SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

23 Mei 2008

KENAKAN SYARAT LANJUTAN USIA PERSARAAN 58 TAHUN

Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia
- MOHAMED HATTA ABKem Terendak, Melaka.
23 Mei 2008


RAMAI kakitangan awam menyambut gembira pengumuman Perdana Menteri melanjutkan usia persaraan daripada 56 kepada 58 tahun. Keputusan itu tentu sekali menggembirakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang telah membuat pelbagai tuntutan meskipun pada waktu yang cukup gawat bagi kerajaan memenuhinya.
Kita percaya bahawa memang ada rasionalnya dalam perkara-perkara tuntutan CUEPACS. Tetapi isu kenaikan usia persaraan sudah cukup untuk diperkatakan di ruang yang kecil ini.
Pertama, berkaitan dengan isu kesihatan kakitangan awam. Kita semua tahu bahawa mereka yang telah mencecah usia 40-an mulai menghadapi risiko yang besar terhadap penyakit-penyakit seperti darah tinggi, gout, penyakit jantung, kencing manis dan sebagainya. Risiko terhadap penyakit-penyakit itu dan penyakit lain sudah pasti semakin tinggi pada usia sekitar 50-an.
Mungkin kita boleh memberi laluan kepada kakitangan untuk terus bekerja pada usia sehingga 58 tahun berasaskan jangka hayat secara umum. Persoalannya, apakah semua kakitangan awam layak diberi lanjutan tempoh persaraan secara automatik tanpa mengambil kira keupayaan dan kesihatannya?
Ini harus difikirkan kerana sekiranya seseorang itu tidak mampu melakukan tugas seperti biasa, tentulah hal itu akan menjejaskan kecekapan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Kedua, kita ucapkan tahniah kepada semua kakitangan awam yang telah berjaya menunjukkan prestasi kerja yang baik dan atas ganjaran yang diberikan oleh kerajaan.
Namun harus diingat bahawa terdapat juga sebahagian kecil kakitangan yang tidak menyumbang kepada prestasi kerja yang baik dan menumpang tuah daripada titik peluh mereka yang bekerja keras menyumbang kepada pembangunan, produktiviti dan perkhidmatan yang baik.
Wajarkah mereka yang tidak cekap dan bekerja sambil lewa untuk menikmati gaji bulanan ini menerima ganjaran kenaikan gaji sehingga maksimum 40 peratus sedangkan sikap dan motivasi kerja tidak berubah?
Apakah implikasinya kepada kerajaan yang terpaksa melanjutkan dua tahun lagi tempoh kerja untuk mereka sedangkan kerajaan sendiri mengalami kesukaran untuk memberi pencen awal kepada kakitangan yang bermasalah?
Saya ingin sarankan supaya kerajaan atau Jabatan Perkhidmatan Awam menyemak kembali perkara ini dalam konteks sumbangan positif yang boleh diperolehi oleh pihak kerajaan apabila memberi lanjutan tempoh bekerja selama dua tahun lagi.
Bagi mereka yang proaktif, mampu memberi idea yang baik, membawa perubahan berterusan dalam kerjaya dan kerjanya, menyumbangkan kepakaran dalam bidang atau kerja yang diceburi dan berkemampuan meneruskan produktiviti dan prestasi kerja yang baik, apa salahnya disambungkan perkhidmatan mereka. Bahkan itu merupakan suatu tindakan yang wajar dilakukan.
Tetapi bagi mereka yang kian merosot prestasi kerja, malas, suka curi tulang, tiada motivasi, tidak produktif dan boleh memberi imej yang buruk kepada perkhidmatan awam, haruskah ganjaran dua tahun lanjutan tempoh perkhidmatan itu diberi secara automatik?
Tidakkah ini juga melanjutkan beban kepada pihak majikan. Persoalan seperti ini kita ajukan, bukan bermakna kita tidak bersetuju dengan CUEPACS mahupun dengan keputusan kerajaan. Namun demi mempertahankan sikap murah hati kerajaan itu agar mendapat pulangan yang tidak merugikan, pelaksanaannya mungkin boleh diubah suai di mana perlu.
Dalam hal ini, saya memikirkan bahawa sangat baik jika kerajaan menetapkan suatu peraturan atau kaedah yang bersesuaian dan rasional sebelum seseorang itu diberikan lanjutan tempoh persaraan sehingga 58 tahun.
Contohnya, seseorang yang sudah mencapai usia 55 tahun diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memastikan dia sihat dan boleh menjalankan kerja seperti biasa. Kakitangan itu juga wajar mempunyai laporan penilaian prestasi kerja yang baik atau cemerlang.
Demikian juga bagi kakitangan yang hendak diluluskan lanjutan tempoh persaraan harus mendapat sokongan dan pengesahan daripada ketua jabatannya terlebih dahulu berkaitan sikap serta kemampuan fizikal, emosi dan mentalnya.
Dengan cara ini, kerajaan akan mendapat jaminan tenaga kerja kakitangan awam yang berterusan produktif, cekap dan amanah.
Sekali lagi ingin saya ingatkan bahawa tidak semua buah dalam satu bakul itu baik semuanya. Berpada-padalah kita menunaikan permintaan sesetengah pihak yang terlalu ghairah. Ada masanya kita perlu realistik dan melihat hakikat yang sebenarnya.

Tiada ulasan: