jika keadaan itu berlaku, ia pastinya memberi kesan kepada pendapatan negara. Apapun, kita yakin Majlis Konsultasi Gaji Negara akan membincangkan dengan teliti cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), CUEPACS serta pihak lain bagi merumuskan satu formula gaji yang dipersetujui semua pihak. Kita juga mengharapkan majlis berkenaan dapat menyelaraskan skim gaji di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan mengambil kira kedudukan ekonomi semasa dan tahap kemahiran pekerja. Usaha ini penting kerana pada masa ini kira-kira 34 peratus pekerja mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan dan tidak sesuai lagi dengan kos sara hidup semasa yang semakin meningkat. Walaupun asas kajian semula gaji minimum itu dilakukan menggunakan statistik Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta jabatan berkaitan, sewajarnya pandangan pihak kesatuan, majikan dan orang awam diambil kira sebaik mungkin.

BAWA ADUAN, MAKLUMAT KE MAJLIS PERHIMPUNAN PERDANA PERKHIDMATAN AWAM

Berita Harian
15/6/2011





SAYA meneliti tulisan oleh 'anti diskriminasi' dalam ruangan ini baru-baru ini bertajuk 'kenaikan pangkat PTD dengan Pegawai Teknikal tidak seimbang'. Saya mendapati ada benarnya dakwaan itu kerana saya pernah berkhidmat di pelbagai kementerian sebelum ini.

Saya ingin mencadangkan kepada ‘anti diskriminasi’ supaya menyediakan maklumat yang komprehensif mengenai perkara ini untuk dibawa pada Majlis Perhimpunan Perdana Perkhidmatan Awam bersama Perdana Menteri pada Mac tahun hadapan. Pada masa sama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disaran meneliti perkara ini supaya tidak wujud jurang antara pegawai dalam skim M (Pegawai Tadbir Diplomatik) dengan Pegawai bukan dalam skim M. Adalah menjadi hambatan juga bagi pegawai bukan dalam Skim M sukar untuk mendapat kenaikan pangkat bahkan ada yang dinaikkan pangkat mengambil masa bertahun-tahun untuk disahkan kerana melalui pelbagai proses oleh JPA. Apabila lewat disahkan maka lewatlah naik pangkat.

Dalam era transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan, dicadangkan pihak JPA dapat menurunkan kuasa kepada kementerian dan jabatan serta agensi untuk membuat pengesahan dalam jawatan selepas seseorang pegawai diberikan urusan pemangkuan dari gred 44 hingga ke gred 54.

Manakala, hanya Gred Utama dicadang dibuat oleh pihak JPA dengan cadangan demikian urusan kenaikan pangkat dan pengesahan dapat dibuat dengan cepat namun dari segi kualiti dan kecekapan pegawai yang berkaitan tiada kompromi mengenainya.

CEUPACS sememangnya memperjuangkan hak kakitangan kerajaan gred 1 hingga 40 saja kerana golongan ini yang menjadi tumpuan mereka. Cadangan CUEPACS untuk meletakkan kumpulan sokongan bermula gred 17 perlu diteliti kerana cadangan itu turut memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.
Jika dilaksanakan akan menjadi masalah pengagihan tugas apabila pembantu am pejabat, pemandu kenderaan bermotor, pembantu tadbir berada di hieraki yang sama.

YOSRI ABU MAHSIN,
Kuala Lumpur.

15 Jun 2011

INISIATIF BAHARU ETP BUKTI NEGARA DI LANDASAN TEPAT

Utusan Malaysia
15/6/2011



KUALA LUMPUR 14 Jun - Pengumuman sembilan inisiatif baharu di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Perdana Menteri membuktikan Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, pengumuman tersebut menjadi perangsang kepada orang ramai khususnya penjawat awam supaya menjalankan tugas yang diberikan dengan lebih baik.

Katanya, sebagai tulang belakang kepada kerajaan, penjawat awam perlu menyokong segala program transformasi yang telah direncanakan untuk negara kerana kejayaannya terletak kepada komitmen mereka.

"Pengumuman itu adalah berita gembira kepada rakyat negara ini terutamanya penjawat awam kerana ia membuktikan usaha mereka menyokong pelan kerajaan membuahkan hasil.

"Kita sebagai penjawat awam perlu menyokong segala pelan yang dirangka kerana akhirnya akan membawa kebaikan kepada kita juga.

''Saya sedar kita semua mahukan gaji serta insentif yang lebih baik dan perlu tahu bahawa dengan membantu kerajaan melaksanakan pelan ini sahajalah hasrat tersebut dapat dipenuhi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman sembilan lagi inisiatif baharu di bawah ETP membabitkan pelaburan sebanyak RM2.27 bilion oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Inisiatif baharu yang diumumkan di bawah ETP itu meliputi bidang pendidikan, perubatan, pertanian, komunikasi dan prasarana, borong dan runcit serta program Pencapaian Kemampanan Kecekapan Tenaga (SAVE).

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu pula berharap pengumuman tersebut akan memberi kebaikan kepada semua pihak terutamanya golongan pengguna.

"Pengumuman ini baik kepada semua pihak dan yang paling penting ia memberi kebaikan kepada pengguna seperti yang digariskan dalam sektor borong dan runcit.

"Selain itu, saya yakin suntikan dana asing untuk menjayakan program di dalam enam bidang tersebut juga akan menjana ekonomi penduduk di negara ini dan sekali gus memacu negara ke arah berpendapatan tinggi," jelasnya.

DASAR GAJI MINIMUM DILAKSANA

Utusan Malaysia
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my
15/6/2011






Najib Tun Razak menyampaikan cenderamata penghargaan kepada G. Rajasekaran sebagai menghargai jasa beliau sepanjang berkhidmat dengan MTUC selepas merasmikan portal aduan pekerja yang digerakkan oleh Pemuda UMNO pada Majlis Makan Malam sempena Hari Pekerja 2011 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor, semalam.


SUBANG JAYA 14 Jun - Pelaksanaan gaji minimum untuk golongan pekerja berpendapatan rendah di negara ini dijangka dapat dibuat sebelum akhir tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Untuk itu, menurut Perdana Menteri, Rang Undang-Undang Majlis Konsultasi Gaji Negara akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

"Jika diluluskan, kita akan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara dan diharap gaji minimum dapat dilaksanakan sebelum akhir 2011.

"Umpamanya soal umur persaraan, elaun sara hidup (COLA) dan pekerja asing, ini semua persoalan yang wajar diperhalusi secara mendalam agar keputusan nanti mendatangkan kebaikan kepada semua pihak," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sempena Hari Pekerja 2011 di sini malam ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Presiden MTUC, Mohd. Khalid Atan dan Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin..

Najib menambah, pihak pekerja, majikan dan kerajaan di negara ini perlu bekerja sebagai satu pasukan dan mengelakkan perbalahan terbuka sesama sendiri seperti yang kerap berlaku dalam era 60-an dan 70-an dahulu.

Katanya, ini bagi memastikan setiap permasalahan dapat diselesaikan dengan bijak seterusnya memastikan Malaysia berjaya mencapai wawasan menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020.

"Ini untuk melihat ketiga-tiga pihak ini sebagai satu pasukan dalam erti kata dapat bergabung, jalin dalam satu perkongsian dan apabila saya sebut perkongsian, tidak bererti kita tidak boleh mempunyai perbezaan pendapat," jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Khalid dalam ucapannya berkata, kehadiran Najib pada majlis itu adalah penghargaan terbesar kepada MTUC kerana julung-julung kalinya ia dihadiri oleh seorang Perdana Menteri sejak MTUC ditubuhkan.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Portal Aduan Pekerja yang digerakkan oleh Pemuda UMNO dengan kerjasama MTUC.

Perdana Menteri juga menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada bekas Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran atas sumbangannya kepada kongres tersebut selama ini.

NAJIB: DASAR GAJI MINIMUM DIHARAP DAPAT DILAKSANAKAN SEBELUM HUJUNG TAHUN INI

Bernama
15/6/2011




SUBANG JAYA, 14 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap dasar gaji minimum dapat dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.

Beliau berkata ini kerana beliau dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Manusia bahawa Rang Undang-Undang Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 akan dibawa ke Kabinet untuk diputuskan tidak lama lagi, seterusnya akan dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

"Kalau lulus rang undang-undang ini, maka kita akan wujudkan majlis tersebut, saya berharap sebelum penghujung 2011 gaji minimum akan dapat dilaksanakan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena sambutan Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di sini malam Selasa.

