SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 Mei 2008

INSENTIF MESTI DIBALAS DENGAN PERKHIDMATAN BERKESAN

Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia

PENJAWAT awam dan pesara pasti gembira apabila kelmarin kerajaan mengumumkan beberapa insentif yang memberi manfaat kepada mereka.
Dengan pengumuman itu juga maka segala cakap-cakap kononnya kerajaan tidak prihatin tentang kakitangan awam terhapus.
Ternyata kedudukan pekerja-pekerja di sektor awam sentiasa menjadi keutamaan, cuma soalnya bilakah masa yang sesuai untuk tuntutan-tuntutan mereka dipenuhi.
Pelaksanaan dua dasar pemberian pencen misalnya memberi kelegaan kepada kakitangan awam kerana pencen mereka kini dihitung berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga 30 tahun.
Begitu juga dengan lanjutan usia persaraan daripada 56 tahun kepada 58 tahun dan langkah menambah baik Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang tidak boleh dinafikan adalah demi kebaikan penjawat awam.
Ternyata kerajaan bersungguh-sungguh menyediakan pelbagai insentif kepada kakitangan awam kecuali tidak dapat memenuhi permintaan supaya mereka dibayar honorarium RM2,000.
Oleh itu, sudah tiba masanya bagi semua kakitangan awam tanpa mengira apakah gred dan pangkat mereka untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.
Hakikatnya, ini bukan kali pertama kerajaan mengumumkan insentif untuk kakitangan awam, sejak dulu lagi mereka telah dilimpahi dengan pelbagai kemudahan dan keistimewaan.
Pengumuman yang terbaru itu hanya melengkapkan pakej kemudahan yang sedia ada. Cuma pakej itu akan menjadi bertambah menarik jika kakitangan awam menunjukkan kecekapan yang tinggi sama seperti usaha mereka membuat tuntutan demi tuntutan.
Untuk menjadikan perkhidmatan awam di Malaysia sebagai antara yang terbaik di dunia tidak cukup sekadar menunggu pihak kerajaan mengumumkan insentif demi insentif.
Setiap kakitangan mesti berusaha mencari jalan supaya perkhidmatan yang ditawarkan mampu memberi kepuasan kepada pelanggan.
Perkhidmatan awam di negara ini masih dibelenggu oleh persepsi malas dan lembap, oleh itu usaha untuk mengubah tanggapan tersebut mesti disegerakan.
Layanan tidak mesra pelanggan di kaunter-kaunter hadapan misalnya masih hebat diperkatakan selain masalah curi tulang di kalangan kakitangan awam tidak dapat disembunyikan dengan mudah.
Sebab itu, setiap kakitangan awam mesti menanamkan azam supaya hanya perkhidmatan yang cekap dan berkesan sahaja yang akan ditawarkan kepada pelanggan.
Masa untuk curi tulang, malas menjawab panggilan telefon dan berat melemparkan senyuman mesti dipadam sama sekali dari diari perkhidmatan kakitangan awam.
Kita tidak mahu kakitangan awam di negara ini dikatakan terlalu mengejar imbuhan sedangkan mutu perkhidmatan mereka masih di takuk lama dan dipersoalkan oleh para pelanggan

Tiada ulasan: