Bernama
30/8/2016
KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Berikut ialah teks penuh Amanat
Merdeka 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan
Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.
BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil A'lamin wa biHi nasta'in,
Selawat dan Salam ke atas Rasul junjungan, Nabi Muhammad, penutup segala Anbiya',
Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri-Menteri,
Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Dif-Dif Kehormat,
Para Tetamu dan Wakil-Wakil Media,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam
1Malaysia, Salam Sehati Sejiwa dan Salam Merdeka, Mukadimah Saudara
dan Saudari Sekalian,
1. Pertama-tamanya, marilah kita mengangkat rasa kesyukuran yang amat
tinggi, ke hadrat Allah Hu Ta-a'la, kerana pada malam yang bermakna
ini, kita diizinkan untuk berhimpun di dewan yang megah lagi bersejarah,
bagi menyambut ambang merdeka.
2. Justeru, saya berucap di sini bukan sahaja sebagai seorang Perdana
Menteri, atau seorang pemimpin parti, yang lebih utama, sebagai seorang
Anak Malaysia.
3. Lalu, di hadapan ribuan hadirin yang dikasihi, dari pelbagai
kelompok dan latar belakang berbeza, saya dapat berasakan, saya dapat
feel, satu aura luar biasa atau a very positive vibe, yang menyalakan
semangat nasionalisme, patriotisme dan jatidiri yang mendalam lagi
kental.
4. Maka, bagi menghangatkan sambutan malam ini, ayuhlah,... ayuhlah,...
kita berikan,... satu tepukan paling gemuruh kepada Malaysia,...
pertiwi tercinta ini!
Saudara dan Saudari,
5. Saya ingin memulakan amanat Merdeka ini, dengan melontarkan beberapa persoalan.
Pertama: Apakah ertinya kemerdekaan kepada kita semua, terutama sekali
setelah negara dengan izin Tuhan, sampai di ambang 6 dekad?
Keduanya: Sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa bangsa pun, harus
bahkan sewajibnya sentiasa beringat-beringat akan sejarah tentang
siapakah yang telah mengetuai perjuangan menuntut kemerdekaan.
Kerana itulah, kita perlu bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan
dan kemerdekaan, yang telah diperjuangkan oleh bapa-bapa tanah air yang
dipelopori oleh UMNO, bersama Parti-Parti Komponen lain, sejak puluhan
tahun yang lalu.
Ketiganya: Yang paling mustahak, bagaimanakah kita sebagai rakyat
Malaysia,� tidak kira apa warna kulit, bangsa, keturunan, mahupun
agama,� dapat menzahir dan membuktikan kesyukuran terhadap nikmat ini?
6. Persoalannya juga,... cukupkah sekadar menggantung bendera atau
berhimpun di sana sini, tanpa roh dan rasa penghayatan akan peri penting
pengisian sewajarnya, kepada kebebasan sebuah negara bangsa yang telah
diperolehi?
7. Apatah lagi,... dalam pada Bahtera Malaysia sedang belayar dengan
lancarnya di samudera biru, kita tidak mungkin sesekali biarkan tanah
air ini cuba ditebuk, dirobek dan dibocorkan oleh mana-mana pihak yang
durjana.
8. Sebabnya,... sebabnya,... Bahtera Malaysia yang sudah terkembang
layarnya ini, kita akan pastikan terus mara membelah gelombang dan
tak-kan sesekali berbalik haluan.
Saudara dan Saudari Sekalian,
9. Jika dihitung dari segi usia kemerdekaan sejak 31 Ogos tahun 1957,
kita sudah menghampiri gerbang 60 tahun, berdiri di atas kaki sendiri.
10. Apa yang pasti,... kurniaan kemerdekaan, bukan sahaja merupakan
satu rahmat, bahkan, menurut pandangan para alim dan bijaksana, ia satu
karomah kepada bumi Malaya yang kini, menjadi sebuah Malaysia.
11. Dalam mengejar kemajuan, pembangunan luar bandar akan terus menjadi agenda utama Kerajaan, dan diberikan perhatian serius.
Jasa-jasa Parti Perikatan dan Barisan Nasional Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 12.
Merujuk kepada pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam
tempoh 6 dekad, yang dulu bermula hanya daripada kampung-kampung kecil,�
pedalaman dan perdesaan,... sekarang Alhamdulillah,... mampu berdiri
sama tinggi di kalangan negara-negara yang pesat membangun di dunia.
13. Malah, Menara Warisan Merdeka setinggi 118 tingkat, yang mula
dibina sejak tahun 2014, bakal menjadi bangunan tertinggi di Malaysia
dan ke-5 di dunia.
Saudara dan Saudari,
14. Adalah hakikat, berjaya dan majunya Malaysia sehingga sekarang,
merupakan hasil mahsul usaha gigih pentadbiran cekap dan sistematik oleh
Kerajaan Barisan Nasional yang dulunya dikenali sebagai Parti
Perikatan.
15. Kerajaan ini, yang mentadbir sejak sekian lama, telah mampu
mempertahankan prestasi pencapaian dan rekod cemerlang serta terus
meletakkan Malaysia di atas landasan kemakmuran.
16. Selain itu, kita sewajarnya berbangga jua, bahawa kemerdekaan
Malaysia ini diberkati oleh Yang Maha Berkuasa,... kerana jelas terisi
dengan kejayaan dan kemajuan, yang sebetulnya tidak terbayang dek
fikiran, tidak ternampak dek mata, tidak terjangkau dek akal, oleh
sesiapa jua, 59 tahun yang lampau.
17. Bahkan, seperti yang ramai maklum,... apa yang kita hadapi ketika
itu, hanyalah herdikan-herdikan dan perlian-perlian bahawa, bagaimana
mungkin sebuah negara kecil seperti Malaya, dengan masyarakatnya yang
berbilang keturunan, boleh berpadu untuk menempa kegemilangan.
Kemajuan 6 Dasawarsa Terajuan Kerajaan Barisan Nasional (Dulunya Parti Perikatan)
18. Lantaran itu, sejurus selepas mengambil alih tampuk kepimpinan,
saya telah melanjutkan gagasan negara dengan Dasar Transformasi
Nasional.
19. Kini DTN, telah masuk tahun ke-7 pelaksanaannya, dan terus membuahkan hasil yang begitu memberangsangkan.
20. Ini semua bukan sekadar omongan kosong, akan tetapi, fakta dan
angka-angka pencapaian, diabsahkan serta dipersahihkan oleh Badan-Badan
Penarafan Berwibawa pada peringkat antarabangsa.
21. Sebagai contohnya, semasa laporan Program Transformasi Negara yang
saya bentangkan pada bulan April lalu, kita bersyukur,... Program
Transformasi Kerajaan atau GTP dalam aspek Bidang Keberhasilan Utama
Negara, telah mencapai 99 peratus KPI penyampaiannya.
22. Manakala bagi Program Transformasi Ekonomi atau ETP, menerusi
Bidang Ekonomi Utama Negara, kita telah berjaya mencapai angka 111
peratus KPI. Melalui inisiatif Pembaharuan Strategik pula, KPI-nya telah
menjangkau sasaran 108 peratus.
23. Mutakhir ini, meskipun kita menghadapi ketidaktentuan dan kesuraman
ekonomi global, KDNK pada suku kedua tahun ini,... Alhamdulillah,...
Malaysia tetap berjaya mencatat perkembangan sebanyak 4 peratus.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
24. Selanjutnya, tidak putus-putus buah-buah kejayaan masak dan
meranum atas kerja kuat Kerajaan dan pelbagai agensi. Misalnya, Global
Competitiveness Report oleh World Economic Forum, telah meletakkan
Malaysia berada di tangga ke-18 pada tahun 2015.
25. Menurut Financial Market Development oleh World Economic Forum
Global Competitiveness Ranking 2015-2016 pula, kita berada di tangga
ke-9, sebagai satu-satunya emerging market, yang tersenarai dalam
sepuluh negara teratas.
26. Malaysia juga diiktiraf oleh laporan Bank Dunia, dari sudut Ease of
Doing Business, pada kedudukan ke-21 pada 2010, dan telah naik ke
tangga ke-18 pada tahun 2015.
27. Pada segi lain, sebagai sebuah negara Islam contoh yang progresif
dan dinamik serta diteladani sebagai role model yang berpegang kepada
prinsip wasatiyyah, di persada dunia, daripada perspektif iktisadnya,
Malaysia telah menduduki tangga pertama Petunjuk Ekonomi Global Islam
2014-2015, daripada senarai 70 buah negara.
28. Suka saya menyebut juga bahawa, Malaysia adalah negara penerbit
sukuk terbesar dunia, yang merangkumi hampir 55 peratus daripada jumlah
sukuk terkumpul global yang bernilai melebihi 320 bilion dolar Amerika
setakat penghujung 2015.
29. Fakta-fakta ini, ternyata antara bukti kukuh yang menyangkal
tohmahan-tohmahan meleset oleh segelintir golongan bahawa, kononnya
Malaysia adalah negara yang gagal, atau a failed state.
Memelihara Keselamatan dan Keamanan.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
30. Di atas segalanya,... Kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu
keselamatan negara. Hakikatnya, Mesyuarat Keselamatan Negara bersidang
beberapa kali setiap bulan, dalam langkah berwaspada, akan ancaman musuh
dari luar dan dalam.
31. Berbanding dengan senario dunia pula, kita berasa simpati,
khususnya dengan nasib saudara-saudari seakidah di Timur Tengah, yang
masih tidak menentu. Tanah air mereka sedang bergolak, dalam kancah
peperangan, yang belum tertampaknya cahaya kedamaian.
32. Secara umumnya, kita bersyukur tidak terhingga, lantaran negara
kita masih diperkekalkan oleh Tuhan dalam keadaan aman dan sentosa.
33. Berhubung ini, saya mengajak para hadirin dan hadirat,... kita
berikan penghargaan yang bersemangat kepada para perajurit serta anggota
keselamatan yang telah berkorban siang dan malam demi keamanan
Malaysia. Syabas dan satu tepukan gemuruh buat semua pasukan keselamatan
negara.
Rancangan Malaysia Ke-11 Saudara dan Saudari Sekalian,
34. Ketikamana melangkah bulan Mei tahun 2015, saya telah
membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11. Rancangan ini, merupakan
pelonjak akhir negara memasuki gelanggang High Income Advanced Economy.
35. Sekalipun kemelut ekonomi global masih bergelora, Kerajaan Barisan
Nasional terus mengambil keputusan yang berhemah dan menjadi Kerajaan
yang bertanggungjawab agar rakyat tidak terbeban dengan keadaan semasa.
36. Justeru,... sebarang ehwal kebajikan dan kepentingan masyarakat terbanyak, pasti didahulukan.
37. Antaranya, perkara pokok tentang kehidupan adalah lantai tempat
berpijak, bumbung tempat berteduh daripada hujan dan panas untuk diri
serta keluarga. Dalam hal ini, usaha membina rumah mampu milik kepada
rakyat akan tetap kita laksanakan.
38. Contohnya, bagi menghargai penjawat awam, Kerajaan telah meluluskan
lebih 82 ribu unit kediaman, di bawah inisiatif Perumahan Penjawat Awam
1Malaysia.
39. Selanjutnya, kita juga telah melaksanakan projek-projek perumahan
mampu milik seperti PR1MA, Rumah Mesra Rakyat, Perumahan Felda serta
Felcra, selain memperkenalkan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama dan
peruntukan Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
40. Bila bercakap tentang negara maju, pengangkutan awam merupakan
nadi kepada mobiliti rakyat seharian. Public transportation menjadi satu
keperluan, yang harus dibangunkan oleh Kerajaan yang berdaya saing
menuju kemajuan.
41. Indeed,... the fact is,... providing an efficient, fast, safe and
affordable public transportation is a must for a nation that aspires to
be a developed nation like Malaysia.
42. Lantas, di era pentadbiran ini, saya mahu terlakarnya dalam sejarah
akan usaha serius Kerajaan yang saya pimpin, dalam pelaksanaan projek
pengangkutan awam yang terbaik jaringannya, bagi memenuhi tuntutan
kepesatan kini apatah lagi masa hadapan.
43. Antaranya, Kerajaan kini begitu komited dengan beberapa projek
pengangkutan awam, berskala sederhana dan mega, seperti sambungan laluan
LRT Ampang dan Kelana Jaya, yang akan mendatangkan manfaat kepada
sekurang-kurangnya 300 ribu pengguna setiap hari.
44. Pada minggu lepas pula, saya baru merasmikan projek LRT3 bagi
jajaran Bandar Utama-Klang meliputi 36km, mempunyai 25 buah stesen yang
dijangka siap pada tahun 2020.
45. Laginya, saya secara peribadi,... dan bagi pihak Kerajaan,... juga
rakyat teramai,... tentunya tidak sabar ternanti-nanti, operasi jajaran
fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang, yang akan dilancarkan pada 15
Disember tahun ini. InsyaAllah!
46. Bercakap tentang hal pengangkutan juga, marilah kita sama-sama
memberi tepukan perangsang dan syabas kepada kejayaan 'the
Pocket-Rocket-Man', jaguh lumba basikal negara, yang meraih pingat
gangsa dalam acara keirin di Temasya Olimpik Rio 2016,... saudara
Azizulhasni Awang (yang turut bersama kita pada malam ini).
Saudara dan Saudari, 47.
Sebetulnya, sejak 59 tahun kita meraih kemerdekaan, gagasan demi
gagasan, rancangan demi rancangan dan tidak terhitung dasar-dasar yang
diperkenalkan oleh Kerajaan dalam membina kejayaan negara.
48. Dalam era kepimpinan Kerajaan ini, Dasar Transformasi Nasional,
turut melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS.
49. Syukur kepada Allah, melalui pelbagai inisiatif di bawah NBOS,
sejak tahun 2009, Kerajaan telah berjaya menjimatkan sejumlah 3.5 bilion
ringgit perbelanjaan negara, melalui kerjasama strategik antara PDRM
dengan ATM, yang telah memecahkan tembok silo antara agensi.
50. Pelaksanaan Pusat Transformasi Bandar atau UTC pula, telah
memanfaatkan lebih 35 juta pengguna, bagi menyelesaikan segala urusan
berkaitan perkhidmatan Kerajaan.
51. Realitinya, mana ada negara dalam dunia yang Kerajaannya
menyediakan Pusat Khidmat Sehenti yang beroperasi 7 hari seminggu, dari
pukul 8 pagi hingga 10 malam.
52. Inilah dia bukti bahawa, Kerajaan Barisan Nasional amat prihatin dengan keperluan rakyat, demi memudahkan urusan semua.
53. Begitu juga dalam ehwal pendidikan. Dari peringkat rendah sampai ke
menengah semuanya percuma. Pada peringkat tertiari yakni di
universiti-universiti awam, kini hampir 90 peratus kos pengajian
ditanggung oleh pihak Kerajaan.
54. Bagi sudut kesihatan pula, bermula dengan pelbagai rawatan pesakit,
hinggalah kepada melahirkan anak, segalanya pun hampir percuma di
hospital Kerajaan, kecualilah yang melibatkan kes-kes rumit. Ini
melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak kira-kira 23 bilion ringgit
setahun.
55. Saya dimaklumkan, baru-baru ini oleh seorang rakan, yang bekerja
dengan Kerajaan, bapanya telah dimasukkan ke IJN untuk menjalani
angiogram jantung. Bayaran yang dikenakan hanyalah 12 ringgit,
berbanding ribuan ringgit kosnya kalau di hospital swasta.
56. Menurut Laporan Institut Penyelidikan Khazanah, dalam akhbar New
Straits Times hari ini muka surat 13, jangka hayat rakyat Malaysia
dijangka meningkat daripada 65.5 tahun kepada 77.4 tahun bagi wanita,
dan 61.6 tahun kepada 72.5 tahun bagi kaum lelaki. Ini adalah
perbandingan dari tahun 1970 hingga 2014.
57. Selain itu, terlalu panjang senarainya, kalau hendak kita sebut
satu persatu, akan pelbagai lagi program bantuan oleh pihak Kerajaan
kepada rakyat sebagai berkongsi nikmat kemerdekaan dan kemakmuran
negara.
58. Berkait BR1M, meskipun Kerajaan berniat ikhlas untuk membantu
golongan sasar yang benar-benar memerlukan pertolongan, ada pihak yang
sesedap mulut, menuduh dan menghina para penerima BR1M.
59. Sedangkan, bagi kisah hidup sebenar individu rakyat contohnya Puan
Dayah Anak Kepada Mamut, dari Rumah Panjang di Sarawak, yang mempunyai 4
orang anak, BR1M adalah bantuan dan rahmat yang telah dapat meringankan
kos keluarga dan persekolahan anak-anaknya.
60. Tambahan, berdasarkan dapatan sekumpulan 35 pakar ekonomi di
Britain sepakat bahawa, BRIM adalah kaedah terbaik bagi membantu
golongan sasar.
61. Di samping itu, berkat berbagai usaha dan program yang dilaksanakan
oleh Kerajaan, seperti gaji minima dan latihan kemahiran, purata
pendapatan isi rumah B40 ternyata telah meningkat lebih cepat,
berbanding golongan lain seperti M40.
Saudara dan Saudari,
62. Berbicara tentang GST pula, Alhamdulillah, keyakinan dan
keberanian politik pihak Kerajaan dalam pelaksanaannya, di sebalik
tentangan dan fitnah oleh pelbagai pihak, kini ternyata telah menjadi
faktor penyelamat kepada ekonomi Malaysia.
63. Selanjutnya, melalui pelbagai dasar Kerajaan yang bersifat
inklusif, menurut laporan Program Transformasi Negara atau NTP,
ternyata,... tidak kira apa kaum dan golongan,.... ramai yang telah
berjaya meraih kejayaan yang lebih tinggi dalam hidup dan kerjaya,...
sekaligus merubah untung nasib keluarga kepada kehidupan yang lebih
selesa.
64. Menjengah ke hadapan pula, kita tidak tiba di titik kemerdekaan 6
dekad ini untuk gagal. Malah, kita berhasrat untuk melihat Malaysia
terus melangkah jauh sebagai sebuah negara bangsa yang unggul dan dapat
dipermegahkan di persada global, bukan setakat ini sahaja, malah
menjangkaui atau beyond 2030.
65. Menyentuh soal ini, jika ingin melihat Malaysia kekal merdeka,...
berdaulat,... damai,... dan tersanjung oleh seantero dunia sebagai
Bintang Timur yang berkerlipan cahayanya,... Moments of Unity atau
Detik-Detik Kebersatuan, perlu dicambah serta disemarakkan.
66. Jadinya, pada malam ini, saya ingin berkongsi kisah-kisah harmonis
penduduk Malaysia, yang diperlambangkan melalui Detik-Detik Kebersatuan
oleh rakyat daripada pelbagai kaum.
67. Kisah pertama, contohnya pada malam perlawanan akhir badminton
Olimpik baru-baru ini. Saya dan isteri telah turut sama turun padang ke
dataran Putrajaya, untuk menyaksikan saat-saat yang mendebarkan
tersebut.
68. Apa yang menarik dan istimewanya,... saya perhatikan pada malam
tersebut, majoriti para penyokong Datuk Lee Chong Wei di situ, terdiri
daripada orang-orang Melayu yang bersorak sorai penuh semangat tanda
sokongan kepada 'Raja Badminton Malaysia'. 69. Inilah antara satu
contoh, Moments of Unity, atau Detik-Detik Kebersatuan berasaskan sukan.
70. Bersempena itu, marilah kita beri tepukan tahniah kepada Datuk Lee
Chong Wei, yang datang pada malam ini. Beliau, buat kali ketiganya
menghadiahkan Malaysia pingat Perak pada kejohanan Olimpik 2016.
Syabas,...syabas Datuk Lee Chong Wei! Saudara dan Saudari, 71.
Ingin saya kongsikan bersama, di sebalik kisah kejayaan beliau ini,
selain daripada penghargaan terhadap jurulatih-jurulatihnya kini, Datuk
Lee Chong Wei, seringkali tidak pernah lupa akan budi dan jasa juga
bimbingan mentor, merangkap bekas jurulatih-nya, yang telah mengasuh dan
mendorong kejayaannya, yakni Dato' Misbun Haji Sidek.
72. Inilah dia indah dan ajaibnya Malaysia... Semangat kebersatuan dan
keeratan,... merentasi sempadan kaum,... saling bantu membantu, saling
harga menghargai,...
73. Bukan atas nama Orang Melayu, Orang Cina, Orang India, Orang Iban,
Kadazan, Murut, Dusun, Orang Asli, penduduk keturunan Siam, ataupun yang
lain-lain,... namun lebih mulia dan penting dari itu,... semua berpadu
atas nama Bangsa Malaysia! 74.
Tentunya saudara dan saudari, tepukan tahniah kita berikan kepada
jaguh-jaguh badminton dalam acara beregu lelaki dan campuran, yang turut
menyumbang pingat-pingat perak kepada negara, yakni saudara Goh V Shem,
Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.
75. Jelasnya, pada kita, semua mereka adalah wira dan wirawati bangsa
Malaysia. Atas sebab itu, Kerajaan telah menambah insentif kemenangan
sebanyak 200 ribu ringgit lagi, sebagai tanda penghargaan atas kejayaan
yang dicapai.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 76.
Kisah kedua adalah tentang Gerai Nasi Kandar paling terkenal di Ipoh yang popular dengan gelaran 'Vanggey'.
77. Istilah vanggey,... vanggey ini dalam bahasa Tamil bermaksud
mari,... Mari,... Jika berkunjung ke Ipoh, kata orang, tidak sah kalau
tak pekena nasi vanggey.
78. Apa yang uniknya, nasi kandar vanggey ini beroperasi di sebuah
restoran milik keluarga Cina iaitu Rumah Tumpangan dan Kedai Kopi Yong
Suan dan kebetulan telah mula berniaga sejak tahun kemerdekaan yakni
1957. Istimewanya, para pelanggan terdiri daripada pelbagai keturunan
dan bangsa.
79. Nasi kandar vanggey di restoran itu dinikmati bersama dengan
minuman Teh Ais Peram, yang juga popular di kedai Cina tersebut.
80. (Saya sendiri pun dah makan nasi vanggey ni,... cuma makan nasi
bungkus je,... satu hari nanti, saya sendiri akan ke gerai vanggey, dan
untuk makluman wakil pemiliknya pun hadir pada malam ini,... Mohd
Nihmathullah bin Syed Mustafa) 81.
Ini satu lagi ceritera Detik-Detik Kebersatuan yang sungguh menarik sebagai simbol Moments of Unity.
Saudara dan Saudari,
82. Satu lagi kisah dari sudut budaya yang boleh dijadikan teladan
Detik-Detik Kebersatuan adalah Kartunis Lat, atau nama sebenarnya
Mohammad Nor Khalid,... melalui bukunya yang sangat popular dan tersohor
bertajuk Kampung Boy.
83. Hasil karya kreatif kartun beliau, melatarkan kisah kehidupan
sebenar masyarakat Malaysia yang majmuk. Saya pasti hampir kesemua kita
kenal watak-watak yang ditonjolkan dalam jalan cerita beliau.
84. Selain daripada watak utama Lat dan rakan-rakannya, yang terdiri
daripada anak-anak Melayu dan kaum-kaum lain, ada watak cikgu bahasa
Inggeris keturunan Cina bernama Mrs Hiew, yang berbadan besar, garang
dan berkaca mata tajam. Ada pula watak lelaki Punjabi yang memakai
turban dengan dialog-dialog yang melucukan dan mencuit hati kita.
85. Ternyata, kerja-kerja tulisan dan lukisan oleh Datuk Lat ini
digemari oleh banyak kaum, sekaligus menjadi satu lagi simbol
Detik-Detik Kebersatuan dan penerimaan rakyat Malaysia akan hakikat kita
hidup sebumbung dalam sebuah masyarakat yang majmuk dan berbilang
keturunan.
86. Saya difahamkan, Datuk Lat ada bersama kita di sini, tahniah dan tepukan untuk beliau! 87.
Begitu juga dalam filem Ola Bola, yang telah membangkitkan semangat
kebersatuan rakyat Malaysia, dalam membentuk sebuah negara bangsa yang
hebat lagi bermartabat.
88. Berbalik kepada Datuk Lat, saya diberitahu bahawa beliau adalah
abang kepada Encik Mamat Khalid, seorang pengarah filem terkenal dengan
genre kehidupan sebenar masyarakat majmuk Malaysia. Saya pasti ramai
tahu akan filem komedi seram dengan kutipan pecah panggung oleh Mamat
Khalid bertajuk "Hantu Kak Limah Balik Rumah".
89. Jelasnya, banyak lagi faktor yang boleh menjadi pemangkin kepada
Detik-Detik Kebersatuan, dan tidak terhenti pada contoh-contoh di bidang
sukan dan sosio-budaya itu tadi.
90. Misalan lain, saban tahun pabila menjelangnya hari-hari perayaan
besar terutamanya Aidil Fitri, jendela silaturrahim 1Malaysia yang
menyuburkan Detik-Detik Kebersatuan melalui Budaya Rumah Terbuka begitu
menyerlah, sehingga menggamit pelancong-pelancong antarabangsa.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 91.
Bertolak dari kemerdekaan,... kemajuan yang kita tempa dari masa ke
semasa, adalah demi rakyat Malaysia keseluruhannya. Kerajaan tidak akan
meminggirkan mana-mana pihak, sekalipun apa-apa kumpulan etnik yang
kecil bilangannya.
92. Pucuk Pangkalnya,... di mata dan di hati kita,... setiap seorang dan setiap etnik rumpun dan keturunan, adalah 1Malaysia.
93. Pada sudut ini, bertepatan untuk kita memberi tepukan syabas dan
penghargaan kepada dua 'Ratu Terjun Negara' Cik Pandelela Rinong dan
Cheong Jun Hoong yang telah mengharumkan sukan terjun air negara dengan
merangkul pingat Perak, di temasya Olimpik Rio.
94. Tampaknya, jelas sebagai yang saya nyatakan merdeka dan semangatnya
adalah milik semua. Khususnya Cik Pandelela, anak gadis Bidayuh dari
Sarawak ini, membuktikan tidak semestinya wakil etnik kecil tidak mampu
menjadi seorang jago-an.
95. Berkait ini, selamat maju jaya juga saya ucapkan kepada atlet-atlet
paralimpik negara yang akan berjuang di Paralimpik Rio September nanti.
96. Sesungguhnya,... saudara dan saudari,... kemerdekaan ini adalah
nikmat untuk Malaysia seluruhnya. Bermula dari utara Semenanjung Permata
Nilam, ke hujung Sabah negeri di Bawah Bayu, membawa ke pedalaman
Sarawak Bumi Kenyalang.
97. Dalam hal demikian, projek Lebuhraya PAN Borneo yang bebas tol,
sepanjang 2,325km, yang bermula dari Telok Melano ke Lawas di Sarawak,
membawa pula hingga ke Sabah, dari Sindumin ke Tawau, merupakan satu
lagi lambang kemajuan, sebuah Malaysia yang merdeka. 98.
Terbaru di Semenanjung pula, kita akan membina Keretapi Berkelajuan
Tinggi atau HSR yang bermula dari Kuala Kumpur hingga ke Singapura. Ini
akan memberikan manfaat besar kepada connectivity dan kepesatan ekonomi
kepada Malaysia di rantau ini.
Bagaimana Kita Mengisi Nikmat Kemerdekaan Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
99. Oleh sebab itulah, dalam pada kita bersusah payah memupuk
solidariti dan perpaduan, kita tidak mahu terjadinya Moments of
Disunity, yakni Babak-Babak atau Episod Perpecahan, yang akan memusnah
dan meranapkan segala yang telah terbina.
100. Pokoknya, sanggupkah kita membiarkan tanahair ini, hancur
berkecai, punah dalam sekelip mata dek angkara segelintir pengkhianat.
Kata orang dulu-dulu, biar putih tulang, jangan putih mata. Para
pendurjana dan petualang bangsa serta negara ini, mesti kita tentang
habis-habisan.
101. Di ketika ini, yang kita berdepan bukan setakat musuh luar,
sebaliknya penjajahan bentuk baharu, yang meresap dan meracun minda
rakyat, sehingga melibatkan 'tangan-tangan kotor' orang dalam negara
sendiri.
102. Dalam hal ini, teringat saya kata-kata tokoh pejuang tersohor,
Mahatma Gandhi yang menyebut bahawa, makna kemerdekaan itu adalah
pendisiplinan dan kepatuhan kepada rule of law.
103. Bukanlah seperti apa yang cuba diperbuat oleh segelintir pihak
yang hendak menjatuhkan Kerajaan secara tidak demokratik, membuat
referendum-referendum, deklarasi atau menghasut dan meracun pemikiran
rakyat untuk berdemo di jalanan.
104. Sedangkan dalam ajaran Islam sendiri dan dibahaskan oleh para
Ulama Muktabar bahawa, 'matlamat tidak sesekali menghalalkan cara'.
105. Pada hemah saya lagi, merdeka itu ertinya, berdiri di atas kaki
sendiri, dengan acuan dan kemahuan kita sendiri. Merdeka itu ertinya
bebas dari campurtangan asing.
106. Lebih besar dari itu, merdeka bererti sebuah anjakan dan transformasi dari kemunduran kepada kemajuan dan keunggulan.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
107. Akhir kalam,... kepada Allah kita mohon pertolongan dan
Ingatlah!,... kita punya satu kesamaan sebagai Anak Malaysia, berkongsi
satu tujuan, satu matlamat,... yakni impian 1Malaysia.
Justeru,
108. Marilah,... sekalian dalam Dewan Merdeka ini, sama-sama
bangun,... bangun,... dan berdiri,... Genggamkan erat tangan
masing-masing seperti ini,... dengan rakan-rakan di sebelah kanan dan
sebelah kiri saudara-saudari... (Pastikan yang lelaki dengan lelaki...
saudari-saudari pula menggenggam tangan yang perempuan).
Lalu,...
109. (Kalau semua sudah bersedia,...) Ayuh ucap dan lafazkan
bersama-sama saya,... bahawa... Kami,... rakyat Malaysia,... Sehati
Sejiwa,... Berikrar,... Akan terus Berpadu,... dan Berjiwa Besar,...
Demi,... masa depan Malaysia.
Sekali Merdeka,... selamanya Merdeka, MERDEKALAH MALAYSIA!
Merdeka! Merdeka! Merdeka! Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
-- BERNAMA