SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

15 Disember 2008

CUEPACS:TELITI REKOD BEKAS PENAGIH DADAH

Utusan Malaysia
Oleh NORILA DAUD
14/12/1008


KUALA LUMPUR 14 Dis . - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mewujudkan mekanisme dan syarat-syarat ketat termasuk meneliti dahulu rekod bekas penagih dadah sebelum membenarkan mereka kembali berkhidmat dengan sektor awam.
Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya bukan tidak bersimpati dengan bekas penagih dadah khusus yang mempunyai keluarga tetapi golongan itu perlu diawasi dan dipantau sepanjang masa.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan bercadang untuk mengambil bekas penagih dadah bekerja di sektor awam, syarat-syarat pengambilan perlulah ketat dan tidak memadai hanya dengan memasuki pusat pemulihan selama dua tahun.
''Kerajaan perlu melihat rekod pemulihan dan kekerapan mereka memasuki pusat pemulihan, waktu penagihan dan mengkaji sama ada penagihan itu berlaku atas kehendak sendiri atau terperangkap serta tahap penagihan mereka.
''Walaupun bekas penagih dadah telah pulih, kerap juga berlaku mereka akan berhubung semula dengan rakan- rakan lama dan potensi mereka untuk kembali menagih adalah tinggi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Syed Hamid Albar yang mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil bekas penagih dadah untuk bekerja dalam sektor awam.
Omar berkata, pemantauan dan kaunseling sekurang-kurangnya sekali sebulan termasuk ujian air kencing perlu dilakukan terhadap pekerja tersebut.
Bekas penagih dadah juga katanya, tidak boleh dibiarkan bekerja bersendirian dan di tempat sunyi kerana keadaan itu memungkinkan mereka kembali menagih.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas-Bekas Penagih Dadah (Pengasih), Mohd. Yunus Pathi meminta kerajaan memberi peluang kepada bekas penagih dadah bekerja di sektor awam memandangkan mereka yang terlibat mempunyai kemahiran tertentu.
Menurutnya, pekerjaan yang paling sesuai buat kumpulan itu ialah Pembimbing Rakan Sebaya kerana mereka mengetahui dan memahami keadaan penagih.
''Saya berharap JPA dapat mewujudkan skim gaji sebanyak RM1,200 sebulan untuk Pembimbing Rakan Sebaya yang turut bertugas sebagai pembantu kaunselor, membuka bengkel dan kaunter khidmat di pusat-pusat pemulihan. Mereka juga boleh bertindak sebagai kumpulan sokongan dan berperanan seperti pegawai di Pusat Khidmat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)'' jelasnya.
Kerja-kerja itu katanya, tidak memerlukan kelulusan akademik malah lebih kepada kemahiran untuk membimbing penagih dadah di pusat pemulihan.
Dalam pada itu katanya, kerajaan hanya perlu memberi peluang kepada mereka yang benar-benar menunjukkan perubahan positif dan bukan yang berpotensi untuk mengulangi tabiat menagih.
Pengerusi Eksekutif Persekutuan Majikan- Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan pula berpendapat, sesetengah bekas penagih dadah di sektor swasta berjaya menyumbang kepada keuntungan syarikat dan tidak kurang juga yang kembali menagih.
Sehubungan itu, beliau berharap pegawai AADK dan pusat pemulihan sentiasa membuat susulan dan memantau pergerakan golongan tersebut.
''Pusat pemulihan juga perlu menyediakan program-program kemahiran yang memenuhi kehendak pasaran supaya apabila keluar, mereka mempunyai pekerjaan,'' katanya.
Shamsuddin menambah, bekas penagih dadah perlu diberi semangat baru supaya mereka boleh mengisi pekerjaan yang selama ini diisi oleh pekerja asing.

Tiada ulasan: