SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

20 Disember 2008

RAKYAT LEGA CADANGAN AMBIL ALIH IJN DITANGGUH

Berita Harian
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
20/12/2008


BANGUNAN Institut Jantung Negara.
Pusat rawatan perlu pertahan objektif penubuhan PENGUMUMAN Sime Darby Bhd untuk mengambil alih 51 peratus ekuiti dalam IJN Holdings Sdn Bhd Rabu lalu, syarikat pengendali Institut Jantung Negara (IJN) yang terletak di Jalan Tun Razak bersebelahan Hospital Kuala Lumpur (HKL), mengundang persoalan dan keresahan terutama mengenai kebajikan rakyat berpendapatan rendah. Sime Darby menyatakan pengambilalihan itu bertujuan mengukuhkan bahagian perkhidmatan kesihatan konglomerat milik kerajaan itu.
Berikutan itu, pengumuman penangguhan pengambilalihan kepentingan IJN oleh syarikat perladangan itu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, melegakan banyak pihak. Mengikut pemahaman umum, pengambilalihan berkenaan dijangka menyebabkan kenaikan kos rawatan dan perkhidmatan yang meningkat seperti ditawarkan hospital swasta di negara ini. Walaupun ada berpendapat apa yang ditawarkan hospital swasta lebih baik daripada kerajaan, namun, bagi yang kurang berkemampuan, wang menjadi ukuran.
Maka dengan itu, golongan berpendapatan rendah ini mengharapkan IJN bagi mendapatkan rawatan terbaik, termasuk pembedahan subsidi yang diberikan kerajaan. Melihat kepada track record IJN, ia bukan hanya cemerlang memberikan rawatan berkaitan penyakit kardiovaskular di negara ini malah mencatat kejayaan dengan membuat beberapa rekod baru di peringkat antarabangsa. Ditubuhkan pada 1992 dan diurus IJN Holdings, iaitu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, ia dibangunkan bagi memenuhi keperluan pesakit jantung dengan menyediakan perkhidmatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik untuk pesakit dewasa dan kanak-kanak. IJN juga menjadi pusat rujukan kebangsaan bagi penyakit kardiovaskular. Sejak ditubuhkan, institut itu menerima lebih sejuta pesakit dengan 131,000 pesakit dirawat di wad dan dalam tempoh 16 tahun, 35,000 pembedahan dijalankan dan daripada jumlah itu, 24,000 membabitkan kes pembedahan jantung terbuka.
IJN juga mencatat kejayaan pada peringkat antarabangsa dalam melakukan pembedahan endoskopi yang pertama di rantau Asia dan Australasia bagi merawat fibrilasi atrium. Kejayaan IJN disusuli apabila ia menjadi satu-satunya pusat rawatan jantung di Asia Pasifik yang terpilih untuk pelancaran secara langsung prosedur kardiologi intervensi pada Persidangan Euro Pcr05 yang berprestij di Paris, Perancis dan menjadi institut pertama di dunia melakukan pembedahan jantung insisi poket yang menggunakan pembaikan atau penggantian injap mitra port jantung. Melihatkan kejayaan IJN, sudah tentu ramai yang mengintai peluang untuk memilikinya sebagaimana dihasratkan Sime Darby yang kini memiliki Pusat Perubatan Pakar Subang Jaya (SJMC). Kebimbangan dan kekhuatiran rakyat berkenaan pengambilalihan berakhir kelmarin dan ramai yang memuji kerajaan kerana prihatin dengan nasib rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan. Ada suara nakal menyatakan keputusan kerajaan itu ada kaitan dengan pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Januari depan bagi meraih sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN). Namun, ia disangkal Najib kerana pertimbangan kerajaan mengenai penangguhan pengambilalihan itu mengambil kira kesulitan dan rintihan rakyat. Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan penangguhan keputusan berhubung cadangan pengambilalihan IJN Holdings itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan, sebaliknya untuk kepentingan rakyat. "Ia ditangguhkan sehingga kajian mendalam itu dijalankan, mungkin memakan masa beberapa bulan tetapi faktor masa itu bukanlah sesuatu yang penting. "Apa yang lebih penting ialah keputusan yang akan dibuat nanti akan benar-benar menguntungkan rakyat dan dapat membangunkan IJN sebagai pusat jantung yang bertaraf dunia," katanya Mengimbau persetujuan kerajaan terhadap pengambilalihan Sime Darby itu, ia dengan syarat tanggungjawab sosial IJN tidak dipinggirkan atau dikurangkan sama sekali. Malah, kerajaan memberi jaminan akan terus memberi sumbangan untuk pembedahan di IJN, walaupun selepas pengambilalihan oleh konglomerat itu. Selain itu, pada mata kerajaan tiada salahnya mengenai penswastaan IJN kerana sebarang kemungkinan akan berlaku 10 tahun akan datang terutama jika jumlah pesakit jantung semakin meningkat dan institusi itu tidak lagi boleh berperanan sebagai biro pengaduan pesakit miskin. Suara menentang pengambilalihan itu diluahkan pelbagai pihak persatuan perubatan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berpendapat status pusat perubatan itu dikekalkan bagi memastikan objektif asal penubuhannya bagi mewujudkan pusat perubatan kerajaan dengan kemudahan serta pakar kelas pertama bertujuan merawat semua golongan rakyat, tidak tersasar. Mereka yang nyata gembira dengan keputusan terbaru kerajaan itu mahu kerajaan bukan hanya menangguhkan tetapi membatalkan terus hasrat menswastakan IJN. Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan seeloknya membatalkan terus hasrat menswastakan IJN demi kepentingan rakyat. “Usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan rawatan IJN bukan terletak kepada penswastaan semata-mata. Ada cara lain lebih baik serta memberi manfaat kepada penerima rawatan di institut berkenaan terutama golongan miskin,” katanya. Perkara itu diakui Presiden Persatuan Perubatan Doktor Utama Malaysia (Pcdom), Dr Molly Cheah yang percaya tindakan menswastakan IJN hanya mengundang keresahan di kalangan rakyat untuk mendapatkan rawatan terbaik pada kos yang tidak membebankan. “Persoalannya mengapa Sime Darby Berhad tiba-tiba berminat kepada sektor kesihatan sedangkan kepakaran syarikat berkenaan bukannya dalam sektor ini. Ini menimbulkan kekeliruan sama ada tindakan Sime Darby ini sebenarnya didorong daripada industri pelancongan kesihatan yang semakin berkembang pesat khususnya di rantau ini,” katanya yang lega apabila penswastaan itu ditangguhkan. Presiden Cuepacs, Omar Osman menyatakan kerajaan prihatin dengan nasib rakyat kerana menangguhkan penswastaan berkenaan. “Ini membuktikan kerajaan meneliti semula objektif penubuhan institut ini, memberi rawatan berkualiti tinggi dengan kos tidak membebankan kepada golongan rakyat tidak berkemampuan,” katanya. Berikutan keputusan kerajaan menangguhkan keputusan itu, Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Mohd Fauzi, Jani berkata kerajaan mengambil keputusan bijak kerana IJN adalah institusi tunggal yang menawarkan perkhidmatan kesihatan berkaitan penyakit kardiovaskular dan seumpamanya. Justeru, katanya kerajaan mengambil kira wujud monopoli dan apabila diswastakan ia akan menyebabkan syarikat yang mahu mengambilalih IJN akan memikirkan keuntungan berbanding tanggungjawab sosial. “Itu sebab kerajaan menyatakan menangguhkan cadangan pengambilalihan bukannya membatalkan terus hasrat menswastakan institusi berkenaan,” katanya. Beliau berkata, keputusan awal untuk menswastakan IJN adalah kerana memikirkan bebanan yang ditanggung akibat permintaan terhadap IJN yang semakin bertambah setiap tahun. Katanya, kerajaan percaya penswastaan itu penting apabila mereka tidak lagi mampu menanggung kos perkhidmatan kesihatan yang diberikan sebagaimana berlaku dalam penswastaan hospital. “Kira-kira 15 tahun lalu, kerajaan mula membuka polisi membenarkan hospital diswastakan dan penubuhan hospital swasta bagi mengurangkan kos kerajaan. Namun, bukan semua hospital di swastakan kerana masih mengambil kira golongan rakyat berpendapatan rendah. “Maka, kini di Malaysia ada dua perkhidmatan kesihatan iaitu satu dimiliki kerajaan dan satu lagi swasta. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan besar dan berkemampuan, sudah tentu mahukan perkhidmatan eksklusif dan cepat yang menuntut mereka memilih hospital swasta. “Bagi golongan berpendapatan rendah, mereka masih terus menikmati perkhidmatan kesihatan percuma atau bayaran serendah RM1, menerusi klinik kesihatan komuniti dan hospital kerajaan,” katanya. Pendapat yang sama turut dinyatakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan penswastaan itu bukan satu idea yang baik memandangkan institut itu “adalah badan amal yang unik" berdasarkan kepada prestasinya yang cemerlang setakat ini. “Setakat ini tiada aduan mengenai IJN. Mereka sudah menunjukkan prestasi cemerlang. Berkhidmat kepada yang kaya dan miskin. Semua orang mendapat manfaat daripada IJN termasuk saya sendiri,” katanya. Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Khoo Kah Lin mengalu-alukan keputusan terbaru kerajaan menangguhkan pengambilalihan IJN dan mahu kerajaan mendapatkan maklum balas serta pandangan orang ramai dan NGO sebelum membuat sebarang keputusan. “Kami bimbang apabila syarikat swasta ambil alih, kebajikan golongan miskin akan diketepikan dan mereka mungkin tidak mendapat rawatan perubatan pada kadar rendah. Kami prihatin kerana pada akhirnya dalam apa juga keadaan, perkara pokok adalah membuat untung kerana mereka perlu menjawab kepada pemegang saham, mereka tidak boleh mencatat kerugian. “IJN adalah mutiara bagi pesakit jantung di negara ini... ia senang didekati pesakit jantung yang miskin,” katanya. Mengenai desakan dalaman terutama kakitangan IJN yang mahukan penswastaan diteruskan, bagi membolehkan mereka mendapat gaji lebih tinggi dan pakar perubatannya akan meninggalkan hospital berkenaan jika permintaan supaya gaji mereka dinaikkan tidak dipenuhi adalah taktik sengaja direka pihak berkepentingan yang sebenarnya mahu pengambilalihan menjadi kenyataan. IJN dalam kenyataannya kelmarin menafikan dakwaan berkenaan dan tidak mahu pandangan negatif dilemparkan terhadap kakitangan. “Ia perlu diperbetulkan supaya pakar perubatan atau kakitangan IJN tidak dipandang serong masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, apatah lagi ia mampu menjatuhkan reputasi cemerlang mereka, di samping menggugat keyakinan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: