SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

04 Disember 2008

SYOR TANGGUH TALI PINGGANG BELAKANG

Berita Harian
4/11/2998



KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Cuepacs meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang berikutan penguatkuasaan dasar itu akan menyusahkan golongan berpendapatan rendah. Setiausaha Agung Fomca, Muhammad Shaani Abdullah, berkata pelaksanaan dasar itu sehingga menyebabkan muatan kereta penumpang perlu dihadkan kepada lima orang, bukan saja tidak adil malah membebankan kebanyakan rakyat negara ini. Beliau berkata, kerajaan seharusnya melakukan kajian menyeluruh termasuk membabitkan aspek sosial rakyat sebelum apa-apa dasar berkaitan kepentingan mereka dilaksanakan.
“Rakyat negara ini terpaksa bersesak dalam satu kenderaan bukanlah disebabkan mereka suka dengan keadaan itu tetapi disebabkan kemampuan terhad untuk membeli kenderaan lebih besar di samping tahap pengangkutan awam negara ini yang masih tidak memuaskan, menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan lain,” katanya. Semalam Berita Harian melaporkan kerajaan akan mengehadkan jumlah muatan kereta penumpang kepada maksimum lima orang termasuk pemandu mulai 1 Januari depan berikutan pelaksanaan dasar pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh dilaporkan berkata, penguatkuasaan dasar satu kereta untuk lima orang itu dibuat dengan alasan hanya tiga tali pinggang keledar dipasang bagi penumpang belakang sesebuah kereta. Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman ketika dihubungi berkata, langkah kerajaan mahu mengehadkan jumlah muatan kereta penumpang akan menyebabkan golongan pendapatan rendah hidup lebih tertekan. “Kerajaan seharusnya memberi taklimat kepada persatuan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyatakan kewajaran polisi berkenaan sebelum melaksanakannya supaya kami dapat menjelaskan kepada ahli alasan polisi itu perlu dilaksanakan,” katanya.

Tiada ulasan: