SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 Mei 2008

USIA PERSARAAN PENJAWAT AWAM BUKAN AUTOMATIK

Oleh Abdul Razak Raaff
Dari Akhbar Berita Harian

JPA jangka 830,000 kakitangan pilih berkhidmat hingga 58 tahun PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjangkakan seramai 830,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam atau 70 peratus, memilih untuk terus berkhidmat sehingga mencapai usia 58 tahun iaitu umur persaraan wajib yang baru ditetapkan kerajaan. Sumber JPA berkata, 30 peratus atau 370,000 kakitangan awam pula tidak memilih untuk berbuat demikian, sebaliknya memohon persaraan pilihan apabila mencapai had usia 40 tahun. Katanya, dasar baru itu tidak dilaksanakan secara automatik sebaliknya tertakluk kepada opsyen yang akan dibuat setiap individu yang sedang berkhidmat, selain dilaksanakan sebagai syarat perkhidmatan kepada anggota yang sedang dilantik mulai 1 Julai ini.
Beliau berkata, setiap tahun dianggarkan kira-kira 15,000 anggota sektor awam pelbagai jawatan yang sedang berkhidmat di jabatan dan agensi kerajaan akan bersara. "Secara purata, antara 1,000 hingga 1,200 kakitangan awam yang akan bersara setiap bulan sama ada bersara wajib atau membuat pilihan untuk bersara awal," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam. Pada majlis perhimpunan sempena Hari Pekerja Sektor Awam 2008, di sini baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan insentif baru termasuk melanjutkan had umur persaraan wajib bagi kakitangan awam daripada 56 tahun kepada 58 tahun, mulai 1 Julai ini.
Insentif lain ialah pencen terbitan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga kakitangan awam yang meninggal dunia dan bayaran pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun masing-masing bermula 1 Januari 2009, manakala ibu atau bapa kakitangan awam meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian sekali atau ex-gratia. Mengulas lanjut, sumber itu berkata, kakitangan awam yang mencapai usia 56 tahun sebelum 1 Julai ini, hendaklah bersara wajib apabila tiba masanya kerana tidak tertakluk dengan dasar baru berkenaan. Sebaliknya, katanya, mereka yang sepatutnya bersara wajib selepas mencapai usia 56 tahun pada Julai ini, akan diberi pilihan untuk berkhidmat sehingga bersara wajib apabila mencapai usia 58 tahun pada 1 Julai 2010. "Pada tarikh dasar baru persaraan wajib dikuatkuasa semua kakitangan awam yang belum mencapai usia 58 tahun boleh terus berkhidmat, jika memilih untuk berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata, bayaran faedah persaraan kepada kakitangan awam yang bersara pada atau selepas 1 Julai ini dan sudah menerima Kad Pesara dan Surat Kelulusan Faedah Persaraan, akan ditangguh sehingga Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA menerima maklum balas mengenai pilihan umur persaraan wajib mereka. Katanya, tawaran pelantikan secara kontrak selepas persaraan kepada anggota yang tidak memilih untuk bersara wajib pada 58 tahun adalah tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa yang melantik.

Tiada ulasan: