SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

13 Disember 2008

CUTI TERKUMPUL KAKITANGAN AWAM

Utusan Malaysia
Oleh HASHNAN ABDULLAH
12/12/2008

PUTRAJAYA 12 Dis. - Bermula tahun depan, kakitangan awam boleh mengumpulkan cuti Gantian Cuti Rehat (GCR) atau 'golden handshake' sehingga 150 hari, pertambahan sebanyak 30 hari berbanding 120 hari sekarang.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pekeliling mengenai perkara itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dalam perjumpaan antara CUEPACS dan Ismail hari ini.
"Kami anggap ia satu keputusan yang baik walaupun dalam masa yang sama kerajaan menetapkan mulai Januari 2009, kelayakan cuti tahunan bagi kakitangan awam baru akan dikurangkan lima hari," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu di sini hari ini.
GCR merupakan cuti tahunan yang dikumpulkan bagi digantikan dengan wang apabila seseorang kakitangan awam itu bersara.
Ketika ini, kakitangan awam boleh mengumpulkan maksimum 15 hari cuti tahunan mereka dalam setahun untuk dimasukkan dalam skim itu.
Mengenai keputusan kerajaan untuk mengurangkan cuti tahunan bagi kakitangan awam yang baru daripada 30 hari kepada 25 hari mulai tahun depan, Omar berkata, selepas perjumpaan dengan Ismail hari ini, CUEPACS menerima rasional langkah itu.
Katanya, ia bagi meningkatkan produktiviti sektor awam, sejajar dengan peranan sektor itu sebagai nadi utama pembangunan negara.
Tambahan pula, jelasnya, terdapat banyak cuti umum sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri yang dinikmati sepanjang tahun.
Omar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli gabungan bagi menjelaskan perkara itu dalam masa terdekat.
Semalam, CUEPACS menganggap tindakan kerajaan mengurangkan cuti tahunan sebanyak lima hari itu sebagai 'tidak adil' dan akan merugikan kakitangan awam baru dalam jangka masa panjang.
Seperti dipetik oleh Bernama, Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin berkata, adalah tidak adil untuk mengurangkan kelayakan cuti itu kerana untuk jangka panjang kakitangan awam baru akan kerugian.
Beliau memberi contoh, kemasukan kakitangan baru ke dalam perkhidmatan awam yang berkhidmat selama 30 tahun akan kerugian 150 hari yang bersamaan dengan lima bulan.
Sehubungan itu, katanya, CUEPACS akan memohon kerajaan membayar pampasan kepada kakitangan terbabit.
Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam semalam, pengurangan cuti lima hari itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2009.
Bagaimanapun, langkah terbaru itu tidak melibatkan polis, tentera, penguat kuasa maritim dan pegawai pelajaran.
Pada masa ini, kakitangan awam menikmati kelayakan cuti tahun sebanyak 30 hari.
Mengikut undang-undang, semua kakitangan awam yang sedang berkhidmat akan diberi opsyen untuk mengekalkan kelayakan mereka atau memilih kelayakan baru yang dikurangkan itu.

Tiada ulasan: