Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebelum ini, cuti tanpa rekod yang diberikan kepada kakitangan awam hanya melibatkan urusan kematian ahli keluarga terdekat iaitu isteri atau suami, anak-anak dan ibu bapa kandung sahaja.
Beliau berkata, keputusan mem­perluaskan pelaksanaan cuti tersebut merupakan antara tiga penambah baik yang diberikan oleh kerajaan bagi manfaat pekerja awam dan swasta di negara ini sempena sambutan Hari Pekerja 2015.
Menurut Najib, beliau tidak mempunyai apa-apa yang menggemparkan untuk diumumkan sempena sambutan Hari Pekerja kali ini tetapi tiga penambah baik itu diharap dapat memberi manfaat kepada para pekerja di negara ini.
“Walaupun tidak ada pengumuman menggemparkan hari ini (sempena Hari Pekerja 2015) tetapi tidak berbaloilah jika tuan-tuan datang dari jauh, saya tidak ada memberi apa-apa (imbuhan).
“Jadi pertama, saya nak umumkan kerajaan bersetuju menambah baik pelaksanaan kemudahan cuti tanpa rekod kepada kakita­ngan kerajaan bagi urusan kematian ahli keluarga terdekat selama tiga hari merangkumi suami atau isteri, anak-anak dan ibu bapa kandung diperluaskan kepada ibu bapa mertua, ibu bapa angkat serta anak angkat yang sah di sisi undang-undang, berkuat kuasa 1 Julai ini,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis sambutan Hari Pekerja 2015 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.
Yang turut, hadir Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan timbalannya, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib; Ke­tua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Saripuddin Kasim; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Presiden Kongres Kesatuan Se­kerja Malaysia (MTUC), Mohd. Khalid Atan dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.
Sambutan Hari Pekerja 2015 Pe­ringkat Kebangsaan kali ini mencatat­kan sejarah kerana pertama kali diadakan di luar Semenanjung dan disambut bersama-sama oleh Kementerian Sumber Manusia, kerajaan negeri, MTUC, CUEPACS, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Sambutan kali ini juga paling meriah apabila dihadiri oleh 10,000 pekerja awam dan swasta yang datang dari seluruh negara.
Mengulas lanjut, Najib berkata, penambah baik kedua ialah kerajaan memutuskan supaya Program Saringan Kesihatan Percuma bagi pekerja sektor swasta berumur 40 tahun ke atas yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2013 diteruskan.
“Saya sudah mengarahkan Per­keso agar meneruskan program tersebut dengan turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan berge­rak di premis majikan.
“Ketiga, sukacita saya mengumum­kan bahawa kita mencadangkan supaya Perkeso memperluaskan liputan Skim Perlindungan yang ketika ini dihadkan kepada pekerja bergaji RM3,000 ke bawah kepada semua pekerja tempatan dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji dengan siling caruman yang diinsurans ditingkatkan dari RM3,000 kepada RM4,000.
“Cadangan ini dijangka memberi manfaat berbentuk nilai faedah yang lebih tinggi untuk perlindungan Perkeso dengan tambahan kira-kira 500,000 pekerja menikmatinya iaitu meningkat kepada 6.5 juta daripada 6 juta pekerja sebelum ini,” jelasnya.
Beliau berkata, semua pekerja dalam sektor swasta yang dilin­dungi di bawah skim terbabit layak menerima faedah perlindungan insurans secara automatik.
Mengenai cadangan CUEPACS yang meminta kerajaan meningkat jumlah gaji minimum pekerja di negara ini, Najib berkata, permintaan tersebut sedang dipertimbangkan tetapi mustahil dapat tunaikan dalam tempoh terdekat kerana perlukan perbincangan lanjut, malah tiada negara yang menaikkan gaji minimum pekerjanya pada setiap tahun.
Dalam pada itu, beliau memin­ta pihak berkuasa berkaitan agar mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan ekoran pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) supaya tidak membebankan rakyat.