SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

23 Disember 2008

BAYAR TUNAI GANTI BAKI CUTI

Berita Harian
22/12/2008



KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, kira-kira 50,000 kakitangan kerajaan yang bekerja secara kontrak layak menerima bayaran tunai sebagai ganti baki cuti apabila tempoh perjanjian kontrak masing-masing tamat. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata berdasarkan kaedah yang diamal pakai sebelum ini, kakitangan kontrak dalam sektor awam akan kehilangan cuti terkumpul dan dikira lupus apabila kontrak masing-masing tamat. “Syarat baru ini akan menjadi sebahagian daripada semua perjanjian perkhidmatan kontrak yang bakal ditawarkan mulai awal tahun depan.
“Bagi memenuhi kriteria kelayakan ini, kakitangan awam lantikan kontrak itu harus sudah berkhidmat tidak kurang daripada setahun,” katanya ketika dihubungi semalam. Bagaimanapun, tegas beliau, mereka yang dipecat oleh kerajaan kerana tidak mematuhi arahan pihak atasan atau melanggar peruntukan Akta Rahsia Rasmi tidak layak mendapat keistimewaan terbabit. Selain itu, mereka yang melakukan kesalahan jenayah, mengingkari kontrak perkhidmatan, dipecat oleh jawatankuasa disiplin atau meletak jawatan secara sukarela, juga tidak layak mendapat bayaran terbabit.
Kata Ismail, mereka yang ditamatkan perkhidmatan kerana masalah kesihatan masih dianggap layak jika sudah berkhidmat sekurang-kurangnya setahun daripada tempoh kontrak. Berdasarkan peraturan baru itu, kakitangan awam kini boleh mengumpulkan sehingga lapan hari bagi setiap tempoh kontrak atau sehingga 75 hari bagi tempoh pelbagai kontrak di bawah agensi kerajaan yang berlainan. Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyuarakan rasa tidak puas hati kerana kakitangan awam yang dilantik secara kontrak tidak ditawarkan keistimewaan tertentu seperti dinikmati kakitangan awam berstatus tetap dan berpencen. Presidennya, Omar Osman, ketika dihubungi semalam, berkata tindakan itu tidak adil kerana menafikan kakitangan kontrak terbabit keistimewaan yang dinikmati kakitangan awam lain seperti pinjaman perumahan dan pinjaman membeli kereta.
“Cuepacs juga berpendapat sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan penyerapan kira-kira 50,000 kakitangan awam yang masih berstatus pekerja kontrak sebagai kakitangan tetap. “Ada antara mereka ini sudah berkhidmat antara 10 tahun hingga 15 tahun dan amat berpengalaman serta menjadi aset kepada jabatan masing-masing,” katanya sambil mengesyorkan pelantikan baru selepas 2010 adalah jawatan tetap dan berpencen serta layak menikmati segala keistimewaan yang diterima kakitangan awam lain. Bagaimanapun, Ismail menjelaskan bahawa dasar pelantikan semasa kerajaan tidak menjanjikan seseorang pegawai lantikan kontrak dilantik secara automatik ke dalam perkhidmatan awam, seperti mana dijelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan 2 Tahun 2008.

Tiada ulasan: