SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

21 Disember 2008

KERAJAAN TELITI BEKU AMBIL PEKERJA ASING

Berita Harian
21/12/2008

Langkah bantu rakyat tempatan menganggur dapat pekerjaan jika dilaksana KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia sedang menimbang membekukan sementara pengambilan pekerja asing, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Rakyat, Datuk Ismail Abdul Rahim, semalam. Beliau memberitahu Bernama, tindakan itu adalah satu daripada pilihan yang sedang diteliti kementerian bagi membantu rakyat tempatan yang diketepikan peluang mendapat pekerjaan. Sehingga bulan lalu, 28,000 rakyat Malaysia yang menganggur berdaftar dengan Jabatan Tenaga Rakyat dan setakat ini 6,000 daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan.
Pada masa ini, terdapat 2.1 juta pekerja asing di Malaysia bersamaan 20 peratus dari jumlah tenaga kerja di negara ini. Baru-baru ini, ada laporan menyebut 2,000 hingga 3,000 penganggur berdaftar setiap bulan dengan kementerian itu. Keadaan itu dijangka meningkat berikutan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu yang dijangka memberi kesan kepada Malaysia tahun depan.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili 550,000 pekerja sektor swasta dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menjadi payung bagi 1.2 juta kakitangan awam, mengalu-alukan langkah pembekuan itu dan menyifatkannya sebagai 'langkah logik bagi melindungi pekerja tempatan'. Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam, berkata pada masa ini terdapat lebihan pekerja asing di negara ini dan kini tiba masanya bagi mengurangkan jumlah mereka untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini. Beliau mencadangkan supaya pekerja imigran yang menamatkan kontrak supaya dihantar pulang supaya tempat mereka dapat diisi rakyat tempatan. Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata walaupun kakitangan awam tidak terjejas dengan kebanjiran pekerja asing, ia adalah trend yang membimbangkan kerana ia bukan saja menafikan peluang kerja rakyat tempatan tetapi kehadiran mereka menimbulkan masalah sosial.
"Kami dapati, kejadian jenayah meningkat di dalam negara dan sebahagian daripadanya boleh dikaitkan dengan orang asing dan rakyat Malaysia yang menjadi penganggur," katanya. Ismail berkata, Singapura memberikan petanda bahawa ia mungkin memberhentikan kira-kira 500,000 pekerja dan sebahagian mungkin terdiri daripada rakyat Malaysia. Sebagai langkah proaktif, Jabatan Tenaga Rakyat membuka pendaftaran kepada pekerja ini dan mereka dinasihatkan mendaftar dengan pejabat Tenaga Rakyat. Mereka juga mempunyai pilihan untuk mendaftar secara online melalui portal JobMalaysia yang dikendali jabatan itu. Majikan yang mempunyai kerja kosong juga digalak menggunakan portal itu untuk mengiklankan peluang kerja. Ismail berkata, kementerian sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah pengangguran dan mengambil langkah proaktif bagi membantu rakyat Malaysia yang menganggur.

Tiada ulasan: