SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PENJAWAT AWAM TIANG SERI NEGARA

15 Mei 2008

WAKTU MINUM PENJAWAT DIATUR

Petikan dari Akhbar Berita Harian

PUTRAJAYA: Waktu rehat bagi kakitangan awam cuma dari jam 12.45 tengah hari hingga 2 petang, kecuali Jumaat mulai 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam. Beliau menegaskan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak menetapkan waktu keluar minum pagi atau petang, sebaliknya amalan itu bergantung kepada budi bicara ketua jabatan masing-masing. Sehubungan itu, beliau mahu ketua jabatan mengatur waktu minum pagi dan petang di bilik pantri di pejabat bagi mengelak pegawai dan kakitangan awam keluar ke kafeteria atau medan selera.
“Saya minta ketua jabatan mengatur waktu minum pagi dan petang dengan lebih berkesan kerana setiap pejabat ada pantri masing-masing. “Ini perlu dilakukan supaya tidak mengganggu tugas, selain dapat mengekalkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau diminta mengulas perbuatan sebilangan kakitangan awam yang sering keluar untuk minum pagi dan petang di kafeteria atau medan selera sehingga menimbul prasangka buruk masyarakat terhadap perkhidmatan awam.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam ucapannya sempena majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), meminta 1.2 juta kakitangan awam terus meningkatkan kecekapan dan bertindak pantas dalam membuat keputusan supaya perkhidmatan awam dihormati. Presiden Cuepacs, Omar Osman, pula mengesyorkan kakitangan awam mengambil masa kurang setengah jam untuk sarapan pagi atau minum petang supaya dapat memberi tumpuan memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan. Omar juga menyarankan kakitangan awam menggunakan bilik pantri sepenuhnya bagi mengelak mereka kerap keluar dari pejabat untuk minum pagi dan petang. “Kita minta ketua jabatan supaya kerap berbincang dengan kakitangan untuk mengingatkan mereka mengenai usaha kerajaan memartabatkan perkhidmatan awam dan memberi layanan kelas pertama kepada pelanggan.
“Sebagai kakitangan awam, kita perlu sentiasa tepat pada masanya dan mengutamakan pelanggan bukannya membuang masa dengan berbual-bual perkara tidak berfaedah di kedai makan sehingga boleh menimbulkan prasangka buruk daripada masyarakat,” katanya

1 ulasan:

Chinta Chundary berkata...

masih ada yang duduk di warung dari pagi bawa ke petang..