Berita Harian
1/5/2014
Menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, keperluan untuk bekerja
tidak lagi terletak khusus di bahu lelaki atau suami, tetapi turut
memaksa wanita atau yang bergelar isteri, turut bekerja.
Hakikat sumbangan wanita dalam sektor pekerjaan tidak boleh dinafikan kerana mereka mempunyai peranan sama hebat dengan lelaki.
Bezanya, bagi wanita berkerjaya tugas dan tanggungjawab mereka perlu mengimbangi antara tempat dengan rumah.
Jika dulu boleh si ibu menumpu sepenuh perhatian kepada anak-anak
sambil menguruskan lambakan kerja-kerja rumah tangga termasuk melayan
suami saat pulang bekerja, namun kini senario berbeza.
Kebanyakan ibu bekerja di kota besar memperuntukkan lapan jam dari
pagi sampai petang dan ketika pulang terpaksa mengharungi kesesakan.
Bagi yang tiada amah, sebelum tiba di rumah perlu menjemput anak di
pusat asuhan dan pulang dengan bebanan tugas seperti memasak dan
mengemas untuk mereka yang tidak suka makan di luar.
Berterusan hari demi hari sehinggalah bertukar bulan dan tahun
keadaan sama dihadapi membuatkan wanita tertekan serta prestasi di
pejabat mungkin terjejas.
Dilema di sektor awam
Apakah dilema dihadapi oleh ibu yang bekerja di sektor awam,
mengulas mengenainya, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda, berkata pembabitan wanita dalam
sektor pekerjaan amat bermakna kerana mereka membantu terhadap kemajuan
ekonomi negara.
Justeru, kerajaan sentiasa proaktif menyediakan pelbagai kemudahan
untuk pekerja wanita termasuk waktu kerja anjal, menyediakan pusat
asuhan kanak-kanak (TASKA) di tempat kerja dan cuti bersalin 90 hari
bagi kakitangan awam.
Walaupun 60 peratus sektor awam kini dikuasai wanita, tidak semua
agensi mahupun jabatan kerajaan memenuhi kriteria berkenaan menyebabkan
golongan itu terus berdepan dilema.
Dalam hal lain, disebabkan sebahagian besar wanita yang bekerja pada hari ini mempunyai suami yang turut bekerja.
Akibatnya, anak dihantar ke TASKA, dijaga ibu bapa atau pembantu rumah menyebabkan kurang masa meluangkan masa bersama mereka.
“Proses membesarkan anak tidak lagi seperti dulu, masa dengan ibu
bapa sekejap saja menyebabkan kasih sayang semakin berkurangan.
“Dari mula lahir dihantar ke TASKA dan TADIKA. Apabila memasuki
Tingkatan Satu, sebilangannya tinggal di asrama, ke universiti dan
seterusnya memasuki alam pekerjaan.
“Tentunya keadaan ini akan memberi kesan negatif kepada masa depan
negara. Perkara ini tidak seharusnya dipandang remeh, sebaliknya langkah
tertentu perlu dirangka bermula daripada sekarang,” katanya kepada
FAMILI.
Sebagai permulaan, katanya, perlu wujud satu undang-undang bagi
mewajibkan semua syarikat dan organisasi menyediakan TASKA di tempat
kerja bagi menggalakkan hubungan kekeluargaan.
“Ini membolehkan ibu berkerjaya berjumpa anak pada bila-bila masa
dalam bangunan sama dengan premis pejabat tanpa mengganggu waktu kerja,
pasti mereka dapat bekerja dengan lebih berkesan, produktif dan kurang
tekanan,” katanya.
Walaupun kerajaan mengambil beberapa pendekatan memanfaatkan ibu berkerjaya, lain pula senario dalam sektor swasta.
Matlamat kerajaan mahu mencapai sasaran 30 peratus wanita di
peringkat pembuat keputusan menjelang 2016, namun realitinya, tidak
banyak syarikat swasta yang menyediakan keperluan asas untuk ibu
berkerjaya, tiada pusat asuhan kanak-kanak di pejabat, tiada waktu anjal
dan kemudahan bilik penyusuan.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Khalid Atan,
berkata majikan negara ini mementingkan produktiviti daripada pekerja
mereka dengan mengambil kira setiap minit dan sen dikira.
Seiring kemajuan negara, majikan sepatutnya perlu sedar wanita
memainkan peranan lebih berat apabila perlu mengimbangkan tugas mereka
di pejabat dan di rumah.
“Kita banyak menekankan tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan
anak membesar dalam persekitaran yang positif dan penuh kasih sayang,
perlunya meluangkan masa mendidik membentuk generasi berkualiti di masa
depan, namun adakah budaya kerja banyak yang tidak menjurus kepada arah
itu.