Turut hadir ialah Presiden MTUC Mohd Khalid Atan, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Najib berkata selain dasar gaji minimum, beberapa perkara lain seperti elaun sara hidup (Cola), persaraan dan pekerja asing yang diutarakan oleh Mohd Khalid dalam ucapannya terdahulu akan dibawa ke majlis tersebut untuk diperhalusi secara mendalam.

"Apa yang dilontarkan oleh Presiden MTUC mendapat sokongan kerajaan, harus kita perjuangkan. Apa yang difikirkan baik oleh majlis itu akan dibawa kepada pertimbangan Menteri Sumber Manusia. Semua perkara ini amat wajar dihalusi secara mendalam supaya keputusan-keputusan kita nanti akan mendatangkan kebaikan untuk semua," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil beberapa tindakan yang mencerminkan bahawa beliau amat memahami hasrat para pekerja dan menyelami permasalahan mereka seperti menaikkan gaji posmen dan pengawal keselamatan di atas paras kemiskinan.

Dalam pada itu, Najib turut menyifatkan MTUC sebagai "umbrella body" bagi kesatuan-kesatuan sekerja di negara ini kerana ia merupakan satu badan yang boleh memainkan peranan positif untuk menjaga kebajikan para pekerja.

"Kepada 12 juta para pekerja Malaysia, saya ucapkan tahniah kerana telah berjaya mentransformasikan negara dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dalam jangka masa hanya satu generasi sahaja," katanya.

Beliau berkata cabaran untuk pekerja, majikan, kerajaan dan rakyat termasuk penjawat awam dan pekerja swasta pada masa kini ialah untuk sama-sama menyumbang ke arah menjayakan transformasi negara kepada sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. "Bagi menjayakan wawasan negara dan bagi kita merealisasikan masa depan yang lebih baik dan lebih terjamin kepada para pekerja dan rakyat Malaysia pada keseluruhannya, maka kita perlu masing-masing berganding bahu sebagai satu pasukan negara Malaysia," katanya.

Najib berkata era di mana pekerja, majikan dan kerajaan selalu berada di dalam pendekatan bersifat konflik atau perbalahan secara terbuka pada tahun 60-an dan 70-an dahulu bukan lagi satu pendekatan realistik yang boleh menjamin pembangunan yang mapan dan kadar pertumbuhan yang tinggi.

"Sebaliknya pendekatan yang lebih wajar yang menjadi landasan dan ikutan kita ialah menjadikan ketiga-tiga pihak ini sebagai satu pasukan, dapat bergabung dalam satu perkongsian untuk mencari penyelesaian yang positif.

"Ini supaya kita saling beruntung, mendapat keuntungan dan rezeki yang lebih, majikan dapat menjalankan urusan mereka dengan baik dan kerajaan juga beruntung kerana negara bertambah lebih maju dan harmoni," katanya.

Beliau berkata hubungan itu merupakan yang paling ideal untuk merapatkan jurang perbezaan pendapat dan memperjuangkan hasrat dan tuntutan dengan kaedah yang sebaik-baiknya. "Jika apa yang dituntut kita itu adalah amat adil dan munasabah. Jika apa yang diminta oleh pekerja memang patut dipertimbangkan maka bagi saya tidak ada sebab kerajaan mahupun majikan harus ketepikan tuntutan itu," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan portal aduan pekerja yang dibangunkan dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Umno.

-- BERNAMA

14 Jun 2011

KENAIKAN PANGKAT PTD DENGAN PEGAWAI TEKNIKAL TIDAK SEIMBANG

Berita Harian
14/6/2011



SAYA ingin menarik perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai ketidakadilan kenaikan pangkat di antara Skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dengan Pegawai Teknikal.

Pegawai dalam skim M (Pegawai Tadbir dan Diplomatik) didapati boleh melompat pangkat dengan begitu senang. Skim M ini terletak di bawah perkhidmatan sama dan berada terus di bawah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA). Lazimnya pegawai PTD yang berkhidmat dalam tempoh lima hingga enam tahun sudah berada di Gred 48, sedangkan pegawai teknikal yang berkhidmat lebih 10 tahun masih di Gred 41. Kenapa boleh jadi begitu? Adakah pegawai teknikal tidak menyumbang ke arah pembangunan negara?
Jangan jadikan alasan pegawai teknikal terletak di bawah skim bukan guna-sama, maka kenaikan pangkat mereka terhad.

Alasan sedemikian sepatutnya tidak boleh dikeluarkan oleh pembuat dasar kerajaan. Apakah sistem PROSPEK yang dilaksanakan mulai 1 Julai depan akan berlaku adil kepada semua penjawat awam?

Bagi pegawai bukan guna-sama yang lulus semua ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) pada sistem sebelum ini, adakah mereka akan dinaikkan gred? Persoalan ini perlu dijawab oleh JPA.
Saya juga mengesyorkan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan melihat isu ini dengan teliti. Apabila memperjuangkan hak kakitangan kerajaan, jangan tertumpu pada Gred 1 hingga 40 saja dan perlu meluaskan skop pemikiran anda.

ANTI DISKRIMINASI,
Kuala Lumpur.

PENJAWAT AWAM RUGI RM3,000.00 JADI MANGSA PENIPUAN INTERNET

Utusan Malaysia
10/6/2011



BATU PAHAT 9 Jun - Seorang penjawat awam kerugian RM3,000 setelah terpedaya dengan tawaran iklan palsu di Internet berhubung jualan murah kereta mewah jenis Mercedes-Benz E220 Masterpiece yang kononnya baru berusia lima tahun yang ditawarkan pada harga serendah RM25,000.

Duit mangsa tersebut lesap selepas dimasukkan ke dalam akaun bank seorang pengiklan palsu sebagai wang pendahuluan tanpa mengetahui kereta yang ditawarkan di laman http://www.mudah.my/ itu sebenarnya tidak wujud.

Difahamkan, harga pasaran kereta itu adalah antara RM90,000 hingga RM100,000 tetapi pengiklan terbabit telah memperdaya mangsa dengan memberi alasan memerlukan wang segera kerana mahu ke luar negara.

Mangsa, seorang lelaki berusia 42 tahun memasukkan wang pendahuluan yang diminta hanya setelah berurusan menerusi telefon tanpa terlebih dahulu bertemu dengan suspek mahupun mengambil butiran terperinci pengenalan diri dan dokumen penjualan yang diperlukan.

Malah, mangsa yang bekerja di daerah ini dikatakan melihat iklan di Internet itu pada pagi 26 Januari lalu dan tanpa berfikir panjang memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun bank pada pukul 3.30 petang setelah menghubungi suspek berhubung urusan pembelian kereta itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa diberitahu supaya datang ke Plaza Tol Sungai Buloh, Selangor pada keesokan hari untuk mengambil kereta itu tetapi suspek dan kenderaan ditawarkan tidak muncul malah 'penjual' juga tidak menjawab panggilan telefon.

Menurut Din, setelah hampir dua jam menunggu dan merasakan dirinya ditipu, mangsa kemudiannya terus membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelong di Petaling Jaya pada hari sama.

"Kes ini memberi pengajaran supaya jangan terlalu mudah percaya dengan sebarang tawaran apa jua barang pun termasuk kereta jika harga ditawarkan terlalu rendah atau tidak munasabah.

"Gerakan memburu suspek sedang dijalankan dan kita akan bekerjasama dengan pasukan polis di daerah dan negeri lain untuk memastikan sama ada suspek terlibat dalam kes sama di tempat lain," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Din berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan jika disabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan boleh disebat serta dikenakan denda.

Menurut beliau, seorang lelaki, M. Rajandren, 56, (gambar) dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Rajandren diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

12 Jun 2011

LABELKAN BARANGAN BERSUBSIDI


AHMAD Maslan (tiga dari kiri) hadir pada perasmian Seminar Tranformasi Penjawat Awam di Auditorium Sirim, Shah Alam, semalam.

Utusan Malaysia
10/6/2011



SHAH ALAM 9 Jun - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mencadangkan supaya setiap produk yang disubsidikan oleh kerajaan diletakkan label seperti tulisan bercetak atau pelekat.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan rakyat sedar bahawa beberapa barang keperluan yang dibeli menjadi lebih murah kerana diberikan subsidi oleh kerajaan yang sentiasa prihatin dengan mereka.

''Saya akan cadangkan perkara ini kepada kementerian terbabit dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat lebih menghargai subsidi yang telah diberikan kerajaan itu.

''Rakyat selama ini bukannya tidak mahu berterima kasih kepada kerajaan, tetapi mungkin mereka tidak tahu kerajaan telah menyediakan subsidi yang begitu banyak untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Transformasi Penjawat Awam di Ibu Pejabat Sirim di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan; Pengerusi Ahli Majlis Pengarah Institut Perkembangan Minda (Minda), Datuk Salamon Selamat dan Presiden Gabungan Kesatuan Sekerja Dalam Perkidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Ahmad berkata, kerajaan akan meneruskan amalan pemberian subsidi selagi ia dapat memberi manfaat kepada rakyat.

''Pemberian subsidi kepada rakyat adalah kebijaksanaan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana negara lain tidak ada pemberian subsidi seperti yang kita berikan.

''Ini sekali gus menjadikan barang-barang di negara ini jauh lebih murah berbanding negara-negara jiran," katanya.

10 Jun 2011

KOS DITANGGUNG KERAJAAN MUNGKIN DINYATAKAN PADA BARANG BERSUBSIDI

Bernama
9/6/2011




SHAH ALAM, 9 Jun (Bernama) -- Barangan bersubsidi mungkin mempunyai pelekat dan cetakan yang menyatakan nilai subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata langkah itu perlu kerana majoriti rakyat masih tidak tahu jenis dan nilai barangan subsidi yang ditanggung kerajaan.

"Rakyat bukan tidak mahu berterima kasih tetapi mereka tidak tahu nilai subsidi yang diberikan oleh kerajaan, jadi kita perlu mengambil langkah untuk memaklumkan kepada mereka," katanya sambil menjelaskan bahawa kerajaan Selangor memaklumkan subsidi air yang diberikan melalui bil bulanan pengguna.

Antara barangan yang boleh diletakkan pelekat dan cetakan serta nilai subsidi itu ialah tepung (45 sen sekilogram), gas (RM21.42 setong), petrol RON95 (90 sen seliter), beras ST15 (RM4 sekampit), gula (20 sen sekilogram), minyak masak (RM1 sekilogram) dan diesel (90 sen seliter), katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Transformasi Penjawat Awam 1Malaysia di sini hari ini.

Ahmad berkata beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kementerian berkenaan.

Katanya jumlah susbidi yang ditanggung kerajaan sangat besar sehingga mencecah RM10.3 bilion pada tahun lepas dan dijangka bertambah sehingga RM20.6 bilion pada tahun ini.

"Walaupun subsidi bukan hak mutlak rakyat tetapi ia tetap terus disalurkan bagi memastikan beban diringankan dan ia merupakan kebijaksanaan kerajaan Barisan Nasional (BN). Bukan semua negara yang berikan subsidi," katanya.

-- BERNAMA

08 Jun 2011

PROSPEK DIHARAP MAMPU BERI LEBIH PELUANG KENAIKAN PANGKAT PENJAWAT AWAM - CUEPACS

Bernama
7/6/2011



KUALA TERENGGANU, 7 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) mampu memberi kemudahan dan peluang kenaikan pangkat lebih terbuka kepada penjawat awam.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata dengan pelaksanaan sistem baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini, ia dapat bertahan lebih lama berbanding PTK yang hanya dilihat berjaya semasa tiga tahun pertama pelaksanannya.

"Sebelum ini, PTK telah dilaksanakan selama lapan tahun dan ia hanya berjalan lancar pada tiga tahun pertama. Kemudian sistemnya makin goyah dan tidak ke mana, jadi kita mengharapkan Prospek sebagai satu transformasi untuk pemantapan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau menghadiri majlis perasmian seminar Pengurusan Kewangan Kumpulan Pelaksana (Sokongan I & II) Badan Berkanun Malaysia bertajuk "Cabaran Pengurusan Kewangan Dalam Era Globalisasi".

Jelasnya, apa yang terdapat dalam PTK sebelum ini tidak akan hilang tetapi melalui transformasi penambahbaikan dengan memberi penekanan terhadap beberapa perkara termasuk kompetensi dan ganjaran.

Omar berkata dengan itu penjawat awam boleh dinaikkan pangkat tanpa perlu menunggu kekosongan jawatan malah mereka juga akan dinilai jika hadir mana-mana seminar yang berkaitan dengan jawatan mereka sendiri.

Ganjaran kenaikan pangkat juga akan diberikan berasaskan aspek sahsiah, sukan, disiplin dan had pencapaian mereka berasaskan penilaian yang dilakukan oleh panel penilai yang akan dilantik terdiri daripada wakil ketua jabatan, pegawai kerajaan supaya ia lebih telus, katanya.

Beliau berkata dari semasa ke semasa, penambahbaikan akan dilakukan supaya sistem Prospeks lebih efisien serta kompetensi dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Katanya lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

-- BERNAMA

07 Jun 2011

MB PERLIS MAHU PENJAWAT AWAM NEGERI ITU LUNASKAN TUGAS HARIAN SEBELUM PULANG

Bernama
6/6/2011




KANGAR, 6 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu hari ini meminta penjawat awam di negeri itu berusaha melunaskan tugas harian mereka sebelum pulang ke rumah masing-masing pada sebelah petang.

Katanya menerusi cara itu, mereka dapat mengelakkan tunggakan tugas yang selama ini menghalang kelicinan sistem penyampaian kerajaan.

"Perlis telah menjana wawasan Perlis Maju 2015 dan untuk mencapai wawasan itu, penjawat awam perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas mereka," katanya berucap pada perhimpunan bulanan penjawat awam Perlis, di sini.

Beliau juga meminta warga perkhidmatan awam di negeri itu menguruskan kewangan peribadi mereka secara bijak, agar tidak terbeban dengan masalah hutang sehingga menjejaskan prestasi kerja.

Ini kerana katanya, ada penjawat awam yang terpaksa membelanjakan sehingga 40 peratus daripada gaji mereka untuk membayar hutang.

-- BERNAMA

06 Jun 2011

PEMAKLUMAN PENGURNIAAN DARJAH KKBESARAN

JPA
5/6/2011




Y.Bhg. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Telah Menerima Kurniaan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Iaitu Darjah: Panglima Setia Mahkota, P.S.M. Daripada SPB Yang Dipertuan Agong Yang Membawa Gelaran TAN SRI Sempena Istiadat Menghadap Dan Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Persekutuan Pada Sabtu, 4 Jun 2011 Di Istana Negara Kuala Lumpur.

TIDAK PERNAH AMBIL CUTI SAKIT SELAMA 25 TAHUN

Utusan Malaysia
6/6/2011




KOTA BHARU 6 Jun - Pekerja yang berdedikasi mampu meningkatkan prestasi sesebuah syarikat atau agensi dan sudah tentu dianggap sebagai aset yang bernilai kepada majikan serta layak diberi penghargaan.

Itulah yang dilakukan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) apabila memberi penghargaan kepada seorang kakitangannya, Mohd. Fakri Mohamad Noor, 48, yang tidak pernah mengambil cuti sakit selama tempoh 25 tahun berkhidmat.

Penghargaan tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman kepada Ketua Komunikasi Korporat LKTN itu pada majlis perhimpunan kakitangan lembaga itu di sini hari ini.

Mohd. Fakri yang pernah menjadi Pengarah LKTN Terengganu bersama 11 lagi kakitangan LKTN yang sudah berkhidmat selama 25 tahun turut menerima sijil penghargaan atas kesetiaan mereka kepada agensi itu.

Ketika ditemui katanya, sejak memulakan karier sebagai Juruteknik Pembangunan Kawasan dengan LKTN pada 1986, beliau tidak pernah mengambil cuti sakit kerana cuti rehat yang diberikan kepada setiap penjawat awam sudah mencukupi.

"Bagi saya, cuti sakit hanya betul-betul untuk orang yang sakit dan tidak mampu bekerja. Sebab itu setiap kali doktor tawarkan saya tidak menerimanya dan hanya memohon cuti rehat.

"Cuti rehat yang ada sudah mencukupi, malah kalau dikira saya masih ada baki cuti 80 hari yang masih belum digunakan," katanya.

Mohd. Fakri yang berasal dari Pasir Mas dan kini mempunyai lima orang anak berkata, beliau juga bernasib baik kerana selama tempoh perkhidmatannya tidak pernah mengalami masalah kesihatan yang teruk.

Katanya, selepas menerima anugerah itu, beliau berazam untuk mengekalkan prestasi itu sehingga pencen pada umur 58 tahun nanti.

"Biarlah ia menjadi sejarah saya yang tersendiri. Saya ada tempoh 10 tahun lagi sebelum pencen dan kalau boleh saya akan cuba tidak memohon cuti sakit.

"Mungkin saya boleh menjadi salah seorang penjawat awam di negara ini yang tidak pernah memohon cuti sakit sejak mula bekerja sehingga pencen," jelas beliau.

03 Jun 2011

KAMI DILAYAN SEPERTI SETINGGAN

Berita Hariana
Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2011/06/03




KAIN pemidang digantung kerana kakitangan awam yang tinggal di Kuarters Gunung Soga berasa diri mereka terpinggir dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
KAIN pemidang digantung kerana kakitangan awam yang tinggal di Kuarters Gunung Soga berasa diri mereka terpinggir dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

BATU PAHAT: Kira-kira 30 keluarga kakitangan awam yang mendiami kuarters kerajaan dekat Jalan Gunung Soga di sini, bimbang mengenai kebajikan dan masa depan mereka selepas menerima notis pengosongan kediaman masing-masing bagi membolehkan projek perumahan swasta dibangunkan di situ.

Notis yang diserahkan pemaju pada April lalu itu, meminta baki kakitangan awam yang masih menetap di kuarters terbabit mengosongkan kediaman mereka sebelum 8 Julai ini bagi memberi laluan kerja meroboh 140 unit kuarters bersejarah itu bagi membolehkan pembinaan projek perumahan komersial sederhana, separuh mewah dan mewah milik swasta.
Kebimbangan itu timbul berikutan tiada sebarang kepastian sama ada mereka akan diberi ganti kuarters kediaman lain, apatah lagi pembinaan kuarters baru di kawasan Sri Gading adalah milik Jabatan Kerja Raya (JKR).
Malah mereka curiga apabila menyaksikan nasib 110 rakan kakitangan awam lain yang diarahkan berpindah dan mengosongkan kuarters diduduki di situ sejak 2006, kini tidak terbela dan terumbang-ambing apabila pemaju mungkir janji membayar sagu hati berpindah RM600 serta elaun bulanan RM250 sebagai wang sewa rumah di luar.

Lebih mengecewakan kakitangan awam berkenaan pembangunan projek perumahan komersial di situ bukan saja bakal melenyapkan kuarters bersejarah yang dibina British sejak puluhan tahun lalu, malah bakal menghakis status rizab Melayu pada tapak kuarters terbabit di kawasan bandar.

Tinjauan Berita Harian ke kawasan berkenaan mendapati beberapa premis kuarters yang diduduki kakitangan awam di situ masih elok terjaga manakala kuarters yang tidak diduduki sudah semakin usang.

Seorang kakitangan awam serta penduduk di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Huraira berkata, beliau sangat kecewa dengan nasib yang terpaksa ditanggung kakitangan awam daerah ini yang terpaksa menerima nasib seperti melukut di tepi gantang.
“Kebajikan kami kabur kerana sudahlah tidak mendapat sebarang kepastian termasuk tawaran menduduki kuarters baru di Sri Gading itu malahan cubaan segelintir kakitangan awam yang mahu membeli rumah yang mahu dibina atas tapak di sini mendapat layanan dingin pemaju yang mengatakan pembeli sudah ada.

“Apatah lagi kami difahamkan harga rumah yang akan dibina bermula dari RM280,000 ke atas, sudah hampir pasti ia di luar kemampuan kami sebaliknya kami diarahkan pula menyewa rumah di luar, ini tentu akan membebankan kami yang rata-rata kakitangan awam biasa," katanya.

Seorang lagi kakitangan awam serta penduduk di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Raihana Tambien, berkata beliau sangat pilu mengenangkan nasib keluarganya yang terpaksa berpindah di kala umat Islam bersedia untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

“Jika penduduk kawasan setinggan pun menerima layanan baik kerajaan negeri sehingga mendapat pampasan puluhan ribu ringgit, adakah kami penjawat awam yang membayar sewa kuarters dan tinggal di penempatan teratur begini terpaksa menghadapi nasib seperti ini.

“Kerajaan British dulu pun amat prihatin menjaga kebajikan kakitangan awam dengan membina kuarters ini sebagai penempatan sebaliknya kini kami seakan-akan dihalau dan tidak dihargai bagi memberi laluan projek perumahan komersial yang bermotif keuntungan yang sudah tentu akan melenyapkan terus satu-satunya rizab Melayu di sini ini," katanya.