SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

03 September 2009

BANTUAN PERLU MENYELURUH

Borneo Post
3/9/2009





Bantuan sara hidup tidak harus terhad kepada mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan
KUCHING: Bantuan sara hidup yang disalurkan kerajaan kepada penjawat awam di bandar perlu merangkumi semua kategori bukan sahaja kepada mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Pengerusi Cuepacs Sarawak William Ghani Bina yang mengatakan demikian, berkata kakitangan awam yang berpendapatan tinggi turut menghadapi kesempitan hidup akibat kos sara hidup semakin meningkat.
Menurut beliau, mereka terpaksa membuat pinjaman wang semata-mata untuk menjamin kesejahteraan dan memenuhi keperluan ahli keluarga masing-masing.
“Ini akan mengundang kepada bebanan hutang tinggi kepada mereka.
“Setelah potongan gaji dilakukan, pendapatan bersih yang diterima mungkin tidak mencukupi untuk menyara keluarga mereka kerana simpanan yang ada tidak memadai.
“Jadi saya melihat bantuan sara hidup ini perlu menyeluruh,” katanya ketika dihubungi semalam sambil menambah keperluan bantuan itu mestilah tertakluk kepada penjawat awam yang benar-benar memerlukannya sahaja.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Presiden Cuepacs Kebangsaan Omar Osman yang dipetik sebagai berkata kira-kira 600,000 kakitangan awam berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dijangka bakal menerima bantuan kerajaan untuk menambah pendapatan.
Omar memberitahu 45 peratus daripada 1.2 penjawat awam, kebanyakannya bekerja di bandar, memang tertekan dengan peningkatan kos hidup tinggi sehingga ada yang terpaksa melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan.
Pada masa yang sama, Ghani berharap bantuan sara hidup itu perlu disegerakan sejajar dengan kenaikan harga barangan keperluan dan bahan api kenderaan baru-baru ini.
“Bagi penjawat awam kategori kumpulan sokongan kedua yang bakal menerima bantuan ini diminta berjimat cermat tanpa berbelanja sesuka hati… ikut kemampuan diri,” tegasnya.
Sementara itu, Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak Andrew Lo berkata sebagai sebuah kesatuan, mereka menghargainya jika kerajaan dapat membantu.
Tetapi apa yang penting ialah semua gaji harus setimpal dengan taraf kehidupan semasa, jelasnya.
Namun demikian, beliau mengakui sektor swasta merupakan golongan yang menanggung beban daripada kegawatan ekonomi.
“Golongan daripada sektor swasta adalah golongan yang hilang pekerjaan, dipotong gaji atau menerima gaji rendah.
“Ada yang menerima gaji kurang daripada RM600 sebulan,” katanya.
Dalam pada itu, Lo memberitrahu ia adalah sangat sukar untuk memujuk sektor swasta menaikkan gaji pekerja mereka.
“Maka itu, kerajaan harus mengkaji nasib golongan pekerja sektor swasta bermula dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” tambahnya.

Tiada ulasan: