SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 Mei 2008

EX-GRATIA PENJAWAT TANPA WARIS IKUT KHIDMAT

Petikan dari Akhbar Berita Harian

PUTRAJAYA: Kaedah bayaran pemberian sekali atau ex-gratia kepada ibu bapa kakitangan awam yang meninggal dunia tanpa mempunyai waris akan mengambil kira tempoh perkhidmatan mereka yang layak menerimanya, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam. Beliau berkata, pemberian insentif seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu semalam, adalah satu kaedah baru yang dipersetujui kerajaan berbanding pencen terbitan yang diberi sebelum ini. "Jumlah berapa banyak bayaran ex-gratia ini masih belum ditentukan kerana pastinya ada formula khusus seperti bergantung kepada berapa lama kakitangan awam berkhidmat.
"Ini adalah satu pemberian kerajaan kepada keluarga demi kebajikan mereka," katanya selepas majlis perhimpunan Hari Pekerja 2008 Sektor Awam, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, semalam. Insentif lain ialah had usia persaraan dilanjutkan kepada 58 tahun, manakala tiada peperiksaan bertulis Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) terhadap kakitangan awam kumpulan sokongan gred 1 hingga 16. Selain itu, pencen terbitan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga kakitangan awam yang meninggal dunia mulai 1 Januari 2009 dan bayaran pencen dibuat mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, kakitangan awam masih mempunyai pilihan sama ada mahu meneruskan perkhidmatan, walaupun usia persaraan sudah dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun. "Mereka perlu bersetuju sama ada mahu meneruskan perkhidmatan sehingga mencapai usia 58 tahun. "Mengikut Akta Pencen, mereka mempunyai pilihan untuk menentukan mahu terus berkhidmat sehingga mencapai had usia persaraan selepas berusia 40 tahun," katanya. Mengenai bayaran pencen berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga 30 tahun, Ismail berkata, ia meliputi semua lapisan kakitangan awam dan akan memberi manfaat kepada semua pesara.
"Semua (anggota sektor awam) akan dapat faedahnya dan baik kepada mereka kerana mendapat bayaran tambahan selepas dikira semula tempoh lima tahun berkhidmat, tetapi tiada bayaran tunggakan akan dibuat seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri," katanya.

Tiada ulasan: