SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

16 Oktober 2008

CUEPACS KURANGKAN TUNTUTAN COLA

Petikan Berita Harian
16/10/2008
Oleh Hussain Saidbhnews@bharian.com.my

Kongres minta RM300 berbanding RM500 berikutan harga minyak turun REMBAU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menuntut kerajaan menyelaraskan Elaun Sara Hidup (Cola) pekerja awam kepada RM500 sebulan bersedia mengkaji mengurangkan kadar tuntutan itu kepada RM300 sebulan sejajar penurunan harga minyak. Presidennya, Omar Osman, berkata kesediaan itu bakal mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak kerana tuntutan itu sebelum ini dibuat berasaskan kenaikan harga barang dan penstrukturan semula subsidi minyak yang membebankan kira-kira 1.2 juta kakitangan sektor awam. "Namun, kita tetap mahu kerajaan menyelaraskan elaun RM300 sebulan tanpa mengira kawasan bandar atau luar bandar," katanya, ketika ditemui, di sini semalam.
Pembayaran Cola antara RM50 hingga RM150 mula dilaksanakan pada Januari 2006 membabitkan kakitangan awam dalam Gred 1 hingga 54 bergantung kepada lokasi tempat kerja masing-masing, tetapi tidak membabitkan mereka yang mendiami kuarters atau menerima elaun wilayah. Namun, pada Bajet 2007 kerajaan mengumumkan mereka yang tinggal di kuarters turut dibayar elaun berkenaan, iaitu pada kadar 50 peratus daripada nilai sebenarnya dan pada Bajet 2008, kerajaan menambah sekali ganda kadar Cola kepada RM100 hingga RM300 mengikut kawasan bertugas. Jun lalu, Majlis Kongres Cuepacs menuntut kerajaan menyelaraskan Cola kepada RM500 sebulan berikutan peningkatan harga minyak dan barangan.
Omar berkata, Cuepacs juga menuntut kerajaan menaikkan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) bagi Kumpulan Sokongan 1 dan 2 daripada RM180 sebulan kepada RM230 sebagaimana yang dinikmati kakitangan kumpulan lain. "Kakitangan kumpulan lain sudah menikmati kenaikan ITP sebelum pilihan raya umum lalu dan kita berharap kerajaan tidak menganaktirikan kumpulan sokongan 1 dan 2 dari kalangan kakitangan berjawatan rendah," katanya. Beliau turut meminta Majlis Kawalan Harga Barang Negara yang ditubuhkan kerajaan supaya memainkan peranan dengan membuat pemantauan bagi memastikan peniaga turut menurunkan harga barangan sejajar penurunan harga minyak. "Walaupun harga minyak sudah beberapa kali turun, kita dapati peniaga tidak menurunkan harga barangan yang dijual mereka," katanya.
Jadi, tindakan mereka ini tidak adil kerana sebelum ini mereka mendakwa kenaikan harga barang disebabkan kenaikan harga minyak," katanya.

2 ulasan:

Mr ROMPERS berkata...

Assalamualaikum tuan,

Sekiranya harga makanan dan barangan dapat diturunkan saya bersetuju kadar COLA ini diturunkan. Kalau boleh untuk kakitangan sokongan 1 dan 2 yang duduk di kuarters kerajaan di kawasan bandaraya berilah kadar COLA yang penuh kerana nilai bayaran COLA tu mampu membantu kakitangan kerajaan yang mempunyai tanggungan yang ramai..

Sekian, terima kasih.

Tanpa Nama berkata...

Saya suka mengikuti ruangan ini dan rasanya sudah bosan dengan rungutan tuntutan kenaikan gaji dan elaun yang sering dibangkitkan, oleh itu saya ingin bertindak sebaliknya dengan memohon pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula kadar Elaun Perumahan Wilayah (EPW) di Sabah yang dianggap keterlaluan dan berlebih-lebihan dan wajar dikurangkan nilainya. Rasanya pemberian EPW sebanyak itu di Sabah banyak digunakan bukan untuk tujuan perumahan sebaliknya ada yang memanfaatkannya dengan membiayai kos pembelian yang tidak perlu seperti kereta luar negara penjawat awam di sana. Rasanya tidak logik EPW di Sabah diberikan sekitar RM800-RM1100 sedangkan tiada kos sewa rumah yang menjangkaui angka itu di sana kecuali rumah mewah seperti banglo. Rasanya ada lagi yang lebih memerlukan angka itu terutama yang menetap di kawasan yang berkos hidup tinggi dan mereka yang ingin memiliki rumah sendiri. Saranan ini juga sebagai langkah membantu kerajaan untuk berjimat cermat dalam perbelanjaan pentadbiran. Permintaan ini bukan disebabkan faktor cemburu tetapi mungkin sudah jenuh mendengar tuntutan kenaikan elaun yang rasanya lebih membebankan kerajaan, jadi ada baiknya saranan diberi untuk membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan mengutamakan yang lebih memerlukan. Selain itu sebagai peringatan supaya kita bersyukur kerana ada lagi lebih bermasalah dari segi gaji dan elaun ini terutama rakan-rakan kita di sektor swasta.... penjawat memahami